Rencana

Tanah dipijak milik orang: Pribumi tertindas bangkit melawan

Suasana Kampung Berdut yang dihuni sekitar 600 penduduk dari suku kaum Jahut itu agak sibuk pagi ini. Mereka sedang buat persiapan akhir sebelum merayakan Hari Orang Asal Peringkat Negeri Pahang bermula pada jam 9.30 nanti.

Kampung Berdut terletak di belakang Felda Jenderak, Kuala Krau, Temerloh. Sebelum sampai menjejak kaki, anda perlu melalui laluan kecil bertar dikelilingi ladang sawit dan getah beberapa kilometer jauh masuk ke dalam.

Perayaan OA5

Persembahan Sewang dari suku Jahut Kampung Berdak

Kami tiba di sana awal tatkala penduduk dan penganjur bersiap-siap. Saya datang bersama Ketua Pembangkang Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, isterinya Puan Aida Ross dan pegawai khasnya Suhaimi disambut mesra dengan sirih pinang.

“Kalau terlebih kapur, panas. Kalau makan banyak mabuk…” kata Tengku Zul sambal mengunyah sirih.

Kampung ini amat sederhana. Baik orangnya mahupun majlis hari ini, segalanya serba sederhana. Apa yang mengharukan, keramahan budi masyarakat Jahut di sini.

Kebanyakan rumah dibina berjarak dari tanah, bertangga dan dibuat dari kayu. Ada juga yang masih menggunakan buluh sebagai dinding dan nipah sebagai atap, bagi Felda Jenderak pula, kebanyakan rumah peneroka sudah berubah jauh dari imej-imej dalam filem ‘Bilut’ kepada kampung-kampung dengan binaan rumah batu.

20160827_102526

Jeff, salah seorang sukarelawan Perayaan Orang Asal

Sebelum jampi doa selamat dilacak, saya sempat meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Suasana terasa begitu aman dan baik-baik saja apalagi dikelilingi hutan dan pohon-pohon getah merimbun.

Namun, setelah berbual-bual dengan Jeff, pemuda dari suku kaum Jahut berusia 25 tahun itu, kedamaian yang terasa bagai disentak-sentak. Survival dan identiti penduduk kampung Orang Asli ini tak terkecuali diancam.

Menurut pemuda yang mengusahakan tanaman getah itu, masalah utama yang menjadi dilema penduduk Orang Asli di sini adalah isu hak tanah.

Walaupun sebahagian golongan muda kampung tersebut bekerja di bandar-bandar sekitar Pahang malah ke Kuala Lumpur, masih ramai lagi yang bergantung kepada hasil hutan dan penanaman getah serta kelapa sawit.

“Tanah di sebelah bawah sana…” kata Jeff sambil menunjukkan jarinya ke kanan, “Felda nak ambil,” ujarnya.

Jeff memberitahu bahawa sekitar 800 hingga 900 ekar tanah yang sebahagiannya sudah diusahakan penduduk Orang Asli dengan tanaman getah dan sawit telah ‘dipancang’ oleh ‘orang Melayu Felda’.

“Kalau ambil, tanah Orang Asli tak ada title…” jelasnya bermaksud tindakan itu akan mudah dilakukan pihak terbabit manakala masyarakat Orang Asli akan semakin tertekan kerana hilang salah satu punca rezeki mereka.

Tanah dan Orang Asli tak dapat dipisah

Orang Asli dan tanah tidak dapat dipisahkan. Ia adalah salah satu dari identiti yang bersangkut rapat dengan adat resam dan kebudayaan mereka. Elemen terpenting seperti tanah yang kini diancam dan semakin terhakis begitu membimbangkan kalangan warga.

20160827_121858

Yusri Ahon (kiri) menyerahkan resolusi kepada Ketua Pembangkang Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Dalam ucapannya Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) Yusri Ahon, berkata bagaimana mungkin Orang Asal mampu mempertahankan identiti mereka jika hak tanah mereka terancam.

Maka, sesuai dengan keadaan itu Perayaan Orang Asal peringkat kebangsaan tahun ini katanya mengambil tema ‘Kembali ke asal’ dan ‘Hak Tanah Sekarang’ manakala bagai peringkat negeri Pahang, ia bertemakan ‘Memperkasakan Adat dan Kebudayaan’.

“Kembali ke asal bukan bermaksud menggalakkan Orang Asli kembali memakai cawat, bukan juga bermaksud menolak pembangunan, tetapi pembangunan perlulah bersesuaian dengan adat dan budaya Orang Asli yang sangat berhubung rapat dengan tanah dan alam.

“Kita kena berani hadapi cabaran, kita kena berani berikhtiar bagaimana nak melindungi diri. Bagaimana nak perkasakan hak budaya jika hak tanah hilang?” soalnya.

Kata Yusri, perayaan Orang Asal ini merupakan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui penglibatan 144 negara yang telah menandatangani deklarasi berhubung Hak Asasi Orang Asal (UNDRIP) yang dirayakan pada setiap 9 Ogos.

Justeru, JAOS katanya dengan kerjasama Jaringan Kampung Orang Asal Pahang (JKOAP) yang diketuai Shafie Dris bersama penduduk Orang Asli negeri itu sebulat suara menyenaraikan empat resolusi mereka kepada pihak kerajaan, NGO dan mana-mana badan berkaitan demi memastikan hak tanah, pengiktirafan, identiti dan kebudayaan Orang Asal terbela.

Sikap pandang rendah kepada Orang Asli punca tanah terancam

Bagi Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) Shafie Dris, isu tanah yang telah lama melanda masyarakat Orang Asal negara ini perlu diselesaikan secara menyeluruh oleh kerajaan negeri dan Persekutuan melibatkan Kanun Tanah Negara.

20160827_135143

Shafie Dris, Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP)

Menurutnya, kerajaan harus berusaha supaya isu tuntutan ‘tanah bertindih pemilik’ seperti yang sering berlaku dapat diatasi.

“Cara penyelesaian bermula dari kampung, bersatu, buat bantahan dan kemukakan kepada kerajaan negeri, kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan kepada Menteri Besar.

“Kalau (masih) tak boleh (selesai), kami usahakan ke Putrajaya sebab tanah ini melibatkan undang-undang iaitu melibatkan Kanun Tanah Negara. Jadi mesti kabinet mesti putuskan,” katanya kepada Roketkini.

Isu tanah yang semakin menekan masyarakat Orang Asli negara ini jelasnya berlaku akibat sikap tidak prihatin kerajaan terhadap komuniti itu termasuk wujudnya elemen politik dan perkauman.

“Pada pandangan saya masalah ini berlaku akibat sikap rasis dan politik. Politik di sini maksud saya (sikap) mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain supaya menyokong dia. Semasa pilihanraya saja dia bercakap yang bagus-bagus. Tapi selepas pilihanraya? Kita abaikan saja?

“Rasis pula ialah memandang rendah kepada bangsa lain,” jelas beliau yang turut melahirkan rasa dukacita kerana masih ramai kalangan ahli-ahli politik yang seolah-olah tidak berminat untuk membela nasib masyarakat Orang Asli yang tertindas.

Selain itu, beliau juga mahu supaya agensi kerajaan terbabit menjalankan kajian serius terhadap penempatan-penempatan Orang Asal yang masih tidak diiktiraf.

Di Pahang sahaja kata Shafie, hanya terdapat sekitar lebih 200 buah kampung Orang Asli yang diiktiraf. Namun masih banyak lagi penempatan Orang Asli yang tidak diiktiraf kerana rekod Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diwarisi dari rekod yang dibuat kerajaan British terdahulu.

“Yang tak diiktiraf ini maksudnya British masa itu tak lawat kampung. Jadi, tiada rekod, tidak diiktiraf. Walaupun duduk beratus tahun, (sebab) tapi British tak sampai, (maka) tak diiktiraf,” jelas beliau.

Justeru beliau menggesa pihak terbabit mengambil inisiatif untuk membuat kajian mendalam terhadap artifak dan peninggalan lampau di penempatan-penempatan orang Asli yang masih belum diiktiraf.

“Sepatutnya, ini tugas kerajaan. Kena cek, tengok arkib, tanya orang kampung. Kalau betul berpindah randah, mesti dua tiga tahun, ini ratus tahun duduk tapi masa itu British tak masuk, taka da rekod,” tegasnya.

“Wartakan tanah yang sudah diusahakan Orang Asli”

Wakil dari Majlis Peguam Hong Kai Ping pula berkata kerajaan sepatutnya mewartakan hak milik bagi tanah-tanah yang telah dimajukan Orang Asli .

Namun, apa yang berlaku terdapat kes bagi tanah yang telah diwartakan kerajaan, dibatalkan dan diserahkan kepada pihak yang lain.

20160827_133921

Hong Kai Ping, wakil Majlis Peguam

“Jadi, JAKOA masih dalam keadaan bertanggungjawab sepatutnya ambil tindakan kepada kerajaan persekutuan.

“Oleh kerana perkara seperti ini sering berlaku dan kalau tindakan tak diambil oleh JAKOA, saya dorong pihak-pihak seperti NGO melibatkan jaringan Tok Batin Orang Asli Negeri Pahang berjumpa dan bermesyuarat, kalau boleh, dapatkan maklumat dari Majlis Peguam, dapat nasihat, kemudian berbincang dengan JAKOA. Kalau perlu, mengadap Tuanku. Sebab hal tanah dalam persekutuan Malaysia adalah di bawah negeri,” ujar Kai Ping kepada Roketkini.

Menurut peguam itu, dalam beberapa keputusan mahkamah melibatkan isu tanah Orang Asli sebelum ini, ia telah mengiktiraf tanah Orang Asli walaupun tanah tersebut tidak digazetkan sebagai Tanah Adat Orang Asal.

“Tidak perlu sesuatu tanah itu digazet, mengikut perundangan dari mahkamah, asalkan mereka dapat buktikan mereka telah duduki di situ sejak turun temurun memang itu adalah tanah mereka walaupun tidak digazet,” jelas beliau.

Dengan segala pendedahan dan kecelaruan isu tanah Orang Asli yang timbul, saya kira sudah tiba masanya kerajaan melalui agensi berkaitan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu pencerobohan hak tanah Orang Asal, pribumi negara ini yang semakin menjadi-jadi.

Soalan saya mudah, sama ada kerajaan mahu melindungi hak tanah pribumi atau lebih selesa ‘menggadaikan’ tanah-tanah itu kepada pihak ketiga?

Mungkin walaupun dahulu saya kurang setuju lirik lagu ‘Anak Kecil Main Api’, dalam hal ini sungguh, tanah dipijak milik orang. –Roketkini.com