Berita

Bapa tiada kuasa pengaruhi keputusan kerajaan, kata Adun Sungai Pinang

GEORGE TOWN, 29 JULAI: “Bapa saya tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Begitu juga dengan saya.”

Demikian penegasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang, Lim Siew Khim menjawab tuduhan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkenaan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan permohonan rumah kos rendah di negeri itu.

Gerakan Pulau Pinang dalam sidang media lebih awal mempersoalkan kandungan video klip lima minit yang menampilkan bapa Adun tersebut, Lim Keat Seong dan mendakwa berlakunya kesalahan rasuah.

Pengerusinya, Oh Tong Keong turut mempersoalkan sama ada Siew Khim turut terlibat dengan perkara tersebut, namun dinafi keras oleh beliau.

lim siew kimSiew Khim dalam sidang media bersama pimpinan DAP Pulau Pinang berkata Kerajaan Negeri komited dalam menjalankan prinsip cekap, akauntabel dan telus dalam pengurusannya, selain memberitahu saringan pemohon untuk rumah kos rendah di negeri ini adalah berdasarkan kriteria yang ketat serta telus.

Beliau mengingatkan pemohon agar sentiasa berurusan dengan jabatan perumahan jika ingin mengetahui sama ada status permohonan mereka diluluskan atau tidak serta mengingatkan orang ramai agar tidak percaya bahawa dengan membayar ‘duit kopi’, permohonan mereka akan diluluskan.

“Saya menasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis jika ada sebarang percubaan untuk memperolehi wang bagi membantu mereka mendapat perumahan kerajaan, dan saya menggesa polis agar menyiasat perkara ini.

“Saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Serangan oleh Gerakan ini adalah karut dan tidak berasas” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang itu turut menegaskan, dakwaan dari Gerakan itu berkait rapat dengan perebutan pemimpin parti itu untuk DUN Sungai Pinang.

“Saya ingin menasihati Oh agar tidak ‘melompat kegembiraan’ seolah-olah beliau sudah pasti dapat mengalahkan pemimpin Gerakan yang lain untuk menjadi calon Sungai Pinang dengan mengeksploitasi isu ini.

“Satu-satunya sebab mengapa Gerakan dan Oh terpaksa melakukan serangan peribadi ke atas saya adalah kerana mereka tidak dapat mencari sebarang isu melibatkan prestasi saya sepanjang tiga tahun menjadi Adun,” ujarnya.

“Saya komited untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat Sungai Pinang dan saya akan bekerja sehabis keras bagi memastikan Sungai Pinang berubah daripada mundur kepada kawasan moden,” tambah beliau. – Roketkini.com