Sastera

CERPEN – Lagenda Bogoh dan Bagaimana Malaysia Tertipu – Bahagian 2

Baca Bahagian 1, Lagenda Bogoh

Maka, pada 10 Oktober 2015, berhimpunlah rakyat jelata dari segenap lapisan di setiap padang permainan di Malaysia untuk Majlis Melesap dan Menghilangkan Malapetaka Jerebu. Setiap rakyat telah dikelambu oleh topeng N95 yang diberi NGO dan aktivis medikal.

Minuman pula ditaja syarikat Baek, sebuah syarikat konglomerat yang mana anak perempuan salah seorang kerani Baek secara kebetulan mempunyai hubungan mesra dengan kawan kepada anak kepada perdana menteri.

Sudah tentu, di zaman itu, semua orang tahu kelibat mesra mereka. Namun, oleh kerana minuman Baek itu bergula tinggi dan sedap untuk obesiti, maka perhatian rakyat hanya diberi pada ngangaan mulut sambil melayan perut.

Mujur ada megi goreng telur mata taknak sayur yang diberi percuma atas semangat solidariti oleh setiap restoran berdekatan.

Kalau bukan sebab desakan parti pembangkang ketika itu, jangan haraplah nak merasa semua itu, catat Bogoh.

Semua kejadian ini dicatit beliau dengan terperinci. Sri Rampai juga tidak berkata apa mengenai hak cipta Bogoh. Oleh itu saya telah ambil keputusan untuk menyalincetak tulisan Bogoh untuk dipasarkan di negara Niukonisia.

Tepat jam dua belas tengahari, kesemua skrin layar seantero Malaysia ditukar untuk tayangan majlis. Rakyat yang dalam jerebu mula sedar hakikat keberadaan mereka di situ.

Tidak lain, majlis itu majlis menghalau jerebu oleh Bogoh.

Menurut tulisan cakar ayam yang saya dan lapan ratus lapan puluh lapan pelajar saya transkripkan, majlis itu bermula dengan ucapan terima kasih oleh semua tokoh agama dan falsafah buat perdana menteri. Dan wakil-wakil dari setiap cabang kecil mazhab dan fahaman telah dikurniakan 30 saat bagi menjunjung keagungan pemimpin kecil yang lain. Dianggarkan sebanyak 140 jenis doa dijambak dalam tempoh 70 minit.

Ini bermakna, majlis bermula 70 minit lewat dari tempoh yang ditetapkan Bogoh, watak penting untuk meniup jerebu dari Malaysia. Dengan tambahan 10 minit lewat kerana perdana menteri asyik dengan lagu dan doa puji pujian, menjadikan majlis sebenar bermula jam 1320.

Pada jam 1325, barulah perdana menteri mengambil alih podium dan mengeluarkan kata yang popular ini:

“Kita parti paling berjaya dalam dunia ini dan bila kita kata kita parti berdaya tahan, ada sebab­nya. Cuba tanya diri kita kenapa?”

Bagaimana slogan kompleks ini bertahan lebih 200 tahun amatlah tidak saya ketahui. Salah seorang pelajar saya mengandaikan bahawa dengan mengulang-ulang empat ‘kita’ dalam dua nafas, pendengar akan mabuk, langsung menjadikan pendengar itu rakus tak ada punca. Faham tak?

Sejurus tamat, perdana menteri pun memalingkan muka ke arah belakangnya.

Maka, terpampanglah dihadapan 30 juta rakyat Malaysia akan sebuah rumah teres disahkan oleh agen perisikan tempatan sebagai rumah sewa Bogoh.

Kata perdana menteri, biarlah beliau sebagai wakil yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Malaysia melakukan upacara memanggil Bogoh keluar.

Bersesuaian seperti arahan Bogoh melalui surat bertarikh 7 September 2015, Bogoh telah memberikan kaedah secara terperinci untuk memulakan majlis yakni supaya mengetuk pintu rumahnya sebanyak lapan belas kali.

Dan ya, maka seperti itulah juga yang dilakukan perdana menteri dihadapan 30 juta rakyat Malaysia.

Ketukan pertama sehingga ketukan ke lapan belas dilakukan dalam tempo asas muzik 1-2-3-4, 1-2-3-4, 1-2, yang nalar.

Menurut tulisan cakar ayam kiriman Sri Rampai itu lagi, ketika hampir-hampir tangan perdana menteri menyentuh pintu buat kali ke enambelas, lebih suku dari rakyat Malaysia telah sama ada pengsan dahulu baru sawan, atau sawan dulu baru pengsan.

Dan tangan perdana menteri pun menyentuh permukaan pintu…

“Bogoh… Hai Bogoh… Keluarlah engkau darimana engkau datang kepada bumi agung tanah Malaysia ini,” jerit perdana menteri dengan nada sayu tetapi manja.

Ketika itu jugalah pintu rumah teres Bogoh terbuka dengan sendiri. Semacam mengalukan kedatangan jurukamera, bersama 30 juta rakyat yang dipikul dibahunya.

30 juta inilah yang melihat dua khadam perdana menteri berlari pecut ke bilik utama untuk ambil segulung manila kad, seperti yang diarah Bogoh di dalam surat keduanya kepada perdana menteri bertarikh 8 September 2015.

Manila kad itu kemudian dibawa kepada perdana menteri untuk dibacakan kepada jurukamera dan beban yang dipikulnya.

Oleh kerana ingin membuktikan bahawa beliau mendahului rakyat, dia sebaliknya membuka gulungan kertas itu secara membelakang untuk dibaca dahulu oleh 30 juta rakyat Malaysia.

Seraya itu, rakyat yang sudah sedar dari pengsan dan sawan tadi, telah pengsan dan sawan kembali. Malah, pengsan dan sawan kali kedua ini telah berjangkit dan merebak menjadi epidemik hanya dalam sekelip mata.

Terkejutlah Perdana Menteri Malaysia apabila timbalan perdana menteri membisikkan ditelinganya akan epidemik itu. Apa yang dipampang oleh kertas yang dibukanya itu? Apa yang dilihat dan dibaca rakyat?

Dalam keadaan terpinga, perdana menteri mengalihkan mukasurat itu ke mukanya.

Pantas, perdana menteri jatuh pengsan, diikuti oleh timbalan perdana menteri yang secara tak sengaja terlihat mukasurat kertas tersebut. Menteri kewangan yang terpinga telah melompat untuk membantu dua sahabat baiknya itu. Namun lompatannya tersasar dan ketika mendarat beliau telah terbaca mukasurat tersebut.

Apabila semua orang disitu telah pengsan, Menteri Pelajaran menghampiri kertas itu dan mengambil gambar mukasurat tersebut yang tertera ayat seperti berikut:

“Keluar lah dari malaysia, gerenti tak ada jerebu.”

Maka, begitulah bagaimana pada 10 Oktober 2015, perdana menteri dan seluruh rakyat Malaysia telah ditipu, dikencing dan dianginkan oleh Bogoh, dewa angin. – Roketkini.com