Berita

Mahkamah Tinggi putuskan larangan Tony Pua ke luar negara sah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam menolak permohonan semakan kehakiman Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee yang dikenakan larangan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Julai tahun lalu.

Menyatakan larangan ke atas Pua itu adalah sah, Hakim Datuk Hanipah Farikullah, berkata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk menguatkuasakan larangan kepada mana-mana individu daripada ke luar negara merujuk kepada Seksyen 3(2) Akta Imigresen.

gobind1Pada 22 Julai 2015, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu mendapati beliau dilarang meneruskan perjalanannya ke Jogjakarta, Indonesia ketika berada di KLIA2 bagi menghadiri sebuah acara seni bagi Penang Arts District Project di sana.

Lebih mengejutkan, beliau diberitahu bahawa larangan itu adalah arahan ‘orang atas’.

Menzahirkan rasa kecewanya, Tony yang ditemui di mahkamah berkata larangan ke atasnya adalah tidak adil dan percaya ianya berkaitan dengan kelantangannya mengkritik kontroversi penyelewengan mega 1MDB.

Peguam Gobind Singh Deo, berkata kes ini akan dibawa ke hadapan merujuk kepada ketetapan yang telah dibuat Mahkamah Persekutuan berdasarkan kes yang dirujuk hakim.–Roketkini.com