Rencana

Kebenaran ada di luar sana

Kredit grafik: https://www.presto.com.au/tv/the-x-files

The X-Files merupakan sebuah drama bersiri seram fiksyen sains yang dilakonkan oleh David Duchovny sebagai Ejen Fox Mulder yang mempercayai perkara paranormal yang sukar dijelaskan dengan sains dan Gillian Anderson sebagai Ejen Dana Scully yang merupakan seorang realistik dan meletakkan sains keutamaan dalam kes X-Files.

Drama bersiri ini dihasilkan oleh Chris Carter. Drama bersiri ini sudah menjangkau 10 musim dan mempunyai 208 episod. Rancangan ini bermula pada tahun 1993 sehingga tahun 2002 dan telah dihidupkan kembali pada tahun ini. Tidak lupa juga terdapat dua filem The X-Files telah ditayangkan pada tahun 1998 dan 2009 namun kurang memberi impak kepada penonton.

Walaupun saya lahir pada tahun 90-an, saya masih setia dengan drama ini. Ketika rancangan ini disiarkan, saya masih bertatih dan menyebut beberapa patah perkataan sahaja.

Namun begitu, dengan adanya Internet dan rancangan streaming pada masa ini, saya berpeluang menonton rancangan bersiri ini. Drama ini mempunyai kekuatan sendiri dan mempunyai kesan yang mendalam kepada generasi Y seperti saya. Sarat dengan ilmu sains seperti fizik dan kimia dan konspirasi politik kerajaan, rancangan ini berjaya menarik minat saya untuk memahami jalan cerita tersebut. Kenapa saya memilih The X-Files sebagai drama bersiri yang harus dikupaskan?

Permainan Politik Orang Atasan

The Smoking Man (lakonan William B. Davis) merupakan watak antagonis paling berkuasa dan penuh misteri dalam rancangan fiksyen ini. Watak ini digambarkan telah membunuh John F. Kennedy dan Martin Lurther King Jr. Dia jugalah manusia yang bertanggungjawab menentukan pilihan raya, pasukan mana yang menang dalam permainan sukan dan menghapuskan bukti untuk diketahui orang awam.

Dia bagaikan Tuhan yang menentukan kuasa mutlak kepada manusia. Dia juga merupakan kunci utama kepada konspirasi kerajaan. Dia lebih bahaya berbanding makhluk asing, lebih dashyat berbanding makhluk paranormal yang disiasat oleh Ejen Mulder dan Ejen Scully.

‘Saya mencuba meletak diri saya dalam watak tersebut dan melihat dunia ini melalui perspektif watak ini. Lagipun,penjahat tidak berfikir mereka ini penjahat’- William B. Davis bercakap mengenai wataknya.

Yang menarik mengenai watak ini, dia tidak sesekali memandang rendah kepada keupayaan Ejen Fox Mulder untuk mencari kebenaran. Walaupun The Smoking Man digambarkan sebagai watak paling berkuasa dan mempunyai pengaruh, dia juga mengambil langkah berhati-hati supaya agendanya tidak digagalkan.

Saya memandang watak antagonis ini digambarkan seperti Tun Mahathir. Walaupun keluar UMNO, pengaruh dan kuasanya masih mendapat perhatian dalam arena politik. The Smoking Man juga masih mengekalkan kuasa dan pengaruhnya walaupun The Syndicate(kerajaan bayang-bayang) telah musnah.

Saya tidak nafikan pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir banyak kemajuan,namun pada ketika itu juga Tun Mahathir menggunakan kuasa politiknya untuk mencapai agenda tertentu.

Hak orang awam untuk mengetahui sesuatu seperti Tragedi Memali disekat. Sama juga dengan tindakan The Smoking Man yang menyekat tindakan Ejen Mulder untuk mengetahui kebenaran. Alasannya, mengelak cetusan panik orang awam untuk mengetahui kebenaran.

Antara Sains, Budaya dan Agama

Kebanyakan episod The X-Files yang saya tonton, tidak lekang dengan budaya, kepercayaan dan sains. Ejen Dana Scully digambarkan sebagai watak agnostic. Ramai yang beranggapan Ejen Dana Scully merupakan ateis,hakikatnya tidak. Dia sememangnya meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap sains dan mula berhenti pergi gereja pada hari Ahad.

Namun,setelah didiagnosis mempunyai ketumbuhan otak, dia berharap kepada Tuhan Yang Esa untuk disembuhkan penyakitnya. Walaupun banyak kes paranormal yang dihadapi, dia tetap memilih untuk tidak mempercayai kerana ia adalah pemikiran yang tidak rasional untuk dipercayai. Namun begitu, menidakkan Tuhan bagaikan menidakkan satu harapan tatkala berdepan dengan teknologi sains perubatan. Saya teringat satu dialog antara Mulder dengan Scully.

Mulder: Kenapa susah untuk mempercayai setelah banyak fenomena paranormal dibuktikan?

Scully: Sebab, melihat perkara sebegini kemungkinan besar menjadikan awak buta untuk mencari penjelasan kemungkinan yang kukuh buktinya di hadapan mata awak.

Tidak lupa juga isu budaya yang ditonjolkan dalam The X-Files. Maksud saya di sini, bukanlah budaya konspirasi,tetapi budaya sesuatu peradaban atau kaum. Dalam Episod 11, Musim ke-2, Mulder dan Scully melakukan siasatan di sebuah pusat jagaan orang tua yang dikatakan berhantu.

Dalam episod ini, The X-Files berjaya mengangkat nama Malaysia yang terkenal dengan herba dan sikap orang Malaysia yang masih hormat kepada orang tua dan tidak menghantar orang-orang tua ke pusat jagaan orang tua. Maksudnya di sini, di negara Eropah yang maju dengan teknologi perubatan tetapi budaya menghormati orang tua makin luntur berbanding Malaysia.
Banyak episod yang boleh disaksikan mengenai penerangan budaya dan kisah mistik yang disiasat oleh Mulder dan Scully namun ini adalah salah satu episod yang kita harus bangga.

Paranoia Masyarakat

Adakah masyarakat bersedia untuk mengetahui malkumat sulit kerajaan? Adakah masyarakat boleh menerima apa yang dilakukan oleh kerajaan? Dalam rancangan ini, jawapannya tidak.

Propaganda media, spekulasi dan teori konspirasi berjaya mengaburi minda masyarakat dengan perkara sebenar. Perkara ini pernah dinyatakan oleh The Smoking Man, ‘Perkara yang kamu ketahui ini adalah secebis maklumat dan berjaya mengalih pandangan masyarakat mengenai sesuatu isu’.

Pada ketika itu, internet merupakan perkhidmatan eksklusif dan boleh diakses untuk pihak kerajaan. Maklumat tersebut agak terhad dan menyebabkan Mulder sukar untuk mengaitkan konspirasi kerajaan mengenai penculikan orang awam dan makhluk asing.

The Lone Gunmen, trio pemuda yang mempunyai maklumat sulit kerajaan, dan mengkaji fenomena paranormal serta berkongsi minat dengan Mulder untuk membongkar konspirasi kerajaan. Namun demikian,seperti yang saya katakan, The Smoking Man mempunyai kawalan segala maklumat.

Masyarakat yang digambarkan oleh The X-Files masih relevan untuk kita. Kita mudah taksub teori konspirasi politik dalam Malaysia, kita percaya kepada spekulasi yang belum tentu sahih dan kita juga percaya buta tuli maklumat yang disebarkan. Hakikatnya, kita sendiri tidak menapis maklumat dengan berkesan dan tidak mengetahui apa sebenar yang terjadi.

Bagi saya, rancangan ini wajar ditonton untuk bukan sahaja sebagai medium hiburan, tapi juga berbentuk pengetahuan. Rancangan ini bukan sahaja mengaitkan mitos, tetapi juga diselitkan falsafah yang boleh kita teladani.

Kebenaran masih di luar sana, rakyat Malaysia. – Roketkini.com

*Akwa Mahzan ialah anak muda kelahiran Negeri Sembilan, alumni Sekolah Demokrasi.