Rencana

Jenayah melabel : Penghalang utama perpaduan di Malaysia

Era moden yang kompleks telah menyebabkan tanggungjawab individu, keluarga dan juga kerajaan semakin dipersoal; idea tentang apa yang terbaik untuk masyarakat sedang diperbahas walaupun kekurangan isi-isi penting bagi mewujudkan wacana yang sihat.

Hari ini, kita dapati bahawa perbezaan antara perkara benar atau salah sukar dibezakan. Kepentingan agama dan kehidupan sering disalah erti, bergantung kepada pihak mana yang mahu memenangi debat tentang ‘siapa yang lebih benar’ ini.

Rakyat Malaysia kini sedang terperangkap dalam ketidakadilan sosial, jurang perbezaan ekonomi serta kehilangan toleransi etno-agama – semuanya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang telah gagal menangani isu-isu berkenaan secara proaktif dan organisasi-organisasi yang menggunakan peluang tersebut untuk mendabik dada, kononnya mereka adalah pelindung sosial.

Dalam satu persidangan baru-baru ini yang telah dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Hazlin Chong dari Isma secara terbuka menolak idea kebebasan individu dan berekspresi dengan hujah kononnya dua hal itu tidak mampu memenuhi kehendak masyarakat.

Saya bersetuju dengan kenyataan beliau, bahawa “Kita tidak mahu ketidakadilan ke atas pihak-pihak lain. Kita mahukan keamanan tetapi untuk mencapainya, kita mesti memahami perbezaan yang wujud antara kita. Memandangkan negara seperti Malaysia ini semakin berkembang, mencapai dan mengekalkan keharmonian adalah semakin sukar.” – Namun, saya tidak bersetuju dengan konteks kenyataan beliau itu.

Menggalakkan kepelbagaian dan rasa hormat sepatutnya menjadi pendukung utama kepada kenyataan berkenaan, bukannya dengan memburukkan liberalisme.

Jelas bahawa Isma sekali lagi gagal untuk mengenali masalah sebenar yang semakin melanda masyarakat antarabangsa – terorisme bertopengkan entiti agama dan keganasan yang menyamar sebagai kepercayaan yang didoktrin.

Dengan terlalu banyak isu seperti perkahwinan kanak-kanak, rogol, kegagalan sistem pendidikan awam, kenaikan kos sara hidup dan pengangguran belia – semua isu ini memainkan peranan dalam radikalisasi masyarakat Malaysia, terlalu ramai di antara mereka menyertai organisasi pelampau di atas nama jihad agama.

Faktanya, tidak ada sesiapa yang benar-benar menyentuh masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam; golongan ‘kanan’ terlalu sibuk menyalahkan golongan ‘kiri’, liberal dan progresif.

Isma sekali lagi membuktikan bahawa ia adalah organisasi yang terpisah dari realiti yang terpaksa dihadapi oleh kita sebagai rakyat Malaysia. Tetapi sekurang-kurangnya, pemerhatian Hazlin itu menyediakan anekdot kepada pemikiran sebenar golongan ‘kanan’ ini.

Objektif utama Islam adalah untuk melindungi agama, kehidupan, harta, intelek serta maruah. Hazlin telah mengabaikan fakta bahawa kesederhanaan, toleransi, kerjasama, keadilan, kesamarataan dan keamanan adalah nilai yang didukung tinggi dalam Islam.

Melabel pihak lain berdasarkan penilaian sendiri adalah satu jenayah yang serius, bukan sahaja dalam Islam tetapi dalam mana-mana masyarakat moden. Semua individu atau organisasi yang tidak henti-henti menyebarkan kepercayaan tersebut boleh menyebabkan kemudaratan terhadap Islam, malah terhadap masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya.

Sikap menyalahkan serta memburuk-burukkan pihak lain ini tidak akan tamat dalam tempoh terdekat disebabkan kebencian golongan ‘kanan’ kepada penegasan individu, kebebasan peribadi serta berekspresi tersebut.

Walau bagaimanapun, kita tahu bahawa dengan tidak meraikan hak individu serta kegagalan melaksanakan wacana liberalisme, perbuatan itu sendiri menandakan perpecahan hubungan sosial dan jika tidak dibendung, akhirnya memusnahkan fabrik perpaduan masyarakat di negara ini.

Jika kita sememangnya sebuah negara yang dipenuhi individu yang mahukan keamanan, Isma perlu menjadi lebih konstruktif dan rasional dalam sebarang kenyataan mereka. – Roketkini.com

*Syerleena Abdul Rashid merupakan Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang