Berita

Warga kota suka dengan kadar baru tempat letak kereta DBKL?

KUALA LUMPUR, 23 SEP: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dicabar bersemuka dengan penduduk Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi memahami realiti sebenar kesan kenaikan kadar caj tempat letak kereta terhadap kehidupan seharian mereka.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas dakwaan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz bahawa kononnya penduduk di dua kawasan tersebut menyokong kadar baru itu.

Sebaliknya, menurut Lip Eng, hasil tinjauan rambang di kedua-dua kawasan tersebut mendapati bahawa penduduk ternyata tidak berpuas hati dengan kadar baru yang diperkenalkan DBKL itu, malah ada segelintir yang ‘memaki hamun’ agensi terbabit sebagai tanda protes.

“Maka saya ada dua soalan untuk Datuk Bandar. Pertama, berapa ramai rakyat biasa tidak bergelar ‘Datuk’ di Bangsar dan TTDI yang ditinjau dalam kaji selidik itu?

“Kedua, adakah ia dilakukan di hotel bertaraf lima bintang sambil makan malam atau di tepi-tepi jalan berhampiran meter letak kereta?” soalnya dengan nada sinis.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut, turut mempersoalkan mengapa tinjauan orang ramai yang dilakukan itu dilaksanakan ketika kadar caj tempat letak kereta itu sudah pun dikuatkuasakan untuk beberapa bulan yang lepas.

Baginya, perkara sebegitu timbul ekoran daripada sikap penjawat awam yang membuta tuli mengekor segala arahan pihak atasan, khususnya Menteri UMNO, tanpa memberi keutamaan kepada keresahan dan kesusahan rakyat.

“Justeru, bagi membuktikan bahawa kenaikan kadar tempat letak kereta DBKL adalah popular di kalangan penduduk kawasan tersebut, saya mencabar Datuk Bandar untuk mengadakan pertemuan secara ‘town-hall’ dengan orang ramai secepat mungkin,” ujarnya.

DBKL, pada 18 Julai lepas menguatkuasakan kadar caj tempat letak kereta baru sebanyak RM2.00 bagi jam pertama dari RM0.80 seperti kadar sebelumnya dan RM3.00 bagi jam berikutnya, menyaksikan kenaikan mendadak 150 peratus.

Lapan kawasan pusat perniagaan (CBD) iaitu Bukit Bintang, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Bukit Damansara, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar terjejas ekoran penguatkuasaan kadar baru itu.

Bagaimanapun, hasil desakan Pakatan Harapan dan penduduk, DBKL akhirnya terpaksa akur menyelaraskan kadar caj di kawasan-kawasan berkenaan dari RM2.00 kepada RM1.50 bagi jam pertama dan RM3.00 kepada RM1.50 untuk jam berikutnya. – Roketkini.com