Berita

Kerjasama dengan Mahathir demi masa depan negara, elak ‘Najib kedua’ muncul

BAYAN LEPAS, 25 SEP: DAP mempertahankan kerjasamanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad demi merubah sistem pentadbiran sedia ada, termasuk menumbangkan UMNO dan tidak terhad kepada mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur sahaja.

Berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun DAP Ke-50 di sini semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kerjasama dengan mantan Perdana Menteri itu juga adalah untuk memastikan ‘Najib kedua’ tidak muncul dalam tampuk pemerintahan negara.

Katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan dan Mahathir juga akan dikembangkan dengan pembentukan gabungan raya antara pakatan pembangkang itu dan parti yang baru ditubuhkan oleh pemimpin berusia 91 tahun berkenaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Rakyat telah kehilangan harapan apabila Pakatan Rakyat (DAP-PKR-PAS) hancur, tetapi kami bertekad untuk mencipta harapan baru untuk masa depan Malaysia,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu sambil menyatakan bahawa idea gabungan tersebut pertama kali diilhamkan mantan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

4 Mac lalu, negara mencipta sejarah apabila Mahathir dan seterunya Kit Siang duduk semeja sepakat menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menuntut Najib agar meletakkan jawatan ekoran pelbagai dakwaan skandal antarabangsa 1MDB yang dikaitkan dengan Menteri Kewangan itu.

1MDB menjadi perhatian dunia apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan saman sivil bagi merampas aset yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana syarikat pelaburan bermasalah milik negara tersebut.

Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB ketika itu, didakwa menerima wang berjumlah hampir RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya yang dipercayai dipindahkan dari dana syarikat berkenaan melalui beberapa transaksi rumit.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku melibatkan 1MDB. – Roketkini.com