Rencana

Al-Kisah Melayu dan DAP (Bahagian Akhir)

Al-Kisah Melayu dan DAP (Bahagian 1)
Al-Kisah Melayu dan DAP (Bahagian 2)

Pada tahap cendekia, kerajaan negeri Pulau Pinang juga menggerakkan wacana Islam melalui badan pemikir Penang Institute. Dengan kerjasama gerakan masyarakat sivil, Penang Institute telah memulakan siri syarahan dan perbincangan meja bulat yang menampilkan tokoh cendekiawan Islam seperti Tariq Ramadan dari Universiti Oxford, penulis Turki Mustafa Akyol dan ahli akademik yang lain seperti Ebrahim Moosa dari Notre Dame University, Abdullahi Ahmed An-Na’im dari Emory University, Syed Farid al-Attas dari National University of Singapore dan pengkaji-pengkaji Islam seperti James Piscatori dari Universiti Durham. Motif di sebalik perbincangan ini adalah untuk menggalakkan idea Islam yang terkait dengan tema seperti tadbir urus baik, demokrasi, liberalisme, sekularisme dan hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Penang Institute juga telah memulakan siri forum berbahasa Melayu mengenai maqasid syariah yang bertujuan menghubungkan wacana Islam dengan perkara-perkara sosio-politik dan ekonomi seperti demokrasi tempatan, kesaksamaan gender dan sebagainya.

Dari segi parti pula, DAP juga telah mula mendekati perkembangan dunia Islam. Pada tahun 2015, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang telah mengetuai delegasi Ahli Parlimen DAP dalam dua lawatan berasingan ke Jordan dan Mesir pada bulan April diikuti dengan Tunisia dan Turki pada bulan Oktober. Melalui lawatan ini, pemimpin DAP telah bertemu dan bertukar pendapat dengan pemimpin Islam utama seperti mantan Presiden Turki Abdullah Gül, Presiden Parti Ennahdah Tunisia Rached Ghannouchi, Setiausaha Agung Ikhwan Muslimun Mesir yang kini hidup dalam buangan, Mahmoud Hussein, mantan Timbalan Perdana Menteri Mesir Ziad Bahaa-Eldin, serta ramai lagi termasuk Ahli-ahli Parlimen negara-negara tersebut. Usaha ini bertujuan untuk mengamati contoh-contoh amalan terbaik berkenaan isu-isu perundangan, tadbir urus dan perhubungan antara kaum dan agama dalam negara-negara Islam.

DAP memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia

Propaganda pemerintah selama 50 tahun sememangnya telah berjaya menanamkan perasaan kemusykilan dan salah faham masyarakat Melayu terhadap DAP. Walaupun tuduhan-tuduhan liar yang sering dilemparkan terhadap DAP berupa tohmah dan fitnah semata-mata, malah dibuktikan salah di mahkamah, namun ia masih lagi diulangi sehingga DAP dianggap sebagai musuh utama orang Melayu.

Namun, hakikatnya jauh berbeza. Meskipun keahlian parti kebanyakannya terdiri daripada bukan Melayu, DAP tidak mengambil pendekatan perkauman dalam dasar-dasar parti. Sebaliknya, DAP adalah parti berbilang kaum yang memberi peluang kepada semua, termasuk kepimpinan Melayu sejak dari penubuhan parti. Hakikatnya, Umno dan Barisan Nasional yang sebenarnya menggadai masa depan negara apabila gagal mengurus negara dengan baik sehingga berlaku perbalahan perkauman dan agama serta skandal-skandal penyelewengan yang amat merugikan negara.

Lebih penting lagi, DAP sudah pun membuktikan melalui dasar-dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajuinya bahawa DAP bukan sahaja tidak menindas Melayu dan Islam, malah berjaya mengangkat martabatnya tanpa menindas mana-mana kaum atau agama lain. Pendekatan DAP yang berdasarkan keperluan dan bukan perkauman sudah pun dibuktikan berjaya. Apabila bantuan diberi kepada golongan yang paling memerlukannya, tidak akan ada sesiapa yang dipinggirkan semata-mata kerana mereka mempunyai warna kulit atau kepercayaan tertentu.

Apa-apa pun cabaran yang dihadapi, DAP akan terus berjuang demi merealisasikan impian untuk negara Malaysia yang sejahtera dan harmoni untuk semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum atau agama. – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP