Berita

Jangan mangsakan pelajar, PTPTN sepatutnya perbaiki mekanisme pembayaran balik

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) wajar menyemak semula keputusannya untuk tidak memberikan pinjaman penuh kepada pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi.

Menyifatkan langkah berkenaan sebagai menyusahkan dan membebankan pelajar, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari justeru berkata, PTPTN sebaliknya perlu mengubahsuai mekanisme pembayaran pinjaman oleh pelajar.

“Penyelesaiannya bukan dengan cara meningkatkan beban pelajar tetapi dengan membuat beberapa perubahan dasar bagi membantu meringankan beban dan membantu pelajar membayar balik hutang.

“Pertamanya dengan kadar pendapatan minima. Contohnya seperti di Australia, graduan yang mempunyai pendapatan kurang $AUD 54,000 setahun tidak perlu bayar balik pinjaman pendidikan

“Keduanya, kadar bayaran balik harus mengikut pendapatan. Maka, lagi tinggi gaji lagi tinggi pendapatan, dan kadar pembayaran permulaan boleh bermula di tahap yang rendah,” katanya kepada Roketkini.

Dengan dua penambahbaikan itu, menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, PTPTN dapat memudahkan graduan yang meminjam untuk membayar hutang yang tertunggak tanpa memangsakan pelajar baharu yang ingin melanjutkan pengajian.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata, pihaknya akan menawarkan hanya 95 peratus pinjaman kepada pelajar yang mendapat tawaran IPT awam, manakala pinjaman 85 peratus kepada pelajar yang mendapat tawaran IPT swasta.

“Walaupun kutipan hasil meningkat disebabkan penguatkuasaan dan tindakan kurang popular yang dilaksanakan PTPTN, sasaran utama belum dicapai kerana daripada RM56 bilion yang dikeluarkan, sasaran yang sepatutnya dikutip semula adalah sebanyak RM15 bilion.

“Oleh itu, kita terpaksa mengambil tindakan, termasuk membuat pemotongan mulai sesi 2014,” katanya Ahad lalu.

Sejak tahun lalu, PTPTN telah melaksanakan beberapa dasar yang mendapat tentangan pelbagai pihak antaranya menyenaraikan peminjamnya yang gagal membuat bayaran dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) selain disenarai hitam Jabatan Imigresen. – Roketkini.com