Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 5

Amalan kunjung-mengunjung dalam kalangan sahabat, saudara mara dan jiran tetangga dilihat semakin berkurangan dalam budaya masyarakat moden yang semakin sibuk mengejar harta material, serta mementingkan diri sendiri.

Komunikasi juga lebih banyak berlaku di ruang siber atau menerusi media sosial dan alat komunikasi seperti telefon dan WhatsApp.

Akibatnya, amalan kunjung-mengunjung yang merupakan budaya tradisi dalam masyarakat Timur semakin terhakis.

Teks Thirukkural yang dikarang oleh Thiruvalluvar dalam Bahasa Tamil sekitar 2,500 tahun dahulu memperkatakan mengenai aspek Aram (Kebenaran atau Dharma), Porul (Kebendaan), dan Inbam (Nikmat Cinta).

Panduan dan keperluan melayan tetamu yang berkunjung ke rumah dihuraikan menerusi 10 kural dalam Bab 9. Saranan Thiruvalluvar masih sesuai dijadikan panduan dan renungan pada masa kini.

Apakah tujuan kita berumahtangga, menjaga kebajikan ahli keluarga dan mengumpul harta? Menurut Kural 81, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mampu memberikan layanan terbaik kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

Amat jelas bahawa hidup kita bukan hanya dengan mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga (suami/isteri, ibu, bapa dan anak-anak). Sebaliknya, tetamu yang berkunjung ke rumah dianggap sebagai suatu rahmat serta peluang menambah pahala dalam kehidupan harian.

Layanan yang diberikan kepada tetamu – sama ada orang yang dikenali atau tidak dikenali – tidak semestinya terlalu mewah. Cukuplah sekadar menerima kedatangan mereka dengan senyuman, berbual mesra, serta menghidangkan makanan dan minuman seadanya.

Pernahkah tetamu datang ke rumah, tetapi anda membiarkan mereka menunggu di luar rumah atau di ruang tamu, sementara anda menikmati makanan di dapur?

Diingatkan menerusi Kural 82 bahawa sekiranya demikianlah tindakan kita, maka makanan yang kita makan itu, walaupun ia mungkin makanan berkhasiat yang menyihatkan badan, maka sia-sia sahaja.

Maknanya, jika kita makan tanpa menghidangkan apa-apa kepada tetamu, maka perbuatan itu dianggap berdosa dan mengurangkan sebarang pahala yang terkumpul selama ini.

Sebaliknya, menurut Thiruvalluvar menerusi Kural 83, seseorang yang melayan tetamu, serta menghidangkan makanan seadanya untuk tetamu, maka dirinya terlepas daripada sebarang kesusahan dan penderitaan.

Contoh-contoh di atas menunjukkan betapa budaya India sejak dahulu mementingkan aspek hidup bermasyarakat, serta melayan tetamu. Amalan ini juga sama dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya di Malaysia.

Atas sebab itulah juga segala panduan, moral, etika dan nilai yang terkandung dalam teks Thirukkural sangat sesuai dibaca, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.

Individu yang makan sendiri tanpa melayan tetamu dikatakan mengumpul dosa. Manakala, individu yang melayan tetamu dengan baik mampu menambah pahala.

Tidak sekadar itu, seperti dinyatakan dalam Kural 84, apabila seseorang melayan tetamu dengan baik, maka Dewi Kekayaan akan datang untuk tinggal di rumahnya.

Tentulah “Dewi Kekayaan” yang dimaksudkan bukannya dewa-dewi (vasu) secara lahiriah. Sebaliknya, merujuk kepada pintu pahala, aura positif, kebahagiaan, rezeki, rahmat dan kekayaan yang bakal dimiliki.

Mungkin timbul pula pertanyaan: Bagaimana jika kita bukan daripada keluarga kaya yang mampu memberikan makanan yang lazat kepada tetamu?

Sebenarnya, bukanlah hidangan mewah yang menjadi tumpuan di sini. Sebaliknya, kesudian dan kesanggupan untuk berkongsi apa-apa makanan yang ada untuk sama-sama dinikmati oleh tetamu yang berkunjung ke rumah.

Menerusi Kural 85, dikisahkan mengenai individu yang menerima tetamu dengan mesra serta melayan mereka dengan makanan seadanya. Kemudian, selepas tetamu pulang dengan gembira, apa-apa makanan yang berbaki dimakan oleh tuan rumah tadi.

Dalam keadaan seperti ini, digambarkan bahawa individu yang pemurah dan baik hati seperti itu tidak perlu bersusah payah menanam benih di kebun. Maknanya, pintu rezeki akan sentiasa terbuka bagi individu seperti itu.

Dapat kita perhatikan bagaimana ajaran dalam Thirukkural ada banyak persamaan dengan panduan dalam rata-rata agama utama di seluruh dunia. Sebab itulah juga ajaran Thirukkural boleh diterima dan diamalkan penganut mana-mana agama.

“Sesiapa yang mengalu-alukan tetamu, dan menjamu mereka, serta bersedia menerima kedatangan lebih ramai tetamu, nescaya menjadi penghuni Syurga.”

Demikian terjemahan yang saya lakukan terhadap makna Kural 86, lalu dipaparkan di Facebook tidak lama dahulu.

Harus diingat bahawa tetamu yang dimaksudkan bukan hanya sanak saudara dan rakan-rakan yang dikenali. Sebaliknya termasuk jiran-tetangga atau individu kurang dikenali (atau kurang disenangi).

Bayangkan jika kita mampu melayan para tetamu, dan bersedia pula menerima kunjungan lebih ramai tetamu untuk dilayan dan dihidangkan makanan. Maka, kita dianggap mengumpul banyak pahala, serta berpeluang menjadi penghuni syurga.

Berapakah nilai pahala yang dikumpul setiap kali kita melayan tetamu yang datang ke rumah? Mungkin ada pihak yang mengemukakan pertanyaan seperti itu. Maklumlah, dalam kehidupan sekarang, semua tindakan diberikan “markah” dan “mata”.

Dalam urusan melayan tetamu, seperti dihuraikan dalam Kural 87, memang sukar – malah mustahil – untuk menetapkan berapakah “markah” atau “mata” yang kita kumpul dalam bentuk pahala pada setiap kali kita melayan seorang tetamu.

Sebaliknya, “nilai” (atau mata, atau markah) ditetapkan oleh tetamu itu sendiri. Hal ini tidak pula bermakna tetamu mengisi borang penilaian prestasi sebelum pulang!

Apa yang dimaksudkan adalah bahawa kita tidak berhak menentukan “nilai” kepada layanan yang kita berikan kepada tetamu. Sebaliknya, setiap tetamu mempunyai “nilai” tersendiri yang tidak diketahui tuan rumah.

Maka, wajarlah setiap tetamu dilayan mesra dan sama rata kerana tidak semestinya tetamu yang kaya dan disukai mempunyai “nilai” lebih tinggi berbanding tetamu yang miskin dan kurang disenangi.

Memanglah ada orang yang terlalu mementingkan diri, lalu tidak mahu menerima kunjungan tetamu. Menurut Thiruvalluvar menerusi Kural 88, individu seperti itu akan kehilangan harta.

“Harta” di sini bukan hanya merujuk kepada barangan, tetapi juga ketenangan jiwa, dan pahala. Apabila semua itu sudah hilang, barulah individu yang kedekut akan menyesal.

Dalam Kural 89 pula ditegaskan bahawa hanya orang yang bodoh dan jahil akan terlalu mementingkan diri, serta tidak memikirkan soal melayan tetamu.

Layanan yang diberikan kepada tetamu pula perlulah secara ikhlas dan sepenuh hati. Kural 90 memberikan contoh bunga anicham yang akan layu jika disentuh.

Demikianlah juga, wajah tetamu akan layu sebaik mereka menyedari tuan rumah tidak ikhlas dalam menerima kunjungan mereka.

*Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.my