Berita

Ambil kira pendapat rakyat sebelum laksanakan skim insuran kesihatan kebangsaan

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kerajaan UMNO-BN digesa mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk ahli Parlimen selain mengumpul pandangan orang ramai sebelum melaksanakan skim insuran kesihatan kebangsaan.

Penolong Setiausaha DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming menjelaskan, langkah itu wajar dipertimbangkan untuk memastikan ia tidak mengulangi kegagalan program yang hampir serupa iaitu Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care yang diperkenalkan pada 2011.

“Program berkenaan akhirnya terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan memandangkan perkara mengenai penjagaan kesihatan dan pembiayaan penjagaan kesihatan adalah satu isu yang amat rumit dan memerlukan kajian mendalam.

“Justeru adalah mengejutkan apabila kerajaan masih mengambil pendekatan dari atas ke bawah dalam merangka sesuatu pelan dan kemudian memperkenalkannya kepada rakyat tanpa ada sebarang rundingan dengan pihak awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Serdang, pendekatan dari atas ke bawah dalam membuat sebarang keputusan akan mencetuskan pelbagai spekulasi, sekaligus menjadikan perbincangan rasional dan berasaskan fakta mengenai isu terbabit sukar untuk dilaksanakan.

“Adalah tidak terlalu lewat untuk mengelakkan satu lagi kemelut serupa 1Care,” ujarnya.

Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah secara tiba-tiba mengumumkan bahawa pelaksanaan skim insurans kesihatan untuk rakyat Malaysia akan dibentangkan pada Bajet 2017 dan dimuktamadkan selewat-lewatnya oktober ini. – Roketkini.