Rencana

Sahih! UMNO itu parti politik, bukan bangsa Melayu

Melayu itu lebih besar dari UMNO. UMNO hanya sebuah parti politik yang disokong oleh bahagian yang lebih kecil dari keseluruhan orang Melayu. UMNO patut menerima realiti ini.

RSN Rayer ialah seorang ADUN di Pulau Pinang untuk kawasan Sri Delima. Dalam tahun 2014, dia telah menyebut perkataan ‘celaka UMNO’ dalam dewan undangan negeri Pulau Pinang. Dia dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menghasut dengan menuturkan istilah ‘UMNO celaka’.

Beberapa hari yang lalu, Rayer dibebaskan dari pertuduhan tersebut tanpa perlu membela diri dalam mahkamah seterusnya.

Hakim memutuskan bahawa istilah ‘celaka UMNO’ bukanlah hasutan. UMNO bukannya bangsa tapi sebuah parti politik. Sama seperti parti lain yang dianggotai oleh bangsa-bangsa khusus tapi parti tersebut bukanlah bangsa itu sendiri.

Jadi kalau kita sebut ‘celaka UMNO’; ianya bukan menghasut. Kerana ia tidak bermakna Melayu celaka. DAP sebagai contoh, selalu disebut sebagai DAPig, tapi jika orang UMNO sebut demikian, seperti yang mereka pekik selalu, itu bukanlah menghasut. Kerana yang disebut babi ialah DAP – parti politik, bukan bangsa Cina.

Kepada orang Melayu, signifikan keputusan mahkamah ialah UMNO itu ialah sebuah parti bukan bangsa. Maka apabila ada orang sana sini menjaja bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO, itu suatu dusta.

“Celaka punya UMNO”

UMNO hanya ada ahli seramai 3.5 juta. Itu kata mereka. Di atas kertas mungkin ada 3.5 juta. Realitinya, ia lebih kurang dari itu. 3.5 juta disebut sebut hanya untuk buat show dan menakutan orang lain.

Mungkin jumlah ahli sebenarnya tinggal 2.5 juta. Orang Melayu pula ada 15 juta. Ertinya, hanya seorang dari lima orang Melayu ialah ahli UMNO. Maka bagaimana UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO? Lebih ramai Melayu bukan ahli UMNO.

Demikian juga dalam PRU13 tahun 2013. UMNO memperolehi jumlah undi sebanyak 3.2 juta. Andaikan semua pengundi yang mengundi UMNO ialah Melayu. Jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi dalam PRU13 ialah hampir 7 juta orang. Jika UMNO dapat 3.2 juta undi dan semuanya Melayu pula, bererti 3.8 juta orang Melayu tidak mengundi UMNO.

Jadi bagaimana UMNO tanpa segan dan silu, mengatakan mereka mewakili Melayu? Lebih ramai orang Melayu mengundi parti bukan UMNO.

Tapi kita tahu, dari 3.2 juta yang mengundi UMNO, bukan semuanya Melayu. India pembodek dan Cina yang mahu kesenangan, ada juga mengundi UMNO. Mungkin 15% daripada undi yang diperolehi oleh UMNO datang dari bangsa bukan Melayu.

Apa ertinya ini? Ertinya, daripada 3.2 juta undi yang diperolehi oleh UMNO hanya 2.72 juta sahaja orang Melayu, jika jumlah pengundi Melayu ialah 7 juta orang, maka Melayu yang tidak undi UMNO adalah sebanyak lebih 4 juta orang.

4 juta Melayu tidak undi UMNO.

Jadi bagaimana UMNO boleh mendabik dada mengisytiharkan mereka mewakili majoriti Melayu? Sedangkan, lebih ramai Melayu tidak undi UMNO.

Ini menjawab soalan ‘adakah orang Melayu mati jika UMNO di tolak?’ Jika UMNO ditolak, hanya 1 orang Melayu akan kecundang. 4 orang Melayu lain boleh terus hidup.

Pengajarannya ialah: orang Melayu secara mutlaknya, tidak memerlukan UMNO untuk terus hidup.

Mereka sebetulnya memerlukan sebuah kerajaan yang adil dan melaksanakan dasar-dasar yang adil dan saksama. Mereka memerlukan undang-undang lebih daripada memerlukan UMNO.

Lebih penting, mereka memerlukan pemimpin yang amanah, jujur, tidak rasuah, tidak mencuri wang rakyat, dan bukan pembohong bersiri. – Roketkini.com

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Raub dan Ahli Jawatankuasa DAP Pahang