Berita

DAP sokong penuh resolusi Orang Asli tuntut hak tanah

TEMERLOH, 29 OGOS: Masyarakat orang asli Pahang terus menuntut supaya kerajaan bertindak segera menyelesaikan masalah berlanjutan melibatkan hak tanah, pengiktirafan, identiti dan kebudayaan mereka yang semakin terancam.

Akibat pengabaian penguatkuasaan dan sikap tidak acuh pihak berkuasa terhadap hak tanah Orang Asli, banyak kawasan hutan di penempatan mereka di negeri ini dilaporkan telah diteroka pihak tertentu. Lebih mendukacitakan, sebahagian penerokaan tanah yang mengancam kelangsungan budaya, sejarah dan identiti masyarakat Orang Asli mendapat ‘restu’ dari pihak berkuasa negeri.

Perayaan OA2Salah satu kes yang pernah dilaporkan Roketkini sebelum ini ialah isu penerokaan hutan oleh syarikat swasta di Kampung Lubuk Perah dalam Parlimen Bera dan banyak lagi isu berkaitan seluruh negara khususnya di Pahang, Sabah dan Sarawak.

Bertemakan “Memperkasakan Adat dan Budaya” dan “Hak Tanah Sekarang”, satu majlis penyerahan resolusi dibuat dalam Perayaan Hari Orang Asal Peringkat Negeri Pahang Sabtu lalu anjuran bersama Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS), Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP), penduduk Kampung Berdut dan wakil rakyat tempatan.

Dalam resolusi itu, ia menyenaraikan empat tuntutan kepada kerajaan untuk diselesaikan secara tuntas iaitu;

  1. Mewartakan Wilayah Tanah Adat Orang Asli secara kekal atau di bawah Seksyen 7 Akta 134 terlebih dahulu, untuk tindakan jangka panjang hendaklah diberimilik kepada Orang Asli tempatan dalam bentuk geran komunal (geran kelompok) diurus dikawal sepenuhnya atau mengikut keperluan Orang Asli tempatan bagi mengelakkan sebarang pertikaian berlarutan. 
  1. Masukkan dalam mana-mana borang rasmi perkataan Orang Asli sebagai salah satu bangsa di dalam Malaysia, supaya ia jelas, bukan diletakkan dalam kategori Melayu atau lain-lain.
  1. Masukkan perayaan adat dan kebudayaan Orang Asli dalam kalendar negara, dalam mempromosi adat dan budaya Orang Asli.
  1. Isytiharkan 9 Ogos sebagai Hari Orang Asal sedunia sebagai cuti umum bagi mendokong Deklarasi mengenai Orang Asli, cara hidup adat, budaya Orang Asli perlu dihormati dan dilindungi sebagai satu bangsa pribumi di negara ini.

Perayaan OA5Majlis yang bermula sejak pagi dihadiri Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang juga ADUN Mentakab, Wakil SUHAKAM Hasmah Abdul Manaf dan wakil Majlis Peguam Hon Kai Ping manakala Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said dan ADUN Jenderak Datuk Seri Mohamed Jaafar pula pada sebelah petang.

Tengku Zulpuri Shah yang menerima resolusi tersebut menyatakan sokongan penuh terhadap semua tuntutan yang diketengahkan.

Resolusi tersebut jelasnya amat mustahak bagi menjamin hak dan identiti orang asli dipertahan, dipulihara dan diketengahkan demi keberlangsungan dan masa depan masyarakat Orang Asli negara ini khususnya di Pahang.

“Hak golongan minoriti perlu dijaga dan dijamin bukan semata-mata dalam pertunjukan kebudayaan tetapi juga merangkumi seluruh aspek termasuk hak pemilikan tanah, pendidikan, peluang pekerjaan dan ekonomi sebagaimana kaum-kaum lain di Malaysia,” katanya kepada Roketkini.

JAKOA gagal hadir walau dijemput 

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedangkan agensi Perayaan OA10aitu telah dijemput pihak penganjur.

Kata Tengku Zul, ketiadaan wakil JAKOA jelas menunjukkan agensi berkenaan tidak prihatin terhadap masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan Orang Asal.

“Walaupun ada satu lagi program di tempat lain, takkanlah JAKOA tak boleh hantar seorang dua wakil jika mereka serius untuk bantu bangunkan masyarakat Orang Asli.

“Jika beginilah cara mereka mengurus, maka mereka telah gagal,” ujarnya.

Perayaan OA7Beliau menegaskan JAKOA bukan sahaja memerlukan pegawai yang berpendidikan tetapi juga perlu mempunyai semangat dan keprihatinan yang tinggi terhadap masyarakat Orang Asli.

“Kalau nak jadi ‘yes man’ saja baik tak payah bekerja dengan JAKOA, jangan pegang jawatan yang hanya menunggu arahan BN atau makan gaji semata-mata.

“JAKOA sepatutnya berani berhadapan dan bersua muka serta hadir dalam mana-mana program NGO-NGO Orang Asal dan bukan melarikan diri,” katanya lagi.

Selain penyerahan resolusi kepada pemimpin dan wakil-wakil NGO, majlis yang dihadiri sekurang-kurangnya 800 penduduk setempat dan pengunjung luar pada itu turut menyaksikan persembahan kebudayaan seperti persembahan Sewang, sukan tradisi, demonstrasi kraftangan dan pameran hasil tangan serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. – Roketkini.com