Berita

Sempena semangat Merdeka, DAP nasihat Najib mansuhkan Akta Hasutan

GEORGE TOWN, 12 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru memansuhkan undang-undang zalim, Akta Hasutan 1948 bertepatan dengan semangat nasionalisme, patriotisme dan Perlembagaan yang tulen sempena bulan kemerdekaan.

Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Kasthuri Patto berkata, semua tuduhan menghasut dan siasatan mengikut akta itu terhadap musuh politik pemimpin nombor satu negara terbabit juga wajar digugurkan.

Katanya lagi, seruan itu juga bertepatan dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Oktober 2014 supaya akta berkenaan dihapuskan kerana bercanggah dengan hak asasi manusia.

“Dalam semangat sambutan Merdeka, Najib Razak perlu membuktikan bahawa pentadbiran Barisan Nasional tidak autokratik dan autoritarian dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Najib di persidangan Parlimen Belia di Dewan Rakyat Selasa lalu yang mendakwa bahawa pentadbirannya sentiasa bersikap terbuka dan menyediakan peluang yang luas untuk golongan belia menyatakan pandangan.

Najib yang juga Menteri Kewangan seperti yang dilaporkan Bernama sebagai berkata bahawa demonstrasi jalanan atau membuat referendum rakyat kononnya tidak selari dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

Mengulas lanjut, Kasthuri yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, kenyataan Najib itu seolah-olah menafikan hakikat bahawa kerajaan Barisan Nasional bersifat autokratik dan kononnya mengamalkan keterbukaan.

Sedangkan, pemimpin itu pernah memungkiri janji yang disuarakannya pada 2011 untuk memansuhkan sepenuhnya Akta Hasutan.

“Malangnya, pada tahun 2014, kira-kira 3 tahun selepas pengumuman tersebut, Perdana Menteri menarik balik kata-katanya dan mengumumkan bahawa Akta Hasutan kekal,” ujarnya.

Menurut Kasthuri lagi, negara akan lebih dihormati apabila pentadbiran kerajaan bersedia untuk menegakkan kebebasan asasi, kebebasan sivil dan menjunjung semangat sebagai pembela hak asasi manusia.

“Malah, sebuah negara dihormati apabila tiada penghakisan dalam kesucian institusi awam seperti badan kehakiman, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujarnya. – Roketkini.com