Rencana

Asal usul Malaysia: Menyatu dan menggembleng, bukan memecah dan mengasing

Tanggal 16 bulan September 1963, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengisytihar dan memasyhurkan bahawasanya Malaysia akan “kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini”.

Ia menjadi titik tanda penyatuan di antara empat wilayah berdaulat. Pada tarikh ini 53 tahun lalu, Borneo Utara, Sarawak, Singapura dan Malaya yang baru merdeka daripada taklukan penjajah; rakyatnya serta pemimpin nya telah mempersetujui sesuatu persekutuan yang cukup beraspirasi.

Ada yang menyifatkan agenda tunggal nenek moyang kita yang berbilang keturunan, dalam memperjuangkan pertubuhan Malaysia merupakan agenda melawan penjajah dan komunis dan ancaman-ancaman yang sejajar dengan zaman. Bagi saya, itu sesuatu yang tidak tepat, walaupun kuasa penjajah dan gerakan komunis pada waktu itu sememangnya dinyahkan.

Secara sejarahnya, perjuangan dan usaha menubuhkan Malaysia, adalah berdasarkan gabungan beberapa ‘States’ (wilayah yang berpemerintahan derdaulat) dan beberapa ‘Nations’ (bangsa yang berkongsi ruang geo-politik dan impian sosio-ekonomi walaupun berbilang keturunan).

Oleh demikian, Malaysia adalah suatu negara bangsa (Nation state) yang diwujudkan demi penyatuan dan penggemblengan keseluruhan warganya dari semua keturunan, agama dan kelas sosio-ekonomi; demi satu impian kebangsaan yang sama, melalui kebebasan, keadilan, solidariti and kesaksamaan.

Walaupun cabaran di hadapan kita pada hari ini semakin merunsingkan, kita harus tabah dan kekal bersemangat. Kerana ancaman terbesar terhadap impian penyatuan dan penggembelengan moyang kita, datang dari kalangan kita sendiri, yang telah menggantikan ancaman penjajah dan komunis, dengan pemerintahan melalui hegemoni dan rasis.

Dan hanya kita sendiri, sebagai anak Malaysia dapat menyelamatkan negara kita.

Pada hari ini, walaupun terdapat kuasa-kuasa dan warga-warga di antara kita yang lebih cenderung dengan sebuah Malaysia yang lebih pecah-belah dan berasingan, hari yang amat bersejarah ini haruslah dijadikan peringatan kepada kita semua. Bahawa tanah air kita ini, wujud kerana aspirasi – menyatukan dan menggembeleng warganya, bukannya memecah dan mengasingkan rakyatnya. – Roketkini.com