Berita

SPRM gigih tangkap ‘ikan bilis’, tapi ‘ikan paus’ masih bebas

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Peristiwa penahanan pegawai berpangkat tinggi dan bergelar “Datuk Seri” di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini, mengundang seribu satu persoalan yang menuntut tindak balas segera pihak berwajib.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng memetik laporan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia berkata, pegawai yang diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit didakwa memiliki 31 unit pangsapuri bernilai RM15.5 juta dan kereta mewah.

Susulan pendedahan itu, katanya, persoalan mengenai harta kekayaan yang dimiliki individu bergelar menteri dan menteri dalam kabinet – yang mempunyai kuasa lebih tinggi daripada pegawai berkenaan – justeru harus dibangkitkan.

“Kita tertanya-tertanya, berdasarkan laporan ini, berapa banyak pula rumah banglo dan kereta mewah yang dimiliki Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor, yang enggan mengisytiharkan hartanya itu?

“Bagaimana pula dengan menteri-menteri kabinet yang lain? Adakah pihak berkuasa, terutamanya SPRM langsung tidak mahu tahu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan penangkapan pegawai itu, Tengku Adnan seperti yang dilaporkan media, telah mengarahkan semua pegawai di bawah kementeriannya mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, beliau menolak gesaan supaya beliau sendiri mengisytihar kekayaan peribadinya kepada rakyat kerana bimbang kononnya akan menjadi mangsa rompakan, selain mendedahkan ahli keluarganya kepada bahaya.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut turut mempersoalkan jika peristiwa penangkapan SPRM yang “menjadi tajuk utama berita selama lebih seminggu” itu hanya sekadar helah untuk “mengalihkan perhatian daripada skandal penipuan” syarikat 1MDB.

“Sementara SPRM gigih menangkap beberapa ekor ikan bilis dan mempamerkan kejahatan mereka di dada akhbar, masih ada beberapa ekor ikan paus yang masih bebas berenang betul-betul di depan mata SPRM.

“Sebagai contoh, adakah SPRM telah menyiasat berapa banyak aset (dalam dan luar negara) yang dimiliki ‘Malaysian Official 1’ (MO1), anak tiri Najib Razak, Riza Aziz; dan juga Jho Low serta konco-konconya?” katanya.

MO1 yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Riza Aziz dan Jho Low adalah antara individu yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bagi menyita berbilion-bilion dolar AS yang didakwa dicuri daripada dana syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB. – Roketkini.com