Berita

Sokong pembiayaan politik telus, DAP alu-alukan akaun parti disemak

KUALA LUMPUR, 23 SEP: DAP menyokong sebarang dasar yang menekankan prinsip integriti dan keterbukaan, termasuk usaha dari mana-mana pihak ke arah pembiayaan politik secara telus di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng justeru mengalu-alukan profesor Universiti Malaya (UM), Prof. Terence Gomez untuk secara bebas menyemak akaun parti itu bagi membuktikan ketelusannya.

Gomez sebelum ini mendakwa parti-parti pembangkang tidak menyokong usaha beliau dan Transparency International (Malaysia) dalam memastikan pembiayaan politik berjalan secara telus semasa pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai pembiayaan politik secara rahsia kepada parti kerajaan, Barisan Nasional termasuk oleh pihak asing di luar negara serta syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Guan Eng dilaporkan portal Malaysiakini sebagai berkata beliau menyokong pembiayaan politik dan kebertanggungjawaban kerana ia menggalakkan persaingan yang adil dalam pilihan raya.

“Kita menjual tiket untuk makan malam dan semua ini diambil kira oleh Pendaftar Pertubuhan. Kita juga mengumpul wang dari internet, itu turut diambil kira,” katanya pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia di sini, semalam.

“Kita tidak mempunyai dana yang melimpah-ruah dari luar negara,” ujar Ketua Menteri Pulau Pinang itu sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan kerap diakui pelbagai pihak di dalam dan di luar negara sebagai negeri yang mempunyai urus tadbir paling bersih di Malaysia.

Malah, laporan Ketua Audit Negara setiap tahun telah menamakan Pulau Pinang sebagai negeri yang mempunyai urus tadbir paling baik atas pelaksanaan dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) di negeri itu. – Roketkini.com