Berita

Jika Khairy berani dedah skandal FAM, mengapa tidak 1MDB?

KULAI, 9 SEP: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bertindak tepat apabila menyifatkan  maklumat yang terkandung dalam pendrive melibatkan skandal rasuah Kesatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah lebih penting daripada siapa yang mendedahkannya.

Beliau dilaporkan berkata, apa yang lebih penting ialah untuk mengetahui maklumat yang didedahkan dan bukannya siapa yang mendedahkan maklumat tersebut.

Namun soal Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, adakah Khairy akan mengambil pendirian serupa dalam pendakwaan kepada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli di bawah akta Rahsia Rasmi yang mendedahkan laporan audit 1MDB.

Apa yang penting kata Nie Ching, adakah menteri Umno itu sedia untuk mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menyahklasifikasi laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB itu dalam mesyuarat kabinet.

“Sama seperti peminat bolasepak yang kurang berminat untuk tahu siapa yang mendedahkan maklumat, rakyat Malaysia tidak kisah sekiranya maklumat yang didedahkan Rafizi itu adalah rahsia.

“Apa yang paling penting ialah maklumat tersebut,” ujar Nie Ching.

Justeru, daripada menzalimi Rafizi Ramli dengan akta zalim, gesa Nie Ching, apa yang perlu kerajaan BN lakukan ialah menyahklasifikasi laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB supaya ia boleh dinilai oleh rakyat.

“Malah, jika Rafizi telah menyebabkan kekeliruan umum atau telah memfitnah 1MDB, beliau boleh didakwa di bawah undang-undang lain yang berkaitan,” jelasnya. – Roketkini.com