Rencana

Apa dosa mahasiswa?

Akhir-akhir ini, penglibatan mahasiswa dalam ruang politik seperti demonstrasi dan gerakan aktivisme menjadikan mahasiswa semakin berani bersuara. Tatkala mereka ditentang oleh masyarakat, mereka masih berjuang untuk generasi sekarang dan akan datang.

Maksudnya di sini, menuju ke negara yang lebih baik dan bersih dari segi skandal rasuah. Tidak dinafikan ada antara mereka diugut dan dikecam, namun tidak sesekali ia melunturkan semangat mereka untuk berjuang demi masa depan bersama rakyat.

Sekiranya era 70-an ada tokoh aktivis pelajar seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais sebagai contoh pada era tersebut, kini kita ada Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan yang terkini, Anis Syafiqah yang menjadi jurucakap bagi Gabungan Tangkap Malaysian Official 1.

Mereka berdemonstrasi dan beraktivisme untuk menuntut hak mereka sebagai mahasiswa seperti pendidikan percuma dan peluang pekerjaan yang relevan untuk anak muda. Selain itu, mereka juga menuntut pihak autoriti atau yang berkepentingan untuk menjelaskan sesuatu isu dengan tepat dan benar. Perjuangan sebegini kita patut diraikan dan bukan dicemuh. Suara dan usaha penat lelah mereka masih relevan untuk masyarakat kebanyakan.

Namun demikian, terdapat segelintir pihak tertentu beranggapan bahawa aktiviti demonstrasi atau memberi peluang banyak ruang mahasiswa berpolitik boleh mengundang ancaman kepada kerajaan. Ruang awam mahasiswa untuk berpolitik sudahlah disekat sekiranya telibat dalam anjuran parti pembangkang, ditambah lagi sebagai satu kesalahan atau dosa bagi mereka untuk menyertai.

Satu surat pekeliling dari Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang bertarikh 23 Ogos 2016 kepada semua institut pengajian tinggi telah diedarkan mengenai larangan penglibatan mahasiswa menyertai sebarang aktiviti yang dikatakan melanggar undang-undang negara. Hal ini jelas menutup ruang untuk mahasiswa bersuara untuk mengetahui apa yang betul dan salah.

Saya sempat membaca sebuah buku hasil tulisan ZF Zamir yang berjudul ‘Masharakat Melawan Mahasiswa’ terbitan Dubook Press. Pandangan, kritikan dan perbahasan yang dikupaskan oleh beliau memang tidak saya nafikan. Namun begitu, meletakkan kesalahan ke atas mahasiswa dan masyarakat tidak memerlukan mahasiswa dan universiti adalah kurang tepat.

Tidak sepatutnya kita memukul rata semua mahasiswa sebegitu. Kita, sebagai masyarakat, seharusnya memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam program masyarakat. Sesetengah mahasiswa juga terdiri daripada golongan keluarga yang susah dan ingin berbakti kepada masyarakat.

Saya bersetuju dengan pernyataan ZF Zamir dalam buku tersebut mengenai ilmu yang sedia ada oleh mahasiswa/ mahasiswi seharusnya takut dengan tanggungjawab tersebut yang mana masyarakat sangat memerlukan mereka di saat ketidaktentuan politik-sosio-ekonomi ketika ini. Oleh sebab itu, mahasiswa seharusnya menjadi suara yang mampu menekan polisi dan dasar kerajaan. Saya juga berharap suara mahasiswa dapat didengari oleh pihak atasan mengenai isu masyarakat.

Mengenai isu mahasiswa yang cuma sekadar copy-paste sumber untuk tugasan kerja universiti tanpa memahaminya dan meniru dalam peperiksaan akhir tahun haruslah dikritik dan dipertikaikan. Ini adalah satu dosa kerana menghina intelektualiti dalam kepala otak mahasiswa tersebut. Perkara sebegini menyebabkan mahasiswa terkial-kial mencari makna kehidupan masyarakat.

Teori yang dipelajari tidak difahami sepenuhnya. Teori yang ada tidak sampai untuk membangunkan masyarakat. Mahasiswa sebegini digelar sebagai pelajar mi segera kerana ingin cepat dapat ilmu tapi tidak berkualiti. Oleh itu, lahirlah mahasiswa yang korup, tidak peka dengan sekeliling dan malas untuk memajukan diri menjadi orang berguna kepada masyarakat. Perkara ini,tidak lah saya dapat sangkal.

Selain daripada demonstrasi dan beraktivisme, penglibatan mahasiswa menghadiri forum yang dianjurkan oleh NGO dan pembangkang juga semakin meningkat. Ada juga forum yang dianjurkan oleh mahasiswa sendiri. Namun, yang menjadi isu, untuk mengadakan forum kebiasaannya disekat oleh pihak universiti apabila yang dijemput ada kaitan dengan wakil pembangkang atau manusia yang dikaitkan dengan aktiviti menghasut. Pihak pentadbiran universiti bersikap berat sebelah kerana menyekat orang-orang yang berbeza parti dan pandangan tetapi terbuka untuk pihak kerajaan.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan belum bersikap zalim mengenai penglibatan mahasiswa dalam forum-forum pembangkang selagi tidak di dalam prermis universiti. Ini bermaksud, tidak menyekat mahasiswa untuk menghadiri mana-mana forum di luar. Kerajaan juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk berpolitik seperti Parlimen Belia. Ini jelas membuktikan mahasiswa mempunyai kuasa untuk bersuara dalam politik.

Seringkali saya mendengar kata-kata negatif masyarakat mengenai mahasiswa yang turun lapangan untuk berpolitik yang dianggap sebagai satu dosa, namun lupakah masyarakat bahawa mahasiswa yang turun lapangan berjuang untuk hak rakyat juga?

Janganlah kita memandang rendah kepada mereka. Janganlah membandingkan kesusahan perit jerih anda dengan mereka. Mahasiswa juga seorang manusia seperti masyarakat. Kesusahan yang dialami mereka mungkin juga tidak tercapai dek akal kita.

Sekiranya penglibatan mahasiswa dalam politik adalah sebagai perjuangan yang sia-sia dan berdosa, teruskanlah pandangan sebegitu. Apa yang saya risau ialah apabila mahasiswa tidak lagi peka dengan politik Malaysia ini. Kita harus mempunyai pejuang persis Malala Yousafzai (aktivis pelajar yang memperjuangkan hak wanita dan pendidikan) supaya mampu menggoncang sistem yang sedia ada ini yang bertujuan untuk pembaik pulihan sistem.

Justeru itu, marilah kita meraikan mereka kerana berjuang tanpa memikirkan sebarang ganjaran daripada pihak-pihak tertentu. – Roketkini.com

*Melayu Ubah adalah alumni Sekolah Demokrasi