Rencana

LEAP 2016: Bengkel pupuk kreativiti anak muda

Pada masa kini, anak muda memainkan peranan yang penting dalam perubahan sosial. Penyertaan anak muda dalam aktivisme dan politik pastinya akan membawa perubahan sosial yang amat ketara, manakala aktivisme kreatif (Creative Activism) boleh dikatakan sebagai salah satu pendekatan efektif yang boleh diambil oleh golongan anak muda dalam melakukan sumbangan terhadap tanah air ini.

hishamraisSehubungan itu, pada akhir bulan Ogos yang lalu, Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama telah mengadakan satu Bengkel Kreatif LEAP di Hotel Suunah Kekabu Shah Alam di antara 26 Ogos – 28 Ogos. Bengkel Kreatif ini merupakan bengkal kreatif pertama yang dianjurkan di bawah program LEAP. LEAP merupakan satu program yang telah di inisiatif dan diasaskan oleh ADUN Damansara Utama Saudari Yeo Bee Yin supaya dapat membentuk lebih ramai anak muda untuk menyumbang kepada negara ini. Sebelum ini, LEAP telah menganjurkan 2 Kem Kepimpinan Belia (Youth Leadership Camp) dimana tujuan utama program tersebut adalah untuk menggalakkan anak muda lebih melibatkan diri dan menyumbang melalui pendidikan, politik dan aktivisme. Manakala bengkel kali ini agak berbeza berbanding dengan program-program LEAP yang lepas kerana ianya memberikan fokus penuh pada aktivisme kreatif. Bengkel Aktivisme Kreatif kali ini menyediakan satu pentas ataupun medium kepada para peserta supaya mereka dapat memperluaskan idea atau kreativiti mereka sekaligus memupuk mereka supaya terlibat dalam perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik. Juga diharapkan dengan adanya bengkel seperti ini, kami dapat memperkembangkan budaya aktivisme kreatif di kalangan anak muda Malaysia.

Para peserta yang terpilih merupakan golongan anak muda yang berumur 17 sehingga 35 tahun. Kebanyakkan yang terpilih ini mempunyai latar belakang yang menjurus kepada bidang kreativiti. Mereka terdiri pada pelbagai latar belakang termasuk golongan pelajar serta yang sudah berkerjaya. Ada yang bekerja sebagai jurugambar, pereka grafik, penerbit filem pendek dan lain-lain lagi. Bagi pelajar, mereka biasanya mengambil kursus yang berkaitan seperti Sarjana Muda dalam Komunikasi Massa atau Sastera dalam Penyiaran & Kewartawanan. Semasa proses pemilihan pengambilan peserta, para pemohon telah dibahagikan pada 3 jenis aliran iaitu aliran jurugambar, aliran rekabentuk dan aliran fotografi serta aliran pembikinan filem.

Boleh dikatakan Bengkel Kreatif LEAP yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah banyak mendedahkan kepada para peserta erti aktivisme kreatif (creative activism), sejarah aktivisme kreatif di Malaysia, contoh-contoh aktivisme kreatif di Malaysia dan sebagainya. Malah semua penceramah yang dijemput pada kali ini mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang sangat mendalam berkenaan aktivisme kreatif di Malaysia.

lwssharingsSepanjang tempoh bengkel ini diadakan, para peserta telah diberikan peluang untuk menghadiri 4 sesi “Power Talk” oleh penceramah-penceramah jemputan. Sesi “Power Talk” pertama yang dijalankan oleh Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming membawa fokus kepada Politik Di Malaysia dan antara projek-projek yang dilakukan oleh beliau untuk menyebarkan kesedaran terhadap sesetengah isu-isu penduduk. Sesi “Power Talk” Kedua pula dijalankan oleh Aktivis Politik yang terkenal di Malaysia, iaitu Saudara Hishamuddin Rais, dimana beliau menceritakan asas-asas aktivisme kreatif . “Power Talk” Ketiga dijalankan oleh Saudari Yeo Bee Yin yang juga merupakan Ahli Strategi Media Sosial DAP. “Power Talk” terakhir dijalankan oleh Encik Edward Ling, pengurus jualan Waze dan juga bekas Ahli Majlis MPSJ. Beliau telah berkongsi pengalaman bagaimana beliau melibatkan diri dalam komuniti dan masyarakat.

Selain itu, kami juga telah menjemput beberapa tetamu termasuk Encik Kamal Solhaimi Fadzil, pensyarah dari University Malaya, Encik Alvin Teoh, Pengarah Kreatif Eksekutif dari NAGA DDB, serta 2 fasiliator LEAP iaitu Cik Wong Siew Ki, penerbit dokumentari NGO/NGI & Ahli Majlis MPSJ dan Cik Lydia Chan, seorang pereka grafik yang berpengalaman bagi mengadakan beberapa sesi kelas untuk 3 aliran yang berlainan.

hear-us-outKami juga telah mengadakan sesi “Hear Us Out”, satu persembahan kreatif (Creative Gig), dimana semua penonton yang hadir boleh naik ke pentas yang disediakan dan melibatkan diri dalam persembahan spontan seperti menyanyi, membaca puisi, bercerita dan sebagainya. Kami juga sangat beruntung dan berbangga kerana Saudara Edry mempamerkan persembahan rapnya kepada kami semua pada malam itu. Sesi ini telah mendapat sambutan yang amat baik apabila pada akhirnya, hampir semua para peserta yang hadir pada malam itu telah naik ke pentas untuk membuat persembahan.

Para peserta juga berpeluang mengenali ADUN Kampung Tunku Sdr Lau Weng San dengan lebih dekat apabila beliau menghadiri sesi makan tengah hari bersama para peserta. Ketika sesi itu, beliau banyak bercerita tentang kehidupan beliau dan bagaimana akhirnya beliau berkecimpung dalam bidang politik.

Juga sejak awal bengkel, para peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan. Kelima-lima kumpulan ini akan melaksanakan projek berkumpulan masing-masing dan pada hari terakhir, mereka perlu melakukan pembentangan terhadap isu yang dipilih oleh mereka serta memberikan cara untuk menjalankan kampen bagi isu tersebut. Para projjudgesjuri bagi pembentangan ini termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Sdr Tony Pua, Saudari Yeo Bee Yin dan Sdr Lau Weng San. Oleh itu, sepanjang tempoh bengkel ini berlangsung, para peserta bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran malah juga berpeluang untuk meneroka kreativiti dan pemikiran kritikal mereka ketika melaksanakan projek berkumpulan bersama.

Bengkel pada kali ini boleh dikatakan amat berjaya kerana ianya telah menerima banyak maklum balas yang positif daripada para peserta. Ramai diantara mereka yang meluahkan perasaan gembira kerana pada mereka, bengkel ini telah banyak mengubah persepsi mereka terhadap aktivisme kreatif. Sebelum bengkel ini, tidak ramai yang sedar bahawa aktivisme kreatif boleh menyumbang kepada perubahan sosial secara begitu meluas. Bengkel ini telah memupuk semangat mereka untuk berbakti pada masyarakat menggunakan kreativiti dan idea mereka.

Bengkel ini diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi projek aktivisme kreatif dan fasilitator telah menamatkan bengkel ini dengan menyanyikan beberapa buah lagu sempena sambutan Hari Kermerdekaan dan Hari Malaysia. Dengan itu, terlahirlah alumni bengkel aktivisme kreatif yang pertama dibawah program LEAP. – Roketkini.com