Rencana

Apa Identiti Kebangsaan Kita?

Kemelut Festival Filem Malaysian nampak tidak kesudahan apabila Datuk Yusof Haslam mempertahankan cadangan PFM untuk mengekalkan kategori Filem Terbaik Bukan di Dalam Bahasa Malaysia, Pengarah Terbaik Bukan di dalam Bahasa Malaysia dan Lakon Layar Terbaik Bukan di Dalam Bahasa Malaysia walaupun ada penggiat seni telah mengambil tindakan drastik untuk memboikot festival ini.

Lebih menyedihkan alasan yang digunakan oleh Datuk Yusof Haslam adalah untuk mempertahankan identiti kebangsaan kita. Datuk Yusuf Haslam sewenang-wenangnya menggunakan alasan identiti kebangsaan kita; apakah identiti kebangsaan yang difahami oleh Datuk Yusof Haslam?

“Kita” itu merujuk kepada siapa? Terlalu cetek untuk melihat identiti kebangsaan ini hanya berkisar mengenai pengunaan bahasa Melayu dalam filem semata-mata. Apakah realiti kemajmukan negara kita ini, bukan identiti kebangsaan?

Yang kita nampak, tindakan Persatuan Penerbit Filem (PFM) selaku penganjur FFM sendiri tidak dipersetujui oleh ramai penggiat seni malah rakyat secara amnya. Mereka mengatakan tindakan ini bersifat perkauman dan terkebelakang sehingga ada yang sanggup menarik diri dan memulangkan trofi yang dimenangi dalam dua festival yang lalu.

Boikot ini bukanlah tindakan main-main yang boleh dipandang enteng oleh Datuk Yusof Haslam dan PFM.

Jelas ramai anak seni mengamalkan keterbukaan dalam mengiktiraf karya anak tempatan yang mencerminkan kemajmukan rakyat Malaysia seperti yang diketengahkan oleh Ola Bola dan Jagat.

Tentu mereka menganggap kemajmukan Malaysia itulah identiti kebangsaan dan tidak perlu dibeza-bezakan hanya kerana bahasa. Kerana akhirnya nanti, semuanya adalah karya anak tempatan.

Hal ini bukanlah perkaru baru, Filem Sepet arahan Yasmin Ahmad yang memenangi FFM ke-18 juga menerima kritikan yang serupa kerana menggunakan pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Malah ada yang mempersoalkan kelayakan filem tersebut bertanding dalam FFM. Namun, penganjur FFM ketika itu mengambil tindakan yang bijak mencalonkan filem tersebut dalam kategori Filem Terbaik.

Apa yang telah berubah sejak itu? Dilihat dunia perfileman negara juga sudah diresap unsur-unsur hagemoni budaya yang mahu memaksakan hanya satu budaya saja untuk warga Malaysia.

Dan kemuncaknya adalah amalan memisah-misahkan warga Malaysia kini sudah melibatkan ruang seni dan perfileman. Jika ini berterusan, barangkali suatu hari nanti festival filem yang mengiktiraf filem-filem Malaysia akan berpecah-pecah mengikut kategori bahasa.

Tidak cukupkah perpecahan yang sudah berlaku melalui dasar-dasar politik?

Kebelakangan ini, kita sudah mula nampak seolah-olah ada kebangkitan filem-filem berkualiti yang berwajah Malaysia. Amat malang jika pucuk yang baru hendak tumbuh ini ditaburi racun perpecahan dan diskriminasi dipercayai kerana ada agenda-agenda tidak sihat dalam industri.

Apa lagi yang boleh saya seru kepada PFM dan FFM melainkan tinggal satu perkataan saja, insaflah! – Roketkini.com

*Farhan Haziq ialah Pengarah Pendidikan Politik Sosialis Muda DAP (DAPSY) bagi kawasan Subang