Wawancara

Di sebalik tirai ‘Tangkap Malaysian Official 1’

Saban tahun sejak tercetusnya gerakan Reformasi pada tahun 1998, kita melihat demikian banyak watak anak muda mahasiswa memainkan peranan sebagai jurucakap masyarakat, maju ke barisan hadapan mendesak supaya sistem dan negara berubah ke arah yang lebih baik.

Nama-nama seperti Jonah, Black, Amin Idris, Hilman Idham, Shazni Munir, Adam Adli dan Fahmi Zainol adalah antara banyak watak aktivis mahasiswa yang telah mewarnai lapangan gerakan rakyat. Mereka kemudiannya menyertai politik, atau sekurang-kurangnya tidak lari jauh dari aktivisme politik.

18 tahun selepas tercetusnya gerakan Reformasi, dunia aktivisme mahasiswa yang dibanjiri lelaki akhirnya menyaksikan kemunculan Anis Syafiqah, mahasiswi Universiti Malaya, jurucakap Gabungan Tangkap Malaysian Official 1.

“Tak tahu lah, mungkin (bagi saya) kesedaran lebih besar daripada kerisauan. Tak kisahlah sebenarnya lekaki atau perempuan,” jawabnya ketika disoal kenapa tidak ramai wanita yang ke depan mengepalai gerakan.

Anis3“Tanggungjawab ‘amar makruf nahi munkar’ bukan untuk lelaki saja,” tambah anak gadis bergelar Hafizah ini, yang sebelum ini pernah mendapat pendedahan dan pendidikan politik melalui sistem tarbiah GAMIS, selain menyertai Sekolah Politik Institut Kajian Dasar dan juga Sekolah Demokrasi anjuran DAP.

“Kita berpakat, secara strategi, kalau lelaki yang lead kali ni, tak ada ‘wow factor’. Kita nak buka mata orang ramai,” tambahnya mengulas lanjut kurangnya keterlibatan wanita muda dalam aktivisme politik negara.

“Kalau sebelum ini tak ada orang ke depan, apatah lagi perempuan; kali ini perempuan yang ke depan.

“Kalau perempuan ke depan kenapa tak semua orang ke depan,” ujarnya memberi pencerahan.

Ketokohan Anis terserlah dalam ucapannya di pagar UiTM Seri Iskandar, yang telah dirakam dan disebar luas dalam masa kurang 48 jam. Beliau dengan penuh perasaan menyampaikan segala yang terbuku di hati, dengan penuh berani meski kelihatan di ambang tangis.

Tidak menyangka ucapan tersebut akan tersebar luas dan menyentuh hati masyarakat, Anis merasakan apa yang telah dilakukannya setakat ini cukup berbaloi kerana mesej yang mahu disampaikannya bagaikan api marak di padang belukar.

Namun sebenarnya kenapa beliau terjun ke lapangan gerakan aktivisme politik? Bukan sahaja terjun ke lapangan, malah terus meluru ke barisan hadapan?

“Selepas seminggu laporan saman sivil DOJ, kita tengok tak ada apa-apa isu atau tindakan daripada mana-mana pihak, termasuk pembangkang. Tak ada movement,” jelasnya.

“Mahasiswa berpakat, takkan nak biarkan isu antarabangsa terbiar tanpa buat apa-apa. Kita malu satu dunia tengok rakyat malaysia rileks macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Maka anak muda mahasiswa tubuhkan Gabungan Tangkap MO1, kita berhubung dengan seluruh rakyat Malaysia dengan kesedaran sepunya,” katanya.

Menubuhkan gerakan dan kemudian menggerakkan gagasan perubahan bukan benda baru. Sebelum ini pun sudah ramai yang buat dan telah berhadapan pelbagai risiko selain memperjudikan masa depan masing-masing.

Namun kata Anis, beliau faham risiko membuat keputusan untuk bertindak.

“Bukan buat suka-suka. Dah sampai masanya.

“Kalau bukan student dan anak muda, yang tak ada kepentingan politik, yang boleh ajak semua pihak, tanpa kira ideologi dan fahaman politik, siapa?” ujar Anis.

Menurutnya lagi mereka tidak mahu gerakan yang bertujuan mendesak pemberkasan Malaysian Official 1 itu berpecah-pecah. Katanya, jika dianjur organisasi tertentu, mereka yang tidak sebulu dengan organisasi itu tidak akan ikut serta. Malah mahasiswa bertegas kali ini untuk tidak membenarkan orang politik berucap di acara utama perhimpunan Sabtu ini, bagi mengelak daripada acara mereka di’hijack’ pihak-pihak berkepentingan.

“Kita nak semua bersatu untuk kita selesaikan isu MO1!” tegasnya.Anis5

Satu lagi kebaikan yang dilihat apabila Anis yang dilihat memimpin perhimpunan aman kali ini ialah tekanan pihak keselamatan tidak begitu keterlaluan. Ditanya kenapa agaknya beliau belum ditangkap polis, mungkinkah kerana Anis seorang perempuan, beliau sekadar senyum dan berkata, “Mungkin sebab belum lagi perhimpunan.”

Sebelum ini tiga mahasiswa dicekup polis bantuan UiTM Seri Iskandar atas dakwaan cuba menceroboh UiTM. Ketiga-tiganya dituduh cuba memanjat pagar kampus terbabit, dan dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari, dan kemudiannya dibebaskan.

Namun katanya setakat ini pihak polis, meski Cawangan Khas belum memberikan tekanan seperti yang pernah dikenakan ke atas penganjur-penganjur perhimpunan aman sebelum ini.

Ketika memaklumkan pihak berkuasa tentang perhimpunan yang bakal berlangsung, pihak polis sekadar berkata mereka tidak ada masalah, cuma perlu izin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Meski kita tahu lah, itu hanya ayat diplomasi.

“Polis tak kata jangan buat. Sebab kita bawa Perlembagaan ke mesyuarat,” ujar Anis lagi.

Di pihak DBKL pula, Anis menghantar notis ke pejabat Datuk Bandar sendiri sejurus mesyuarat bersama pihak polis.

Namun katanya DBKL hanya menjawab notisnya melalui Whatsapp sahaja.

“Saya hantar dengan tangan ke pejabat datuk bandar. DBKL hantar mesej saja, hantar gambar surat guna Whatsapp,” jelasnya.

Sabtu ini gerombolan anak muda mahasiswa akan berhimpun dari dua checkpoint, di Masjid Negara dan kompleks Sogo dan berarak menuju Dataran Merdeka. Dengan berbekalkan ucapan, nyanyian lagu rakyat, bacaan sajak, mereka berharap untuk membangkitkan kesedaran orang ramai selain mendesak kerajaan supaya bertindak ke atas individu bergelar Malaysian Official 1.

Namun bagaimana kalau usaha ‘lawan sampai menang’ sekadar menjadi ‘lawan sampai petang’?

“Kalau tak ada apa-apa tindakan, kita akan terus desak sehingga Perdana Menteri sendiri jawab.

“Malah saya pernah sebut bahawa saya akan batalkan perhimpunan kalau PM sendiri umum siapa MO1.

“Banyak orang cakap, demo saja, tapi tak ada apa-apa. Tapi sekurang-kurangnya kita ada usaha. Sekurang-kurangnya masyarakat sedar, dan kita dapat didik masyarakat,” jelasnya. – Roketkini.com