Berita

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia 320 unit rumah murah kepada bumiputera

GEORGETOWN, 7 SEPTEMBER: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan mengorak setapak lagi kehadapan dalam memperjuangkan hak kaum bumiputera di negeri itu dengan menyediakan rumah mampu milik kepada pemohon yang layak.

Sebanyak 320 rumah kos sederhana rendah (KSR) berharga RM140,000 seunit di The Rise dekat Jalan S.P Chelliah telah dibeli kerajaan negeri untuk dijual semula kepada pembeli bumiputera sahaja dengan harga semurah RM72,500 seunit.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, langkah berkenaan diharap mampu memastikan lebih 30 peratus kuota bumiputera yang diperuntukkan dalam projek perumahan di tengah-tengah bandaraya.

“Ia (320 unit rumah KSR) tidak akan dilepaskan sekiranya tidak dapat dijual, sebaliknya tetap akan disimpan,” tegas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Jual Beli 320 Unit Rumah Mampu Milik Jenis B (KSR) The Rise.

MOU berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus mewakili Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama-sama Pengarah syarikat pemaju Zubicon Sdn. Bhd. (Zubicon), Lim Beng Keong.

Turut hadir menyaksikan majlis tandatangan MOU tersebut ialah, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan); serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri telah mengeluarkan sejumlah RM44.6 juta daripada dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (Tabung Bumiputera) untuk membeli semua 320 unit rumah KSR itu.

Katanya, harga sebenar bagi seunit rumah berkenaan adalah RM100,000, bagaimanapun kerajaan negeri telah menyerap RM25,000 iaitu nilai satu petak tempat letak kenderaan di sini, menjadikan harga seunit rumah berkenaan hanya RM72,500.

Berdasarkan MOU itu, sejumlah RM23.2 juta sahaja atau RM72,500 untuk tiap-tiap unit rumah KSR akan dibayar kepada pemaju.

“Bakinya (kita-kira RM21.4 juta lagi) adalah sebagai sumbangan yang ditanggung oleh mereka (Zubicon)

“Manakala, baki RM67,500 bagi 320 KSR ini yang berjumlah RM21.4 juta akan diberikan kepada MPSP sebagai sumbangan bagi menampung kerugian mereka menyerahkan tanah untuk pemajuan projek tersebut,” katanya. – Roketkini.com