Rencana

Kenapa kita perlu ragu dengan RUU 355?

Kita perlu mula menganalisa maksud dan tujuan pindaan RUU 355 yang dicadangkan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang seawal kekalahan PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13. Ini penting kerana, kita mahu menunjukkan bahawa pindaan RUU 355 adalah satu langkah politik yang sebenanrya tidak ada kena mengena dengan agama, Tuhan dan daulah.

Pimpinan progresif utama PAS tewas di kerusi-kerusi seluruh negara pada PRU ke-13. Ini termasuk Mat Sabu, Salahudin Ayub dan Dr Dzulkefly Ahmad. Kerusi-kerusi yang dijangka menang di Negeri Sembilan dan Johor habis melingkup semuanya.

Yang menang adalah kelompok-kelompok konservatif. Mereka kini menghiasi poster-poster PAS, setelah para pimpinan progresif disingkirkan dalam muktamar pada pertengahan tahun lalu. Mereka yang disingkirkan, kini membawa diri dalam parti baru diberi nama Parti Amanah Negara.

Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh, kita perlu diingatkan kembali kepada pertelingkahan dalaman Pakatan Rakyat yang terjadi pada sekitar suku ketiga tahun 2014 yang kemudian membawa kepada perbincangan hudud dalam sidang khas DUN Kelantan pada 29 Disember 2014, ketika sisa selut banjir masih basah di negeri itu.

Perbincangan tersebut timbul hasil umpan yang ditabur Datuk Seri Jamil Khir pada hujung Mac tahun yang sama, kononnya UMNO bersedia bekerjasama dengan PAS Kelantan bagi melaksanakan undang-undang hudud di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Umpan ‘Unity Government’ tersebut disifatkan mengena apabila Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 dipinda pada 19 Mac 2015, setelah Presiden PAS sendiri memberitahu Parlimen bahawa beliau akan mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian demi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ini dilakukan dengan melanggar beberapa resolusi yang telah dibuat secara bersama, ketika masih ada Pakatan Rakyat; termasuklah keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebulan sebelum itu supaya pindaan RUU 355 dibentangkan terlebih dahulu kepada Majlis.

Aneh dan kelakarnya, RUU yang mahu dibentang itu cuba dikemukakan kepada Parlimen beberapa kali, namun tidak berjaya dibentangkan; sehinggalah penghujung Mei tahun ini, apabila Haji Hadi melakukan serang hendap selepas Zohor, dengan bantuan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Setelah tiga kali cuba dibentangkan di Parlimen, Haji Hadi akhirnya diberi peluang oleh UMNO untuk membacakan usul persendiriannya itu. Kita menyaksikan siaran langsung bagaimana Ahli Parlimen Marang itu disoal oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sama ada usul tersebut akan dihuraikan pada hari tersebut atau pada sidang bulan Oktober.

Hadi Awang kemudiannya mengambil masa lebih lima saat sebelum membaca skrip yang dipegang, dan memohon supaya usul ditangguhkan ke sidang mesyuarat bulan Oktober. Sidang yang bakal sibuk dengan perbahasan Belanjawan 2017.

Lebih menarik lagi, kita diberitahu pula bahawa usul pindaan RUU 355 itu bukanlah usul untuk melaksanakan hukum hudud.

Hadi, Najib Razak, Takiyuddin Hassan, Dr Zuhdi dan segala gerombolan gabungan UMNO-PAS gigih memukul canang ‘perkasa mahkamah syariah’ setelah bertahun-tahun memukul canang ‘hudud’. Mereka memberitahu kita bahawa ia adalah sekadar usul untuk meminda bidang kuasa jenayah mahkamah syariah dan tidak pun melibatkan hukum potong tangan dan pancung kepala.

Drama produksi Rusila ini akhirnya membuat kita bertanya, adakah PAS mahu melaksanakan hudud atau tidak? Ini kerana ia telah bertindak menghapuskan lawan-lawan politik progresifnya pada Muktamar Jun 2015, dengan gelaran-gelaran seperti jebon dan munafiq haraki, hanya kerana mereka berpegang teguh kepada Dasar Bersama arwah Pakatan Rakyat yang tidak memuatkan peruntukan tentang undang-undang hudud.

Ini membangkitkan persoalan lebih menarik. Adakah para ‘jebon’ itu dilengser kerana mereka merupakan kendala jalan perpaduan UMNO dan PAS?

Tidak sedikit komen pimpinan PAS, terutamanya dari Nik Abduh, anak kepada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang menunjukkan betapa berahinya PAS itu untuk menjalin kerjasama dengan parti United Malays National Organisation, setelah berhempas pulas PAS menyerang PKR ketika berlangsungnya Langkah Kajang dan pilihanraya kecil Permatang Pauh, serta kemudian menyerang DAP dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan dan pastinya dalam isu undang-undang hudud.

Ternyata perbalahan PAS dengan parti-parti pembangkang ini seakan direncana dengan begitu rapi bagi memastikan keseluruhan dinamika parti lawan UMNO tidak dapat duduk semeja bagi memusatkan sepenuh kekuatan untuk menghapuskan parti Najib Razak. Hudud digunakan untuk memecahkan kesatuan pembangkang, dan kemudian menghadang penglihatan kita daripada skandal-skandal kewangan membabitkan pasangan Perdana, Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Di sini kita temukan permaslahan sebenar di sebalik RUU 355 yang telah membuat sekian banyak penyokong PAS melompat riang kononnya mereka telah berjaya. RUU 355 akhirnya bukanlah isyarat kemenangan Islam, apatah lagi PAS. RUU 355 adalah alat untuk menyedapkan hati penyokong PAS, yang digemukkan dengan dedak patuh syariah; sambil terus memastikan PAS tidak kembali kepada pakatan pembangkang.

Apatah lagi setelah pakatan pembangkang diberi suntikan kuasa gabungan Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad. – Roketkini.com