Rencana

Setelah habis ‘dedak’, Najib perkudakan SPR pula

Perkataan ‘dedak’ yang dipopularkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sering dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak telah menjadi satu konsep untuk menjelaskan bagaimana sokongan terhadap Perdana Menteri kini itu digembleng demi kepentingan politik peribadi dan kelangsungan partinya, UMNO.

“UMNO bukan UMNO lagi, UMNO sudah jadi parti Najib,” demikian keluh Mahathir yang sering kita dengar dalam ucapannya di mana-mana.

Ia selalu dipadankan dengan kenyataan bahawa pemimpin UMNO kini telah disumbat dedak sehingga penuh mulut, mata dan telinga sehingga tidak boleh melihat dengan hati nurani yang bersih dan menilai perbuatan jahat dan terkutuk Najib yang menjarah hasil kekayaan negara dan rakyat.

Namun, seperti mana kiamat akan tiba perlahan-lahan tapi pasti, seperti itu juga kedudukan Najib dalam pentadbiran negara. Dedak akan habis, dan Najib akan kehabisan cara.

Seperti biasa, tanpa segan silu, beliau dengan kuasa yang ada ditangan akan menggunakan segala instrumen negara, memanipulasi dan melacurkan segala jenis retorik untuk mengaut sokongan yang semakin menghilang.

Justeru, adalah tidak ganjil untuk kita melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (sekali lagi) diperkudakan Najib untuk diarah seperti anak kecil untuk melukis semula peta kawasan pilihan raya di peringkat negeri mahupun nasional.

Ia dilakukan semata-mata demi mengembalikan majoriti dua pertiga yang tidak mampu digapai Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Malah, adalah pelik dan ajaib sekiranya Najib tidak mempertimbangkan muslihat itu.

Hasilnya, sebagai contoh, kawasan seperti Petaling Jaya Utara (yang akan diperkenalkan semula sebagai Damansara) mempunyai 150,439 pengundi dengan peningkatan 76.2 peratus berbanding PRU-13.

Malah, polarisasi kaum dilihat kian ketara dalam cadangan persempadanan semula yang dikemukakan SPR pada Rabu minggu lalu itu.

Pihak pembangkang mendakwa, terdapat lambakan beberapa kaum di beberapa kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Jelas sekali, Najib meneruskan legasi ‘pecah dan perintah’ yang pernah dibawa penjajah British suatu ketika dahulu.

Lalu, timbul pula persoalan, bagaimana proses dan pusingan pencabulan institusi negara ini dapat dihentikan serta merta, dan diganti dengan sistem yang benar-benar mencerminkan amalan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan?

Ia harus dipertanyakan kepada pihak Pakatan Harapan, kerana kita sedia maklum bahawa taktik ‘gerrymandering’ ini telah dipatahkan pada dua pilihan raya umum yang lalu.

‘Senjata makan tuan’ harus menjadi konsep taktik serang balas parti-parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang perlu dirangka dengan penuh halus dan jitu demi memusnahkan cita-cita Najib untuk terus berkuasa.

Ia sekaligus menjadikan hasrat rakyat untuk melihat Najib dibawa ke muka pengadilan, dapat direalisasikan.

Di peringkat akar umbi, rakyat khususnya, selain menjadi tanggungjawab untuk mengundi menjatuhkan regim, harus menunjukkan kesepaduan bersama pertubuhan masyarakat sivil, seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang mengutuk sekeras-kerasnya cadangan persempadanan semula SPR itu.

Menyokong BERSIH sama seperti menyokong hak demokrasi ditegakkan dengan maknanya yang murni.

Dan dengan cara ini – kesepakatan pakatan pembangkang (tanpa PAS pastinya) dan kuasa rakyat – pasti akan meruntuhkan tembok ‘dedak’ atau apa pun juga yang telah menjadi penghalang kepada semangat untuk menghidupkan kembali prinsip demokrasi di negara ini. – Roketkini.com