Berita

Pakatan Harapan seru orang ramai sertai himpunan #TangkapMO1 Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Majlis Presiden Pakatan Harapan menyuarakan sokongan penuh kepada program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 27 Ogos.

Dalam satu kenyataan media hari ini, badan tertinggi Pakatan Harapan itu menggesa seluruh rakyat Malaysia yang memegang teguh keadilan dan kebenaran untuk turut bersama-sama menyertai program berkenaan.

Menurut kenyataan Majlis tersebut, isu laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan dakwaan kecurian berbilion ringgit wang rakyat oleh beberapa individu termasuk ‘Malaysian Official 1’ serta kemasukan AS$731 juta ke dalam akaun peribadi beliau mesti dipandang serius.

“Pada masa sama, kenyataan bercanggah oleh anggota-anggota Kabinet mengenai identiti MO1 serta keengganan pihak berkuasa termasuk PDRM untuk mengenalpasti MO1 amat merisaukan dan menjejaskan integriti pentadbiran kerajaan.

“Dalam sejarah negara malah dunia, apabila berlaku krisis kepimpinan atau kesusahan nasional, jika golongan lain dalam masyarakat berdiam diri atau keliru, lazimnya anak muda dan mahasiswalah yang mara mencetuskan angin kebangkitan ke arah perubahan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut membantah keras tindakan intimidasi dan menakut-nakutkan oleh pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong kempen #TangkapMO1 tersebut.

Ia termasuklah perintah reman tiga hari ke atas tiga aktivis mahasiswa, iaitu Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin yang mempromosi kempen itu di UiTM Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.

“Kami yakin dan percaya bahawa usaha anak muda dan mahasiswa ini akan mendatangkan hasil positif dalam menyelesaikan misteri siapa Malaysian Official 1 itu,” jelasnya.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu. – Roketkini.com