Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 3

Sementara Bab 1 dalam Bahagian Aram teks Tirukkural membicarakan tentang kebesaran Tuhan, Bab 2 yang terdiri daripada 10 kural pula memperkatakan mengenai kepentingan hujan.

Perlu dinyatakan sejak awal bahawa teks Bahasa Tamil ini yang ditulis sekitar 2,500 tahun dahulu tidak memuja atau mendewa-dewakan hujan. Sebaliknya, menyebut serta menerangan tentang kepentingan hujan kepada hidup manusia khasnya, dan alam sekitar amnya.

Sesungguhnya, hujan merupakan salah satu rahmat yang diturunkan oleh Tuhan demi dimanfaatkan manusia dan kesemua hidupan di muka bumi. Semua agama utama dan tamadun besar dunia mengakui hakikat ini.

Malah, sekiranya diperhatikan dari sudut sains, geografi dan sebagainya, realiti kepentingan hujan memang tidak dapat dinafikan.

Menerusi Kural 11, Thiruvalluvar menggelarkan hujan (mazhai) sebagai madu kayangan (amirtham) yang amat berhargai dan dihargai bukan sahaja oleh manusia, tetapi oleh semua hidupan di muka bumi.

Kural 12 agak menarik dan berirama: “Thupparkkuth thuppaya thuppakkith thupparkkuth; thuppaya thuuvum mazhai.”

Kural di atas sering kali dijadikan bahan jenaka dalam filem Tamil dengan memendekkannya menjadi “Thu thu thu thu thu thu mazhai” iaitu dengan mengambil suku kata pertama.

Tan Sri Ismail Hussein menerusi Thirukkural: Sastera Kelasik Tamil Yang Agong (1967) memberikan terjemahan berikut: “Sa-tiap makanan yang manis ada-lah sumbangan hujan kepada manusia; hujan itu sendiri menjadi makanan manusia juga.”

Sebenarnya, Thirukkural tidak hanya menyebut mengenai “makanan yang manis” tetapi segala bahan makanan. Secara paling asas, segala sayur-sayuran, buah-buahan dan seumpamanya yang menjadi sumber makanan manusia amat bergantung kepada sumber air (hujan) untuk hidup dan membesar.

Bukan setakat itu, sekiranya diperhatikan, hujan juga menjadi sumber air minuman untuk manusia sejak zaman dahulu. Keunikan itulah yang direkodkan menerusi kural berkenaan.

 

Apa Berlaku Jika Tiada Hujan?

Apakah yang akan berlaku jika hujan tidak turun membasahi bumi? Kita tidak perlu menjadi pakar kaji bumi dan kaji cuaca untuk mengetahui jawapan bagi pertanyaan ini.

Sekiranya tiada hujan bagi tempoh yang lama, tanah akan mulai gersang dan kemarau melanda. Dalam keadaan seperti itu, walaupun planet ini diliputi laut dan lautan yang luas, kebuluran akan mula berleluasa; seperti diingatkan menerusi Kural 13.

Satu lagi kesan dinyatakan dalam Kural 14, iaitu sekiranya hujan tidak lagi turun, maka golongan petani yang membajak sawah menggunakan lembu terpaksa menghentikan operasi.

Kepentingan kaum petani dihuraikan menerusi sepuluh kural dalam Bab 104, tetapi dalam kural di atas, diingatkan betapa para petani juga tidak dapat berfungsi tanpa kehadiran hujan.

Ketiadaan hujan membawa kesusahan, kemurungan dan kebimbangan, serta merampas kebahagiaan dalam kehidupan manusia. Hakikat ini diakui menerusi Kural 15, dengan membuat tambahan bahawa tidak lama kemudian, kedatangan hujan mengembalikan keriangan, kebahagiaan dan kesyukuran dalam jiwa manusia.

Dapat kita perhatikan bagaimana pengarang Thirukkural meneliti alam sekeliling serta melihat hubungan intim antara manusia dan alam – dalam hal ini, hujan – lalu mengarang puisi tradisional yang bukan sahaja penuh estetik dan puitis, tetapi juga penuh makna.

Sudah dinyatakan mengenai betapa penting hujan kepada petani untuk bercucuk-tanam. Menerusi Kural 16, diingatkan bahawa risiko akibat ketiadaan hujan bukan hanya setakat itu.

Bayangkan senario ini: Tidak ada walau sehelai rumput di muka bumi walaupun pancaran matahari masih ada. Gambaran yang membimbangkan inilah yang diceritakan menerusi kural tadi untuk mengingatkan manusia tentang kepentingan hujan.

Bahasa Tamil klasik yang digunakan dalam Thirukkural memang sukar difahami rata-rata generasi sekarang. Atas sebab itulah kemunculan versi terjemahan, serta edisi yang disertai penerangan, menjadi pilihan ramai.

Apa yang cuba dilakukan menerusi siri artikel ini bukan menyajikan terjemahan, sebaliknya memperkenalkan kandungan dan intipati karya agung itu kepada khalayak pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

 

Kemanusiaan Mula Terhakis Tanpa Hujan

Ilmu dan pengetahuan sering dirujuk sebagai lautan yang luas dan tidak berkesudahan. Lautan juga menjadi rujukan dalam Thirukkural untuk menerangkan kepentingan hujan.

Cuba bayangkan sebuah lautan luas. Menerusi proses semula jadi, air laut naik ke langit dan membentuk awan. Bagaimana jika proses pembentukan awan ini berlaku secara berterusan – tetapi awan tidak menurunkan semula air ke bumi dalam bentuk hujan?

Apabila membaca Kural 17, kita diberitahu bahawa lautan yang luas itu juga terpaksa mengalah, dan mungkin akhirnya surut. Mungkin sahaja fenomena ini tidak akan berlaku dalam realiti, tetapi bertujuan menjelaskan betapa hujan perlu turun bagi memastikan ekosistem kekal seimbang dan laut tetap berair.

Dalam kebanyakan tradisi di seluruh dunia, apabila kemarau berpanjangan, pelbagai upacara khas diadakan untuk memanggil hujan. Dalam tradisi Melayu-Islam, misalnya, solat istisqa’ iaitu solat sunat muakkad dua rakaat dibuat bagi memohon Allah menurunkan hujan.

Menerusi Kural 18 pula, perkara yang agak bertentangan dinyatakan; iaitu sekiranya hujan tidak turun dari langit, maka upacara keagamaan dan ritual sembahyang harian akan terjejas atau dihentikan terus.

Kita perlu faham bahawa tindakan ini bukan bermakna manusia memarahi Tuhan dan kuasa-Nya. Sebaliknya, sebelum mana-mana upacara keagamaan dilakukan dalam tradisi India-Hindu – sejak sekitar 5,000 tahun dahulu – individu terbabit perlu mandi dahulu.

Malah, ritual keagamaan India-Hindu mementingkan penggunaan air. Atas sebab itulah digambarkan bahawa segala upacara itu akan terjejas dan terhenti sekiranya tiada hujan bagi tempoh yang lama.

Dalam Kural 19 pula dinyatakan bahawa kesan daripada ketiadaan hujan, maka amalan bersedekah (thaanam) dan menebus dosa (thavam) akan berkurangan. Secara simbolik, bermakna nilai kemanusiaan akan berkurangan.

Disimpulkan menerusi Kural 20, sebagaimana kehidupan dan aktiviti manusia di muka bumi akan terjejas tanpa bekalan air, begitulah juga ketiadaan hujan akan menyebabkan manusia tidak dapat berfungsi dengan sempurna. – Roketkini.com

Artikel berkaitan – Bahagian 1 dan Bahagian 2

 

* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.my