Berita

Tegakkan maqasid syariah dahulu, baru cerita tentang hudud – Zairil

GEORGE TOWN, 26 JULAI: DAP sentiasa konsisten dalam menentang sebarang usaha pihak tertentu yang mahu meminda atau merubah acuan perlembagaan negara sebagai satu bentuk kontrak sosial.

Ia termasuk Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang yang didakwa Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Lembaga Penasihat MPM, Tan Sri Abdul Aziz Rahman dalam sidang media semalam antara lain menyatakan bahawa RUU berkenaan tidak menjadi keperluan dan tindakan PAS itu adalah membazir masa dan tenaga malah seharusnya tidak perlu diberi kebenaran untuk dibentang.

Ini kerana, menurut Abdul Aziz dalam Fasal 74 Perlembagaan Persekutuan, jadual 9 senarai 1 Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah di bawah jadual 9 serta 8, senarai 4(a) dan (b).

Oleh itu, katanya, RUU persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah), Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) adalah tidak sah kerana bercanggah dengan perlembagaan.

Selari dengan pandangan berkenaan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari berkata, DAP sebagai parti pelbagai kaum dan agama telah berkali-kali mempersoalkan RUU ‘hudud’ yang dicadangkan PAS itu.

“Kenyataan MPM ada asasnya. Sememangnya dari dulu lagi DAP mempersoalkan kesahihan undang-undang ‘hudud’ yang dicadangkan PAS dari segi perlembagaan dan kesesuaian mengikut kerangka masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan kepada Roketkini.com.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, hukum syariah perlu berpandu dan berteraskan kepada maqasid syariah kerana matlamatnya yang jelas berkaitan keadilan, kesaksamaan dan kebaikan.

“Jika pelaksanaan hudud di negara kita yang majmuk ini membawa aib kepada agama, maka ia harus dipertimbangkan dengan teliti,” katanya.

RUU ‘hudud’ Hadi berhubung Akta 355 itu bakal dibentangkan semula persidangan Parlimen Oktober depan, setelah dipohon tangguh oleh Haji Hadi pada sidang Mac lalu. – Roketkini.com