Berita

Dakwaan Guan Eng hina mahkamah sangat serius, kita akan lawan – Gobind

GEORGE TOWN, 22 SEP: Pasukan peguambela Lim Guan Eng akan mengambil langkah perlu dalam menentang tindakan Ketua Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang memulakan prosiding tuduhan menghina mahkamah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Gobind Singh Deo yang bertindak bagi pihak Guan Eng turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan setelah menerima dokumen-dokumen bagi kausa tersebut.

“Kami diarahkan untuk menentang sepenuhnya permohonan tersebut bagi pihak klien kami dan akan mengambil segala langkah yang perlu di mahkamah untuk membersihkan nama beliau daripada tuduhan itu.

“Tuduhan terhadap Lim Guan Eng itu memberi implikasi yang serius terhadap beliau,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong dalam kenyataan hari ini.

Gobind menegaskan bahawa kliennya memandang serius terhadap andaian yang dilemparkan, seolah-olah beliau telah mengganggu dan mencabar proses mahkamah dengan kenyataan-kenyataan media yang dibuat olehnya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dituduh melakukan penghinaan mahkamah semasa sidang akhbar selepas pelancaran ‘Simposium Dr Wu Lian Teh’ oleh Penang Institute.

Beliau dilaporkan mendakwa kerajaan UMNO melakukan konspirasi terhadapnya dan menyatakan bahawa dirinya akan dipenjarakan berikutan pertuduhan rasuah membabitkan pembelian banglo dan pertukaran status tanah yang mana pada hakikatnya dimanipulasi parti pemerintah demi kepentingan politik.

Malah, DAP sebelum ini menegaskan bahawa pertuduhan rasuah itu dilakukan atas tujuan untuk mematikan kerjaya Guan Eng, terutamanya selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa tidak ada kesalahan rasuah membabitkan Ahli Parlimen Bagan itu.

Bagaimanapun, Apandi Ali tetap mahu mengheret Setiausaha Agung DAP itu ke mahkamah dan mengarahkan supaya tangkapan dilakukan.

Apandi mengambil alih jawatan Peguam Negara setelah Tan Seri Abdul Gani Patail digugurkan daripada jawatan itu tahun lalu, di tengah-tengah siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Apandi kemudiannya bertindak membebaskan Najib daripada sebarang salah laku membabitkan syarikat bermasalah milik negara, 1MDB. – Roketkini.com