Rencana

Antara MO1, Najib dan YB Langkawi; apa dan mana nilai sanjungan Melayu?

Saya tidak faham kenapa kita hendak berkelahi mengenai status langkah yang diambil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, atau kita menyusahkan dan mengusutkan fikiran mengenai sama ada tindakan DOJ sivil atau jenayah.

Apa yang lebih penting ialah cerita dalam tindakan tersebut.

Betul, tindakan itu tindakan sivil. DOJ memohon mahkamah untuk menyita pendapatan dan harta Wolf of Wall Street Motion Pictures dan Red Granite. Kepada kerajaan Amerika, belanja yang dibuat oleh Wolf of Wall Street dan apa-apa wang yang masuk ke dalam kantung Red Granite berpunca daripada wang yang dicuri dari syarikat 1MDB.

Wang yang dicuri dari 1MDB itu menyebabkan penghasilan  Wolf of Wall Street dan Red Granite ialah satu tindak-tanduk jenayah (criminal conduct). Criminal conduct itu berlaku melalui pengubahan wang (money laundering). Yang menyebabkan kandungan dalam tindakan sivil itu ialah perbuatan jenayah oleh mereka yang berkait dengan 1MDB.

Melalui tindakan ini, satu dunia dan kita, tahu apa sudah berlaku. Rupa-rupanya semua belanja yang didakwa dilakukan Jho Low, dipercayai Riza Aziz buat, Qubaisi dapat, Badawy dapat, Tarek Obaid dapat, Casey Tang dapat, Eric Tan dapat, Jho Low dapat, adik perempuan Jho Low dapat dan MO1 dapat semua datang dari 1MDB. Semua wang curi. Duit rakyat Malaysia kena sekau, kita masih dayus tidak mahu bertindak?

Dan ini yang memelikkan. Kenapa kita, terutama orang Melayu merelakan wang kita dicuri? Apa kena dengan kepala kita? Wang kita kena curi , kita cakap tidak apa. Sebab ya? Sebab ini selari dengan agenda Melayu?

Adakah dengan menceritakan bahawa ianya tindakan sivil, maka musibah ke atas negara kita menjadi ringan? Jenayah bertukar menjadi kebajikan? Pencurian menjadi pelaburan sah?

AS$3.5 bilion telah dicuri dari kita dan adakah orang Melayu mempertahankan pencurian tersebut?

Yang lebih penting sepatutnya dan menjadi objek kepedulian kita ialah pendedahan yang lakukan oleh DOJ. Tanpa kita sedari, pemimpin negara kita telah bersubahat dan berkomplot mencuri duit dari 1MDB. Mengikut DOJ, AS$3.5 billion dicuri.

Kita nanti pula pendedahan oleh Switzerland, Hong Kong, Singapura, Perancis dan negara-negara lain. Duit 1MDB yang tidak dapat dikesan ialah sekitar AS$7 hingga 8 billion, dan adakah ia juga disonglap oleh geng 1MDB? Sebab, pada setiap waktu, urusniaga 1MDB berada dalam tangan mereka.

Kita sudah diberitahu siapa yang didakwa mencuri duit kita; MO1. Shahrol Halmi, Casey Tang, Jasmine Loo, Riza Aziz, Low Taek Jho, Patrick Mahony, Tarek Obaid, Al Qubaisi, Badawy Husseini, Eric Tan dan ramai yang sedang dikenal pasti. Kita juga tahu bahawa wang dari KWAP lesap. Dari SRC lesap dan didakwa pencuri atau penyebab kehilangan wang SRC ialah Nik Faisal dan Datuk Subuh.

Kita hendak beritahu semua orang ini, kita akan buru mereka sampai lubang cacing dan bila disahkan mereka yang mencuri, mereka perlu dikenakan hukuman.

Semua ini menyebabkan kita bertanya; Mana dia moraliti bangsa Melayu? Mustahil kita tidak boleh membezakan jahat dan baik? Hanya kerana salahlaku tersebut ‘diperbolehkan’ orang Melayu, maka ianya dimaafkan? Atau yang melakukan ialah Melayu dan seagama, dimaafkan juga? Low Taek Jho hanya suatu perkakas penting dalam pencurian duit ini; yang membenarkan pencurian dan songlap itu berlaku ialah sekumpulan orang Melayu.

Sekarang siapakah yang boleh menafikan dengan mutlak, melepasi kesangsian orang, bahawa mungkin Jho Low atau Eric Tan sebenarnya, penyimpan wang bagi pihak MO1?

MO1 yang tidak lain dan tidak bukan ialah Najib Tun Razak. Perkara ini tidak perlu FBI beritahu kita. Mengenai identiti MO1 yang kita mahu berdemo, dan bertikam lidah ini saya pun tidak faham. Ianya tidak boleh orang lain, kecuali Najib Tun Razak. Terimalah hakikat bahawa orang itu menyamun perbendaharaan kita.

Maka sehubungan dengan itu, tidak cukup Ahli Parlimen Langkawi memohon maaf. Dia telah menghina Raja Melayu. Ketua Raja-raja melayu. Dia telah memberi gambaran bahawa Yang Di-Pertuan Agong merupakan individu yang menerima berpuluh juta Dolar Amerika dari Putera Arab, dari Blackstone Asia dan dari Tanore Finance Corporation. Adakah Riza Aziz bersaudara dengan Yang Dipertuan Agong? Adakah akaun dalam Ambank private banking yang menerima segala wang dari 1MDB itu milik baginda?

Ahli Parlimen Langkawi telah menghina Agong. Baginda digambarkan sebagai individu yang melakukan beberapa jenayah. Adakah orang Melayu akan tidak pedulikan penghinaan tersebut? Saya percaya jika yang melakukan apa yang Ahli Parlimen Langkawi lakukan itu seorang bukan Melayu, Malaysia kita akan meletup.

Demikiankah kehalusan budi pemimpin UMNO sanjungan bangsa Melayu? – Roketkini.com

*Datuk Mohd Ariff Sabri ialah Ahli Parlimen DAP bagi kawasan Raub