Berita

Ketua Imigresen baru digesa hancurkan sindiket dalaman

GEORGE TOWN, 31 JULAI: Ketua Pengarah Imigresen yang baru, Datuk Seri Mustafar Ali digesa membersihkan jabatan itu daripada sindiket dalaman melibatkan aktiviti penyeludupan manusia dan kemasukan pendatang asing secara haram ke negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, Mustafar turut menggalas tugas berat untuk menghentikan amalan memberi kontrak pembekalan perkhidmatan jabatan itu kepada segelintir kontraktor swasta yang rapat dengan parti pemerintah tanpa tender terbuka.

Beliau menjelaskan dalam tempoh sebulan pertama sebagai Ketua Pengarah, Mustafar harus:

  • Mengkaji semula semua kontrak vendor swasta sejak Januari tahun lalu dan mengamalkan pemberian tender terbuka untuk kontrak-kontrak selepas ini
  • Memulakan siasatan tahap tinggi yang diketuai oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan bersama SPRM dan polis bagi menghapuskan sindiket penyeludupan manusia
  • Menyokong saranan pembangkang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi membersihkan seluruh jabatan

“Pengalaman Mustafar dalam membanteras rasuah sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM sebelum ini akan sangat membantu dalam membersihkan Jabatan Imigresen.

“Namun, apa yang saya bimbang ialah tangan Mustafar ‘terikat’ oleh pemimpin-pemimpin politik. SPRM mempunyai reputasi membersihkan nama Najib dari skandal RM2.6 bilion sebelum ini,” ujarnya.

Steven menambah, jika Mustafar mengambil keputusan untuk menjalankan tugas secara amanah tanpa menjaga kepentingan mana-mana individu, seluruh pihak termasuk parti pembangkang akan menyokong penuh usahanya.

Baru-baru ini, beliau telah mendedahkan pelbagai masalah melibatkan Jabatan Imigresen termasuk kemasukan pendatang asing secara haram yang didalangi ‘orang dalam’ dan pemberian tender kepada pihak-pihak berkepentingan secara tertutup. – Roketkini.com