Rencana

Agama adalah hak individu, tidak harus ditentukan birokrasi

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Ogos 2016 yang menolak rayuan tiga Muslim Bumiputera yang ingin keluar dari Islam di Sarawak. Ketiga-tiga pemohon itu asalnya bukan Muslim yang telah menukar agama kepada Islam atas dasar perkahwinan. Memandangkan mereka telah bercerai, mereka kini, seperti kenyataan mereka, tidak lagi mengamalkan agama Islam.

Pokok persoalan utama dalam isu tersebut adalah sama ada mahkamah sivil atau syariah yang harus membuat keputusan dalam kes sebegini. Dalam hal ini, ketiga-tiga panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bidang kuasa terletak pada mahkamah syariah dan bukan sivil, memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy serta tafsiran mereka berhubung Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Kemasukan fasal 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1998 secara jelas menunjukkan Mahkamah Tinggi dan mahkamah di bawahnya tidak lagi mempunyai bidang kuasa mengenai hal-hal di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Ia harus dibaca bersama dengan Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang menentukan bahawa Mahkamah Rayuan adalah terhad kepada kuasa yang sama sebagaimana yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi, maka ia menunjukkan bahawa Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa ke atas perkara yang bukan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Namun, ia menimbulkan dilema perlembagaan.

Di bawah jadual kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Islam dan pada masa yang sama, bidang kuasa mahkamah syariah terhad kepada “individu yang menganut agama Islam.” Berdasarkan kenyataan ini, seperti yang dikatakan oleh penasihat undang-undang pemohon yang juga memetik penghakiman dalam kes Lina Joy, mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas pemohon kerana mereka tidak lagi menganut agama Islam.

Agama adalah perkara kepercayaan

Dalam isu sebegini, kita perlu mengambil iktibar daripada keputusan progresif yang dibuat oleh negara-negara Islam yang lain. Kerajaan Jordan, sebagai contoh, baru-baru ini mengumumkan bahawa kad pengenalan baru rakyat mereka tidak lagi menunjukkan agama pemegang kad. Ini mematuhi kedudukan perlembagaan yang menjamin kesaksamaan untuk setiap warganegara di bawah undang-undang, serta untuk mengelakkan diskriminasi atas dasar agama.

Dalam mempertahankan langkah itu, Marwan Qutaishat, ketua Lembaga Passport Jordan, menyatakan bahawa “agama tidak boleh dinyatakan melalui perkataan bertulis atau janggut.”

Logik yang sama perlu digunapakai dalam kes rakyat Malaysia. Agama perlu menjadi perkara kepercayaan individu, dan bukannya harus diputuskan oleh birokrasi. Ia seakan menentang logik akal apabila seseorang itu secara undang-undang seorang Muslim walaupun mereka tidak lagi percaya kepada agama itu. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah menganut agama berbeza.

Pandangan itu bukan sahaja selaras dengan jaminan kebebasan beragama seperti yang ditetapkan oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tetapi juga dalam Al-Quran, di mana ia ditentukan bahawa tidak ada paksaan dalam urusan kepercayaan agama. Ia tambahan pula lebih relevan untuk rakyat Sabah dan Sarawak di mana Islam bukanlah agama rasmi di sana.

Petisyen terus kepada Mahkamah Persekutuan

Perkara 121(1A) dan penciptaan sistem keadilan yang selari telah mengakibatkan jurang perlembagaan. Disebabkan jurang itu, ramai rakyat Malaysia terpaksa menghabiskan bertahun-tahun untuk mendapat pembelaan sewajarnya dari sistem kehakiman. Selain daripada kes penukaran agama, pertikaian hak penjagaan kanak-kanak yang melibatkan ibu bapa Islam dan bukan Islam juga sukar untuk diselesaikan, dengan beberapa kes berlarutan hingga hampir satu dekad sebelum keputusan muktamad dibuat. Kebiasaannya, ia telah terlambat.

Apa yang jelas adalah satu penyelesaian perlu dibuat. Oleh itu, saya ingin menegaskan betapa perlunya Akta Mahkamah Kehakiman dipinda dalam dua cara. Pertama, Mahkamah Persekutuan tidak lagi hanya terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dalam erti kata lain, Mahkamah Persekutuan perlu bertindak sebagai badan keadilan terakhir dan muktamad berhubung perkara undang-undang di negara ini.

Kedua, satu prosedur perlu diwujudkan untuk membenarkan petisyen terus kepada Mahkamah Persekutuan dalam perkara-perkara yang melibatkan hak perlembagaan dan hak asasi manusia, termasuk perkara-perkara tentang bidang kuasa yang tidak jelas, seperti yang termasuk dalam Perkara 121(1A).

Bukan sahaja pindaan ini membenarkan satu saluran penyelesaian yang jelas untuk kes-kes bertindih antara mahkamah syariah dan sivil, tetapi ia juga memendekkan proses rumit melalui Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sekaligus menjimatkan masa, sumber dan penderitaan emosi bagi mereka yang mencari perlindungan undang-undang.

Jika kerajaan tidak bersedia untuk melakukan pindaan itu, saya akan membuat rang undang-undang persendirian berhubung hal ini pada persidangan Parlimen akan datang. – Roketkini.com

*Zairil Khir Johari merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan