Rencana

Hari Merdeka: Tuntutan untuk kebebasan dan harapan

Terdapat arahan dari kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di semua bangunan kerajaan dan premis-premis lain. Arahan itu dibuat pada tahun 2002 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir ketika menjawat jawatan tersebut.

Dalam satu laporan berita pada 2010, respon supaya bendera dikibarkan itu dingin terutamanya di kalangan rakyat Sarawak dalam kempen “Kibarkan Jalur Gemilang” yang dilancarkan awal bulan itu bersempena bulan merdeka.

Pada 2013, Malay Mail Online melaporkan hanya tiga hari sebelum negara meraikan 31 Ogos, barulah rancak bangunan-bangunan dihiasi Jalur Gemilang.

Tahun ini, kerajaan telah mengarahkan kerajaan-kerajaan tempatan untuk meminta premis-premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut September hadapan. Namun, arahan itu tidak mendapat perhatian malah dikecam.

Namun apa yang kita lihat, jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Tidak banyak lagi bangunan dan premis persendirian yang menghiasi bangunan mereka dengan meriah dan kebanggaan seperti dahulu.

Perkara ini tidak sama sekali menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak patriotik tetapi merupakan manifestasi kekecewaan, kemarahan dan tidak percaya terhadap pemerintah hari ini.

Ia sebuah protes terang-terangan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan pentadbirannya.

Rakyat Malaysia sudah jelak dan jemu dengan gejala rasuah yang berleluasa terutamanya skandal 1MDB sehingga telah mengundang saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap mereka yang rapat dengan Najib termasuk anak tirinya.

Perbendaharaan negara yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan negara, kini telah menjadi hutang berbilion dollar Amerika.

Peliknya, tidak ada sebarang penjelasan tuntas terhadap jutaan ringgit yang telah masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Tiada lagi keghairahan untuk menyambut perayaan ini di saat rakyat terpaksa berhempas pulas bekerja, dengan kenaikan harga makanan dan keperluan lain ditambah buruk dengan keadaan ekonomi yang berada di persimpangan.

Di mana kita saat ini, dalam sebuah negara?

Jawapannya sangat dukacita dan menakutkan. Pemimpin-pemimpin parti pemerintah terlepas begitu sahaja walaupun mereka membuat ucapan yang menyemarakkan api perkauman; kerajaan gemar menakut-nakutkan rakyatnya untuk terus berkuasa; wujud ahli politik yang bermulut cabul merosakkan struktur sosial masyarakat; ada penunggang agama bagi kepentingan politik mereka; kadar jenayah juga melambung; nilai Ringgit makin menyusut; dan kita mempunyai Perdana Menteri yang memberikan dirinya sendiri kuasa mutlak untuk membuat keputusan; pasukan polis setia kepada Najib, dan banyak lagi senarai panjang boleh dinyatakan. Segalanya suram dan menyedihkan.

Di tengah-tengah kesuraman ini, kita melihat harapan baru muncul bilamana golongan siswa bangkit dengan berani dan turun ke jalanraya menuntut kebebasan berhimpun dan bersuara.

Kita akan melihat masa depan yang lebih baik jika rakyat Malaysia bersatu hati menuntut urustadbir yang telus dan lebih ramai rakyat yang terlibat dalam proses membuat keputusan.

Tambah mengharukan, ada individu seperti penyanyi rap Namewee mengambil risiko dengan memohon bantuan, mendedahkan kepada umum berhubung layanan buruk yang diberikan terhadap warga asing tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa.

Menjelang Hari Merdeka ini, kita akan meraikan pembebasan jiwa dari ketakutan, bebas dari cengkaman. Kita akan meraikan kebebasan kita untuk berekspresi dan ia akan didengari.

Dan kita juga akan menyambut kebebasan kita dengan tidak akur kepada sebarang arahan mengarut dari pemerintah.

Selamat Hari Merdeka!

 

*Charles Santiago merupakan Ahli Parlimen Klang