Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 1

Tanyalah mana-mana murid atau bekas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dan mereka pasti mengenali Thirukkural.

Mintalah mereka menyebut (atau melafazkan secara berlagu) beberapa kural, dan mereka tentu mampu melakukannya dengan mudah.

Akan tetapi, jangan terkejut jika mereka hanya pernah belajar dan diajar tidak sampai 3 peratus daripada keseluruhan kandungan buku berkenaan sepanjang enam tahun belajar di SJKT.

Malah, ramai lepasan sekolah Tamil akan ternganga jika ditanya berapa kali perkataan “Tamil” muncul dalam naskhah berkenaan.

Teks Thirukkural yang dikarang oleh Thiruvalluvar dalam Bahasa Tamil sekitar 2,500 tahun dahulu terbahagi kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama adalah Aram (Kebenaran atau Dharma) yang membicarakan dalam 38 bab (380 kural) tentang kebajikan, pentadbiran negara dan cara mencapai moksha (bersatu dengan Tuhan).

Bahagian kedua adalah Porul (Kebendaan) yang menghuraikan tentang soal wang dan harta dalam 70 bab (700 kural).

Bahagian ketiga adalah Inbam (Nikmat Cinta) yang membicarakan tentang soal nikmat cinta dan kehidupan suami-isteri dalam 25 bab (250 kural).

Secara keseluruhan, terdapat 1,330 kural iaitu puisi dua baris di mana baris pertama mempunyai empat perkataan dan baris kedua mempunyai tiga perkataan. 

Thirukkural disusun secara penuh sistematik oleh Thiruvalluvar kerana terdapat sepuluh kural bagi setiap bab.

Teks ini juga adalah teks moral dan bukan teks suci berciri keagamaan. Maka, Thirukkural mudah diterima masyarakat dunia kerana kandungannya sesuai bagi seluruh umat manusia tanpa mengira batas geografi, budaya dan agama.

Apa yang menarik, nama asalnya bukanlah Thirukkural. Malah, nama pengarang asal tidak diketahui; hanya diberikan nama timangan Thiruvalluvar.

Rupa sebenar Thiruvalluvar juga tidak diketahui. Gambaran umum yang diberikan adalah seorang pendeta berambut panjang diikat sanggul, berjambang dan memakai pakaian seperti sami Hindu.

Merentas Batas Budaya dan Agama

Sebuah patung Thiruvalluvar setinggi 40.6 meter dibina di atas sebuah pulau kecil di bahagian paling selatan Tamil Nadu, India sebagai mengenang serta menghargai sumbangan tokoh berkenaan.

Thiru bermakna “suci”, dan sering digunakan sebagai tanda hormat atau untuk meletakkan seseorang atau sesuatu pada kedudukan tinggi dan terpuji. Kural pula puisi khas dengan tujuh perkataan.

Pada asalnya, koleksi kural ini yang ditulis pada daun lontar dirujuk sebagai Muppaal yang membawa makna “buku yang terbahagi kepada tiga bahagian”. Tiga bahagian yang dimaksudkan adalah aram, porul dan inbam.

Karya sastera dan etika yang dihasilkan pada Zaman Kesusateraan Sangam ini juga dikenali dengan mana-mana Poyyamoli (Kata-kata Yang Benar), Uttharavedam (Veda dari Utara), Teyvanul (Kitab Suci), Tamil Marai (Veda Tamil), Eeradi Nul (Buku Dua Baris), Potumarai (Veda Universal), Vayurai Valtu (Ucapan Kebenaran), dan Thiruvalluvam (Karya-karya Thiruvalluvar).

Berbalik kepada situasi di SJKT, bahagian ketiga dalam Thirukkural, iaitu inbam (nikmat cinta), tidak diajar langsung kepada murid-murid. Hal ini memanglah wajar kerana topik cinta, nafsu dan kehidupan romantik pasangan kekasih yang disajikan tidak sesuai bagi kanak-kanak.

Atas sebab itulah juga teks Thirukkural yang diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia dan Inggeris oleh Dr Singaravelu Sachithanantham (2013) terdapat dalam edisi lengkap, dan edisi pelajar.

Dalam konteks Malaysia, Thirukkural kurang dikenali komuniti Bukan India. Situasi ini mungkin berlaku kerana teks berkenaan diandaikan sebagai teks suci yang berkait rapat dengan ajaran Hindu, Jain dan Buddha.

Pada realiti, teks ini berciri universal dan mengandungi pelbagai ajaran moral dan etika – khususnya dalam bahagian aram dan porul – yang bersifat malar serta boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik dan pandangan politik.

Pada tahun 1967, Tan Sri Ismail Hussein menterjemahkan teks berkenaan dan terbit dengan judul Thirukkural: Sastera Kelasik Tamil Yang Agong.

Buku yang terbit hampir setengah abad lalu sudah tiada dalam pasaran, tetapi saya berjaya mendapatkan stok buku nadir itu baru-baru ini untuk diedarkan kepada sesiapa yang berminat.

Panduan Nilai, Moral dan Etika

Teks Thirukkural turut diterjemah ke dalam lebih 80 bahasa di seluruh dunia. Versi terjemahan Inggeris yang pertama terbit pada 1840. Selepas Bible dan Quran, inilah buku yang paling banyak diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia.

Ramai tokoh terkemuka dunia turut memuji kandungan Thirukkural yang diakui bersifat universal dan merentas sempadan kaum, agama, politik dan budaya.

Apabila menghayati kandungan teks ini berulang kali, saya belajar maklumat baharu yang sesuai dijadikan panduan dalam kehidupan.

Sering juga saya memetik kural – sama ada secara sepenuhnya, atau huraian makna – dalam perbualan seharian. Samalah seperti kita menyelitkan peribahasa dalam percakapan.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Thirukkural berjaya mengungkapkan pelbagai tema, persoalan, isu dan hal-hal yang bukan hanya sesuai pada Zaman Sangam (sekitar tahun 300 Sebelum Masehi hingga 300 Masehi).

Segala topik berkasih, merindui, merajuk dan keinginan untuk bersatu antara pasangan kekasih atau suami-isteri sudah terungkap sepenuhnya dalam Thirukkural.

Petua memilih sahabat, penasihat dan pemimpin, serta nilai, moral dan etika yang sesuai bagi setiap manusia juga sudah terakam kemas di dalam teks ini.

Kepentingan menimba ilmu turut diberikan perhatian khusus oleh Thiruvalluvar. Petua, saranan dan nasihat yang disampaikan menerusi kural – tujuh patah perkataan yang disusun indah – sangat relevan untuk dihayati pada masa kini.

Pada masa sama, perlu diakui bahawa bahasa puitik yang digunakan dalam kesemua 1,330 kural ini mungkin tidak mudah difahami penutur Bahasa Tamil pada masa kini.

Malah, lepasan SJKT dan graduan bidang pengajian Bahasa Tamil sendiri tidak semestinya mampu memahami sepenuhnya istilah-istilah Tamil klasik yang terkandung dalam Thirukkural.

Kehadiran pelbagai buku berbentuk komentar dan ulasan, serta terjemahan dalam pelbagai bahasa, boleh membantu kita lebih memahami karya klasik ini.

Dalam makalah susulan, saya akan berusaha menghuraikan beberapa kural yang menarik untuk diperhatikan dan diperkatakan dalam konteks Malaysia. – Roketkini.com

* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.my