Berita

Pemuda Umno sepatutnya minta Najib nafikan beliau ‘Malaysian Official 1’

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Pemuda UMNO sepatutnya mendesak Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa beliau adalah “Malaysian Official 1” seperti yang dinyatakan dalam tuntutan mahkamah Amerika Syarikat terhadap 1MDB jika benar-benar mahu membersihkan nama perdana menteri itu.

Gesaan itu disuarakan Sosialis Muda DAP (DAPSY) semalam susulan laporan polis yang dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap ketua agensi dan bekas ketua agensi kerajaan atas dakwaan cubaan untuk menggulingkan Najib dan kerajaan.

Ketua DAPSY, Wong Kah Woh dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan itu yang didakwa seolah-olah menggertak individu yang mengambil langkah untuk membongkar skandal yang terjadi di negara ini.

Beliau yang juga Adun Canning menyifatkan ia sebagai kegagalan Pemuda UMNO dalam memahami kehendak rakyat khususnya golongan muda yang mahukan kebenaran ditegakkan berhubung dakwaan pihak berkuasa Amerika itu.

Justeru, katanya, Pemuda UMNO tidak berminat untuk merungkai skandal yang melibatkan 1MDB sebaliknya mahu mempertahankan Najib semata-mata.

“Pemuda UMNO jelas gagal untuk memahami apa yang diperlukan oleh rakyat dan golongan muda dalam keadaan begini. Seluruh negara ingin tahu kebenaran di sebalik pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Rakyat benar-benar ingin mengesahkan identiti ‘Malaysia Official 1’ yang telah menjarah kekayaan negara ini,” katanya sambil menggesa supaya Pemuda UMNO mendesak Najib menafikan dakwaan terbabit.

Pada 20 Julai lalu, Jabatan Kehakiman AS telah mengemukakan dua saman sivil bagi menyita aset dan hartanah bernilai lebih US$1 bilion yang didakwa diperoleh melaui dana 1MDB melalui pelbagai transaksi yang diselewengkan.

Antara nama yang disebut dalam tuntutan mahkamah itu termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho, dan “Malaysia Official 1” yang identitinya tidak didedahkan.

Semalam, Pemuda Umno membuat laporan polis terhadap mantan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed kerana didakwa kononnya membocorkan maklumat kepada pihak berkuasa Amerika. – Roketkini.com