Rencana

Abang polis, benarkan rakyat berjuang demi Malaysia

Sampai bila sebenarnya skandal kewangan 1MDB harus memeningkan kepala rakyat Malaysia? Satu demi satu pendedahan dibuat, termasuk dakwaan bahawa dana 1MDB yang kononnya akan meningkatkan hasil ekonomi negara, telah ‘dirompak’ untuk meningkatkan hasil ekonomi individu-individu tertentu.

Namun, maklumat demi maklumat yang didedahkan selama ini seperti tidak membawa sebarang kesan – seolah-olah angin taufan skandal 1MDB yang dikira maha dahsyat oleh masyarakat dunia tersebut tidak berjaya membuatkan pokok bernama Malaysia ini bergoyang.

Walaupun nama ‘Malaysian Official 1’, seorang pegawai kerajaan yang dikatakan mengambil sejumlah dana 1MDB untuk kepentingan sendiri disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), tidak ada mana-mana badan awam, sama ada polis atau SPRM menyatakan niat untuk menyiasat individu terbabit.

Sedangkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, “hanya orang bodoh yang tidak mengetahui siapa Malaysian Official 1” yang menandakan majoriti pihak dapat mengagak identiti jejaka misteri tersebut.

Polis dan SPRM sekurang-kurangnya harus menyiasat identiti ‘Malaysian Official 1’ dan sama ada dakwaan DOJ bahawa AS$731 juta dana 1MDB telah dipindahkan ke akaun peribadinya itu sahih. Kerana jika ia sahih, terbuktilah bahawa Malaysian Official 1 itu seorang penjenayah yang ‘mencuri’ dana awam. Tidak wajar bagi pihak polis membiarkan saja seorang penjenayah berlegar-legar di negara ini tanpa dihukum.

Ada rakan yang memberitahu, sahabat-sahabat aktivis dari negara maju cukup hairan dengan masyarakat Malaysia. Kata mereka, jika pemimpin di sana yang terlibat dengan skandal sebesar 1MDB itu, nescaya pada hari pertama skandal itu terpapar di media antarabangsa lagi, Pejabat Perdana Menteri telah ‘pecah’ dirempuh oleh beratus ribu rakyat yang tidak puas hati.

Tetapi di negara ini, lain pula halnya.

Apabila ada kumpulan mahasiswa yang mahu membuat demonstrasi aman bagi menggesa badan kerajaan seperti polis dan SPRM menyiasat serta mengambil tindakan terhadap ‘Malaysian Official 1’, mereka pula yang ditahan. Mereka pula yang akhirnya digari dan dibawa ke balai untuk disiasat. Individu misteri bergelar ‘Malaysian Official 1’ tersebut tidak pula dilayan sebegitu rupa.

Padahal, polis sepatutnya bekerjasama dengan mahasiswa-mahasiswa yang mengetuai Gabungan Tangkap Malaysian Official 1 itu agar dapat menyiasat dengan lebih terperinci berkenaan identiti sebenar ‘Malaysian Official 1’ dan jenayah yang telah dilakukannya.

Tidak kiralah siapa pun individu berkenaan – sama ada beliau seorang Perdana Menteri sekalipun, polis dan SPRM sepatutnya menjalankan tanggungjawab secara bebas dan tidak terikat kepada kemahuan mana-mana pemimpin atau parti politik. Kerja polis dan SPRM adalah untuk menjaga hak dan kepentingan rakyat, bukan hak dan kepentingan mana-mana individu.

Sudah lupakah polis dan SPRM siapa ‘tuan’ mereka yang sebenar?

Oleh itu, pada demonstrasi aman #TangkapMO1 di ibu kota hari Sabtu ini, pihak polis harus membuktikan bahawa mereka bukanlah sekadar ‘pak turut’ kepada para pemimpin politik tertentu. Polis wajib membenarkan rakyat melontar resah gelisah mereka terhadap budaya rasuah di negara ini serta mengemukakan tuntutan mereka secara aman. Polis harus membenarkan rakyat yang cinta akan negara ini berjuang demi Malaysia.

Demonstrasi yang diadakan bagi melenyapkan budaya rasuah di negara kita bukanlah punca kepada berlakunya kekacauan. Pemimpin-pemimpin yang menyeleweng dan koruplah merupakan penyebab utama kepada kemarahan dan kegelisahan rakyat Malaysia. – Roketkini.com