Berita

UMNO jangan berangan pulihkan indeks rasuah, selesaikan skandal 1MDB dahulu

GEORGE TOWN, 22 SEP: Kerajaan UMNO dinasihati agar tidak memasang angan-angan untuk memulihkan reputasi buruk kegiatan rasuah negara, apatah lagi jika skandal kewangan negara membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pun tidak ditangani dengan baik.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, negara telah menanggung akibat berada di kedudukan tercorot dalam rekod indeks tahunan rasuah antarabangsa berikutan tindakan tidak serius kerajaan Persekutuan dalam menangani krisis skandal tersebut.

Sebagai contoh, katanya, mengikut rekod Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2015, Malaysia berada di tangga ke-54 tercorot daripada 168 negara yang terlibat, malah ditinggalkan negara jiran Indonesia dan Thailand.

Mengikut rekod tahun lalu itu juga, katanya, Thailand meningkat sembilan anak tangga berbanding kedudukan sebelumnya, manakala Malaysia turun empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

“Jelas sekali, kedudukan Malaysia jatuh, manakala Thailand dan Indonesia bertambah baik ekoran skandal 1MDB,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, ranking CPI itu tidak memasukkan faktor lain seperti perkembangan terbaru membabitkan saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam merampas aset yang diperoleh hasil penggelapan dana 1MDB.

“Jika tindakan DOJ itu diambil kira, kedudukan CPI untuk Malaysia mungkin jatuh lebih teruk,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru membentangkan langkah-langkah perlu bagi menangani masalah rasuah dalam sesi pembentangan Belanjawan 2017 akan datang.

TI merekodkan lima negara yang mempunyai kurang kegiatan rasuah memiliki beberapa ciri-ciri berkaitan tadbir urus yang baik, standard integriti yang tinggi dalam perkhidmatan awam, keterbukaan dalam kontrak kerajaan, sistem undang-undang yang berkesan, undang-undang mengenai akses kepada maklumat dan kebebasan agensi anti-rasuah. – Roketkini.com