Rencana

FFM: Jangan guna alasan bahasa untuk padam wajah Malaysia

Tindakan Festival Filem Malaysia (FFM) baru-baru ini mencalonkan filem Jagat dan Ola Bola ke dalam kategori ‘Filem Terbaik Bukan Bahasa Melayu’ dan tidak mencalonkan kedua filem itu ke dalam kategori Filem Terbaik FFM28 tentu sekali mengundang kecaman. Ini kerana keputusan itu dibuat bukanlah kerana filem Jagat dan Ola Bola tidak cukup bagus, sebaliknya hanya kerana kedua-dua filem itu ‘tidak cukup Bahasa Melayu’.

Sedangkan ramai yang pernah menonton Jagat dan Ola Bola mengakui bahawa kedua-duanya merupakan filem yang berkualiti dan mencerminkan semangat dan permasalahan tempatan.

Ini kerana filem seperti Ola Bola cuba mengangkat semangat keMalaysiaan melalui kemajmukan warga Malaysia itu sendiri. Sementara Jagat pula menyingkap realiti masyarakat yang terpinggir, dengan konteks dasar dan politik Malaysia itu sendiri. Malah mungkin tidak keterlaluan dikatakan kedua-dua filem itu lebih dekat dengan latar dan kehidupan Malaysia berbanding filem cinta yang berjalan sepenuhnya di luar negara.

Jika Festival Filem Malaysia adalah bertujuan mengiktiraf karya-karya terbaik Malaysia, maka mengeluarkan Ola Bola dan Jagat dari senarai filem terbaik keseluruhan bukan atas faktor kualiti, dilihat menafikan filem-filem itu sebagai cerita warga Malaysia, (hasil tangan) dari warga Malaysia dan untuk warga Malaysia. Ini sudah pasti satu gejala yang membimbangkan. Apabila di Malaysia hari demi hari semakin banyak cubaan menghapuskan kemajmukan yang sering dikisahkan sebagai kekuatan Malaysia.

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memberikan alsan bahawa tindakan itu adalah untuk mengangkat Bahasa Kebangsaan dalam filem tempatan selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan. Alasan ini menunjukkan PFM tidak memahami semangat Perlembagaan, malah semakin meminggirkan budaya-budaya lain. Ini termasuklah juga budaya Orang Asal serta Anak Negeri Sabah dan Sarawak.

Seandainya diterbitkan filem sepenuhnya dalam bahasa Iban atau Kadazan misalnya, mengikut kriteria yang ditetapkan PFM, filem itu tidak layak dicalonkan dalam kategori filem terbaik Malaysia kerana menggunakan kurang dari 70 peratus Bahasa Kebangsaan, yakni Bahasa Melayu menurut Perlembagaan. Kebudayaan Sabah dan Sarawak kini bukan saja dipinggir dari sudut ekonomi, malah boleh juga dipinggirkan dalam aspek perfileman. Menyedihkan!

Jika PFM ingin menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai perisai kepada tindakannya. Lupakah PFM kepada keseluruhan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

“Bahasa Kebangsaaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukan melalui undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa – (A) Tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain. (B) Tiada apa-apa jua dalam fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.”

Kalau diamati betul-betul dan bukannya mengambil ikut sedap rasa, Perkara 152 ini mengangkat Bahasa Kebangsaan tanpa menafikan penggunaan bahasa-bahasa lain. Secara tidak langsung mengiktiraf kemajmukan yang memang menjadi wajah Malaysia. Bukankah filem kita, wajah kita?

Dalam konteks Negara-Bangsa Malaysia yang majmuk, seharusnya kita meraikan faham budaya yang lebih demokratik. Seperti yang pernah diketengahkan oleh Saudara Lim Kit Siang dalam Ucapan Debat Kebudayaan pada tahun 1968. Yang mana setiap karya anak Malaysia yang ditulis dengan emosi, pengenalan diri, pengembaraan, latar serta penglibatan sosialnya berkaitan dengan Malaysia sama ada ditulis dalam apa juga bahasa adalah hasil karya Malaysia.

Tiada yang dipinggir, semua diraikan.

*Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor