Rencana

Semuanya ke laut

Beberapa hari yang lalu, berlaku lagi kes tumpahan minyak di perairan Tanjung Piai, sekitar kawasan Chokoh, Perpat dan Taman Negara Kukup.

Kumpulan nelayan bising, seperti selalu. Kemarahan mereka meluap hingga beberapa laporan polis telah dibuat. Nelayan ini orang yang lama jadi nelayan, mereka percaya bahawa berulangnya kejadian ini adalah kerana kelemahan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Sekilas ikan di air, ku tahu jantan atau betina.

Kita tinggal dulu cerita minyak tumpah ini sebentar. Mari kita surut ke belakang sedikit.

Pada April yang lepas, Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin telah menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan kawasan perairan Tanjung Piai yang seluas 550km persegi sebagai Kawasan Khas Perairan Sensitif atau Particularly Sensitive Sea Area (PSSA).

Ini bertujuan untuk melindungi kawasan tersebut dari tercemar oleh pelbagai kegiatan yang memudaratkan sumber alam kawasan khas terbabit.

PSSA adalah satu akta di bawah agensi International Maritime Organization (IMO) yang mana sesuatu kawasan yang telah digazetkan sebagai PSSA, akan diberi perlindungan khas. Khas yang bagaimana?

Khas ini bermaksud, lingkungan kawasan sensitif ini tidak boleh ada apa-apa aktiviti perkapalan yang sensitif seperti pemindahan minyak antara kapal, pembuangan sisa toksik termasuk minyak kapal, aktiviti mengorek atau menggali termasuk laluan navigasi kapal dagang yang tidak dibenarkan memasuki kawasan sensitif ini. Seakan-akan kawasan ini menjadi Taman Larangan.

Saya menyokong usaha MB Johor sebab tujuannya cukup jelas dan penting. Tetapi adakah dengan adanya PSSA, kelak akan menjamin keutuhan Taman Larangan ini?

Kita jangan lupa, selain saranan untuk mewujudkan PSSA, kawasan ini juga terdapat Taman Negara yang telah diwartakan sebagai tapak RAMSAR pada 31 Januari 2003 dan selepas itu diwartakan menjadi Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004 membabitkan kawasan seluas 926 hektar.

Setelah 13 tahun berlalu, adakah sesiapa telah melihat hasilnya?

Biar saya nyatakan disini, dianggarkan setiap tahun sekitar 2 meter tanah paya bakau ini hilang. Hilang bersama ombak laut Selat Johor. Hilang pantai bermakna hilanglah sumber marin dan biodiversiti. Ini bermakna hilang sumber ekonomi.

Ini heboh tentang undang-undang yang sedia wujud. Tetapi kita surut lagi ke belakang sedikit lagi. Sebelum semua ini, kita juga telah ada Akta A 1394, Akta Perkapalan Saudagar (Pencemaran Minyak) (Pindaan) 2011. Kita juga ada Akta 750 Akta Laut Wilayah 2012, juga Akta Petroleum (Safety Measures) (Amendment) Act 1991 dan lain-lain akta Alam Sekitar yang telah wujud.

Ini tidak termasuk undang-undang subsidiari yang sudah cukup banyak. Malah, agensi yang berkaitan dengan laut, perkapalan dan alam sekitar juga sudah cukup banyak. Kita ada Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM).

Tetapi persoalannya, mengapa kes-kes tumpahan minyak, hakisan pantai, kerosakan ekologi dan sumber marin, terus berlaku dan semakin membimbangkan?

Dari statistik yang ada, aliran trafik kapal di kawasan ini cukup tinggi, dianggarkan sekitar 10 ribu buah kapal lalu lalang setiap tahun menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Singapura dan juga Pusat Janakuasa Hidro Tanjung Bin. Jadi, kerosakan pantai di darat itu sukar untuk dielakkan.

Namun, bagaimana pula dengan kerosakan di laut? Nelayan, peralatan, ikan mati dan sebagainya.

Ini bermakna, ia bukan masalah undang-undang atau kurangnya peruntukan undang-undang, tetapi masalahnya ialah sistem pemantauan dan koordinasi operasi yang masih lemah termasuk alat kelengkapan (peralatan) tidak mencukupi.

Kita selak kembali jawapan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar bulan Mei yang lalu di Dewan Rakyat.

Katanya, di bawah RMK-11, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan dilengkapi dengan Oil Spill Trajectory bagi mempertingkatkan pemantauan. Dengan penggunaan oil map trajectory ini dapat membantu pihak JAS dalam melaksanakan pengenalpastian kawasan/lokasi tumpahan minyak serta punca pencemaran.

Persoalan seterusnya, adakah kelengkapan ini telah dibekalkan kepada pihak JAS? Jika belum, bila?

Jika sudah maka, seharusnya pegawai-pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh ditempatkan di bot-bot Polis Marin atau APMM untuk bersama memantau perairan tersebut secara berjadual dan lebih kerap. Ini boleh meningkatkan keberkesanan pemantauan.

Oleh yang demikian, sebanyak mana pun undang-undang, sebanyak dan seramai mana pun anggota penguatkuasa, tidak akan memberi impak tanpa ada satu langkah strategik pemantauan kegiatan di kawasan itu.

Ketika saya menulis ini, ramai nelayan yang sedang duduk di kedai kopi sambil bermain dam aji. Mereka tak dapat ke laut. Bila ditanya dah mengadu kepada persatuan nelayan? Katanya, persatuan nelayan, polis, APMM semuanya dah ke laut! – Roketkini.com

*Penulis merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor