Berita

Bimbang keselamatan keluarga, kaya sangatkah Ku Nan?

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa beliau tidak akan mengisytiharkan harta yang dimilikinya kerana bimbang akan dirompak atau anaknya diculik adalah sama sekali tidak berasas.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata Tengku Adnan seperti mengandaikan polis tidak mampu menjalankan tugas dengan baik untuk menjaga keselamatan diri dan harta rakyat daripada ancaman penjenayah dengan kenyataan sedemikian.

“Jika pandangan beliau ini benar, kerajaan wajar melarang pihak media daripada melaporkan pengumuman saban tahun senarai 20 orang terkaya Malaysia, kerana publisiti sedemikian akan mengancam keselamatan harta dan keluarga mereka.

“Kalau cara pemikiran Ku Nan itu boleh diterima, warga asing kaya-raya tidak patut melancong ke Malaysia, tidak kiralah untuk bercuti atau bekerja, kerana mereka mungkin dirompak atau diculik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk DAP meminta agar Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan mengisytiharkan asetnya kepada umum berikutan wujud pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didapati terlibat dengan rasuah.

Walau bagaimanapun, Ku Nan dalam satu kenyataan berkata, beliau enggan berbuat demikian dengan alasan kononnya ia akan menyebabkan penjenayah merompak keluarganya atau menculik anaknya.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur menjelaskan, kebimbangan Ku Nan itu tentu disebabkan oleh kekayaan yang melimpah-ruah sehingga mampu mendapat perhatian penjenayah mahupun perompak.

“Jika kerisauan menteri Umno ini benar-benar berasas, kekayaannya pastilah begitu hebat sehingga ia boleh mengejutkan negara dan memalukan taikun-taikun negara, sekiranya ia diisytiharkan kepada umum,” katanya.

Beliau menegaskan, Ku Nan tidak harus enggan mengisytiharkan pendapatan tahunannya selepas beliau menjadi Menteri sepenuh masa walaupun memiliki banyak aset melalui perniagaan sebelum menjadi ahli politik. – Roketkini.com