Berita

DAP bersolidariti dengan peneroka Felda Jengka 11, persoal kelewatan bayaran

KUANTAN, 26 SEP: Pihak pengurusan Felda Jengka didesak supaya peka, prihatin dan tidak mempermainkan nasib peneroka negeri ini yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sawit.

Gesaan ini dibuat Ahli Jawatankuasa DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah sebagai respon terhadap laporan Sinar Harian baru-baru ini berhubung aduan peneroka Jengka 11 yang menuntut supaya Felda melunaskan janji pembayaran hasil sawit mereka mengikut masa yang sudah ditetapkan.

“Kebanyakan peneroka ini tiada kerja lain dan hanya bergantung kepada hasil sawit, jika hasil yang mereka jual ini tidak dapat bayaran, bagaimana nak bayar hutang, pusing duit dan kegunaan perbelanjaan keluarga?

“Dalam hal ini, sepatutnya CEO Felda (Isa Samad) lebih prihatin dengan masalah peneroka. Jangan ghairah sangat nak buat pelaburan luar negara tetapi kehidupan peneroka di sini terbiar,” kata Adun Mentakab itu kepada Roketkini.

Menurut Tengku Zul, situasi yang melanda peneroka di Jengka 11 itu seolah-olah wujud mahu rakyat khususnya golongan peneroka terus bergantung kepada kerajaan.

“Adakah ini satu strategi supaya kaum peneroka terus berharap dan bergantung kepada kerajaan BN sahaja melalui BR1M dan seumpamanya?” soal Ketua Pembangkang DUN Pahang itu.

Dalam laporan 23 September lalu, sekurang-kurangnya 30 peneroka Jengka 11 berhimpun secara aman di Pejabat Pengurusan Felda Jengka.

Himpunan itu dibuat sebagai menyatakan tuntutan terhadap pembayaran hasil dan bantahan terhadap faedah pembayaran hasil yang dibuat hanya sebulan sekali meskipun pernah dijanjikan bayaran secara mingguan dakwa penduduk. – Roketkini.com