Berita

Gagal capai sasaran kutipan tahunan, GST terbukti miskinkan rakyat

GEORGE TOWN, 23 SEP: Kerajaan Persekutuan dijangka akan gagal mencapai sasaran kutipan tahunan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ekoran kesan cukai tersebut terhadap orang ramai.

Penurunan kutipan sehingga 30% bagi suku kedua tahun ini adalah bukti bahawa rakyat sedang berhadapan masalah perniagaan yang kian memburuk selain pendapatan yang berkurangan, sehingga pertumbuhan ekonomi 4% pada suku kedua pun tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Demikian ulasan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terhadap laporan kutipan GST sekadar RM17.2 bilion bagi separuh pertama tahun ini, jauh berbanding unjuran sasaran RM39 bilion.

Guan Eng turut memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menampung kekurangan terbabit dengan memangsakan para peniaga dengan melakukan penyiasatan cukai untuk memerah mereka.

“Ramai peniaga membuat aduan terhadap permintaan yang tidak munasabah dan pilih kasih oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri apabila ia tidak melakukan perkara yang sama terhadap ahli politik BN yang menerima sumbangan dana yang besar,” jelasnya.

Selain golongan peniaga, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan bahawa GST turut dibebankan ke atas kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi setiap projek awam seperti pembinaan jalan, sistem perparitan dan dewan komuniti meskipun ianya bukan bermotif keuntungan.

“Kos yang tak sepatutnya dikenakan ini hanya menambah beban terhadap negeri dan kerajaan tempatan.

“Saya ingin memberi contoh, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kerajaan tempatan, begitu juga dengan agensi-agensi negeri perlu membayar GST sebanyak RM48 juta setiap tahun kepada Kerajaan Persekutuan,” kata Guan Eng.

Kata beliau lagi, Kerajaan Persekutuan sewajarnya meniru pelaksanaan GST di negara-negara memulangkan kutipan cukai tersebut kepada negeri.

“Misalnya di Australia, kutipan GST yang dipungut dari negeri dipulangkan sepenuhnya kepada negeri.

“Tapi di Malaysia, kerajaan negeri bukan sahaja tidak mendapat sesen pun dari kutipan itu, malah perlu membayar GST,” katanya sambil menambah bahawa GST tidak perlu dilaksanakan seandainya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah tegas memerangi rasuah.

“Kerajaan Persekutuan kekurangan wang kerana skandal rasuah seperti 1MDB dan derma RM4.2 bilion,” tegas beliau. – Roketkini.com