Rencana

Ahli sukan wanita sukar dapat pengiktirafan, kejayaan dihadiahkan pula dengan kecaman

Kejayaan serta prestasi yang mengkagumkan oleh kaum wanita dan keupayaan mereka meruntuhkan benteng serta halangan kesamarataan gender demi mencipta kejayaan besar terutama dalam masyarakat patriarki seperti di negara kita ini merupakan berita yang sentiasa menarik perhatian ramai.

Pada umumnya, kita sedia maklum betapa janggalnya sikap cauvinistik sebahagian golongan lelaki dalam masyarakat kita dan itu adalah sesuatu yang sukar untuk kita terima. Sikap cauvinis golongan lelaki memitoskan kepercayan bahawa lelaki lebih hebat berbanding wanita dalam banyak aspek terutama dari segi keupayaan fizikal, kecerdasaan mental, malahan apa saja yang anda boleh fikirkan.

Memandangkan bahawa bigotri lelaki tidak lain hanyalah kebencian terhadap golongan wanita, kita sebaliknya hampir tidak langsung dengar suara wanita tentang bagaimana mereka juga memendam rasa benci diskriminasi terhadap diri mereka. Hakikat ini jika berlaku, boleh menjelma dalam bentuk rasa-benci yang pasif-agresif.

Oleh demikian apabila Siti Fatima Husna, yang berusia 25 tahun membuktikan keupayaan beliau bersaing sebagai pelumba wanita tunggal dalam acara pertandingan Yamaha Petronas Club Prix media tempatan dengan pantas memuatkan timbunan komen yang mencemuh Siti Fatima dengan pelbagai kata nista. Ini membuat ramai antara kita berasa amat jengkel dan menyampah dengan pemikiran sempit dan dangkal sesetengah golongan lelaki dengan isu-isu yang remeh.

Komen-komen yang kita tatap bukanlah menumpu kepada kebolehan dan kehebatan beliau sebagai seorang ahli sukan wanita yang menempa sejarah dalam acara yang selama ini dimonopoli lelaki, sebaliknya kebanyakan komen tertumpu kepada pakaiannya dan akidahnya yang dipersoalkan.

Komen-komen yang disasarkan kepada beliau ada yang memuji, tidak kurang yang mencela, malah ada yang mengaibkan. Hal ini mengundang pertanyaan – kenapa kaum wanita harus diperlakukan sedemikian rupa? Ini sewajarnya tidak berlaku.

 

Dominasi golongan lelaki

Kebanyakan kita mudah lupa bahawa bukanlah mudah bagi wanita mencapai pengiktirafan dalam apa-apa bidang yang didominasi lelaki seperti dalam lapangan politik – justru itu lapangan sukan merupakan di antara ruang bagi membiak dan menyubur unsur-unsur misogini dan sikap keangkuhan lelaki dan seterusnya memperkukuhkan naratif dan penguasaan golongan ini dalam menentukan perlakuan yang boleh dan tidak boleh dan yang sesuai dan yang tidak sesuai untuk lelaki dan perempuan.

Sama ada ini dilabelkan “gender stereotyping” atau tunduk dan akur kepada tradisi ciptaan manusia, sikap ini akan hanya membendung dan membantut kesuburan daya potensi anak-anak kita pada masa akan datang.

Tidak perlu dimaklumkan bahawa kelompok yang lebih konservatif yang hadir dalam masyarakat kita akan memainkan peranan dan bertindak menentukan antara lain apa dan bagaimana cara wanita berpakaian sementara pada masa yang sama tidak begitu kisah dengan pakaian kaum lelaki.

Wanita pada umumnya tidaklah lali dengan komen-komen negatif terhadap diri mereka lantaran konteks yang dihadapi mereka berbeda sama sekali – dari kritikan dan komen yang tidak berniat apa-apa kepada yang menyentuh keperibadian dan sensitiviti kaum wanita seperti meminggirkan mereka, mengugut mereka dengan ancaman-ancaman merogol, mendera dan kadangkala membunuh.

Rasa benci yang membara di ruang media sosial kadangkala begitu sinis dan berapi sehingga boleh membakar kulit yang tebal. Kegiatan sukan adalah di antara sasaran para misoginis dan para pentaksub agama menghumban mangsa mereka dengan cacian yang tidak beradab – contohnya kutukan terhadap ahli gimnas Malaysia, Farah Ann yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA yang lalu.

Sesiapa saja yang waras fikiran dapat melihat betapa dangkal dan sempitnya pemikiran golongan pentaksub ini. Dan walaupun golongan ini minoriti kecil namun mereka inilah yang paling kuat melenting dan melalak tak keruan dengan tiada usul periksa serta memahami dan mengetahui konteks yang menjadi kecaman mereka – pakaian sukan bukan untuk daya tarikan seks tapi lebih kepada keperluan mobiliti dan keselamatan atlet.

Dalam era di mana masyarakat lebih cenderung dan tertarik dengan para artis dalam program realiti yang kontang nilai-nilai kejiwaan menggambarkan betapa perlunya kita cari dan ketengahkan individu-individu yang cemerlang prestasi, berani menghadapi cabaran dan risiko untuk dijadikan contoh teladan yang positif.

Berlatarkan keperluan ini kita semua sewajarnya kagum dengan kesanggupan Siti Fatima Husna menghadapi cabaran bersaing dengan para peserta lelaki dalam acara yang didominasi mereka. Maka itu beliau dan beberapa atlet wanita lain wajar di ketengahkan sebagai sumber aspirasi untuk gadis muda yang lain dalam masyarakat kita.

Objektivisme, cauvinisme dan kebencian yang melulu terhadap kaum wanita dalam masyarakat kita, dalam apa bentuk dan cara, perlu kita banteras bersama-sama tanpa kompromi. Kini tiba masanya kita pertahankan maruah kaum wanita daripada dicemari dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh manusia misoginis. – Roketkini.com