Berita

Bantah persempadanan semula agar Noh Omar tidak jadi Menteri Besar Selangor

SHAH ALAM, 24 SEP: Pengundi di Selangor akan melihat Tan Sri Noh Omar dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dibantah sekeras-kerasnya.

Setiausaha Eksekutif (Publisiti) Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP, Muhammad Shakir Ameer berkata warga Selangor tentu tidak mahu Noh Omar menjadi pemimpin kerajaan tertinggi di negeri itu.

“Adakah rakyat Selangor ingin seorang ketua yang tidak memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak kita?

“Atau adakah rakyat Selangor ingin seorang pemimpin yang memberi cadangan tak masuk akal dengan sistem pinjaman yang akan membebankan rakyat serta generasi masa depan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada cadangan Noh Omar baru-baru ini agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah mencari dana sendiri dan tidak lagi bergantung kepada peruntukan dari kerajaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga turut mencadangkan agar pemaju perumahan dibenarkan memberi pinjaman kepada pembeli rumah dengan kadar faedah tinggi walaupun ia akan hanya membebankan pembeli dengan hutang yang mendadak.

“Cadangan beliau itu dikritik keras oleh pelbagai pihak, termasuk Fitch Ratings dan Kementerian Kewangan. Ia tidak akan menyelesaikan masalah pemilikan rumah, sebaliknya hanya menguntungkan pemaju.

“Rakyat Selangor tidak memerlukan seseorang yang tidak berhati perut sebagai pemimpin mereka,” tegas Shakir yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya warga Selangor membantah persempadanan semula yang dicadangkan oleh SPR itu bagi mengelakkan sebarang dasar yang membebankan dikenakan ke atas rakyat.

“DAP juga akan membantah melalui kerajaan tempatan serta kerajaan negeri dengan kerjasama oleh parti-parti dalam Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya. – Roketkini.com