Rencana

Kembara DAP ke dunia Islam: Menyelami Islam Nusantara di Indonesia

Menyambung semula kembara dunia Islam, lewat bulan September ini, DAP telah ke negara jiran kita Indonesia.

Merantau ke bumi Anbiya sudah, ke Mediterranean sudah, maka logiklah kini delegasi DAP yang diketuai Lim Kit Siang berkunjung ke negara serumpun kita itu.

Dua hari pertama kami di bandaraya Jakarta. Di sini, tidak kira sama ada Jokowi mahupun Ahok ataupun Fauzi Bowo yang sebelum mereka, bandaraya ini masih lagi macet, masih lagi diselubungi debu tebal dan masih lagi kaya dengan budaya uniknya. Ia masih lagi menjadi kota segala harapan dan kota kekecewaan bagi puluhan juta yang menghuninya. Segala wayang kehidupan Nusantara ditayang sehari-hari di seluruh pelosok bandaraya ini.

Namun fokus kami adalah pada persembahan politiknya. Terutamanya yang berkaitan dengan Islam. Indonesia merupakan negara yang paling ramai umat Islam di dunia. Indonesia dan Malaysia negara jiran yang mempunyai banyak persamaan walaupun tidak kurang juga perbezaan kita.

Kembara kami ke dunia Islam membuka mata kami kepada Islam yang lebih luas. Saya sendiri pergi merantau bukan hanya sebagai orang politik yang mempunyai kepentingan mencedok pengetahuan tentang Islam dan politik moden, saya juga pergi sebagai penziarah ataupun pilgrim yang ingin tahu tentang agama yang dianuti 1.6 billion orang di seluruh dunia. Adakah apa yang kita lihat di Malaysia ini menggambarkan segala-galanya tentang Islam? Pengalaman saya menyertai kembara DAP ke dunia Islam menginsafkan saya bahawa ada dunia Islam serta pandangan dunia (weltanschauung) Islam yang jauh lebih luas.

Islam yang menebus budaya bukan menyanggah budaya

Di Turki saya masih ingat lagi bagaimana buat pertama kali kami berinteraksi dengan Islam di luar kepompong Arabia. Kini di negeri jiran, kami ketemu Islam nusantara. Mungkin inilah yang disebut “rahmatan lil alamin” (rahmat kepada seluruh alam), suatu kebaikan yang universal dan begitu pemurah, mampu untuk memuatkan segala karenah budaya manusia di dunia ini.

Kyai Haji Yahya Staquf, Setiausaha Agung Majlis Syura Nahdlatul Ulama, mengiktirafkan sumbangan Walisongo dalam hal ini. Islam yang mereka perkenalkan di kepulauan Indonesia merupakan Islam kontekstual yang menebus budaya bukan menyanggah budaya. Tidak melihat budaya Nusantara ini sebagai rendah daripada Arab, tidak melihat kepada amalan dulu-dulu sebagai lebih hebat tanpa kritis.

Kyai Yayha Staquf memberikan contoh bagaimana Islam di Indonesia melakukan kontekstualisasi terhadap Mahabharata dan bukannya ditolak begitu sahaja semata-mata ianya mitos Hindu. Dalam Mahabharata itu, kisah Draupadi yang mengamalkan poliandri, yanwhatsapp-image-2016-09-22-at-15-58-46g dilarang Islam, digubal supaya sesuai dengan nilai-nilai Islam tanpa mengubah secara radikal jalan cerita serta moral sejagat dalam cerita tersebut. Dalam versi kontekstualisasi tersebut, Draupadi berkahwin dengan seorang suami sahaja iaitu hero Mahabharata, Arjuna.

Beliau berkata bahawa, jika Islam tidak memperakui konteks budaya dan zaman, maka negara majoriti umat Islam pada hari ini tidak mempunyai legitimasi untuk mengaku sebagai Islam mahupun negara Islam, termasuk Arab Saudi sekalipun. Inilah sebabnya wujud kumpulan seperti Daesh (ISIS) yang menafikan semua bentuk negara Islam kecuali yang diperjuang oleh mereka.

Maqasid syariah mengiktirafkan perlembagaan negara tanpa label Islam

Nahdlatul Ulama merupakan gerakan Islam yang terbesar di Indonesia dan dunia selepas Muhammadiyah, satu lagi gerakan Islam di Indonesia. Tahun ini merupakan ulangtahun ke-90 Nahdlatul Ulama. Soalselidik yang lepas memberikan pengikut gerakan ini sejumlah 100 juta orang, hampir separuh populasi negara Indonesia.

Dalam perjumpaan kami, saya bertanya kepada Kyai Yahya Staquf, apa justifikasi NU tidak melaksanakan undang-undang syariah di Indonesia?

Jawab beliau, “Indonesia sudahpun Islam, you don’t have to seek more Islam, tidak perlu mencari lebih Islam. Undang-undang Dasar Republik Indonesia 1945 (perlembagaan negara itu) sudahpun berfungsi sebagai syariah.”

Yang menariknya ialah NU yang sering dilabel sebagai gerakan tradisionalis dengan kyai-kyai kampungnya memberikan legitimasi kepada perlembagaan republik sebagai “syariah-compliant”. Apabila kumpulan Darul Islam melawan kerajaan republik pada zaman awal kemerdekaan, NU mendukung prinsip Pancaslks-bersama-buya-syafii-maarifila dan konsep Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) lalu menolak penubuhan negara teokratik Islam.

Syariah bagi NU bukan sahaja hukum-hukum bertulis tetapi juga merangkumi asas-asas kestabilan sosial. Dalam kata lain, NU menekan kepada maqasid syariah dalam hidup bermasyarakat. Malah, perkataan “masyarakat” ini diperkenalkan oleh Walisongo untuk memberi takrifan kepada sekumpulan orang yang setara (tiada pemisahan tuan-hamba) dan juga saling bergantung.

Perbualan ini membuat saya mengenang kembali detik-detik berharga berjumpa Sheikh Rachid Ghannouchi, pemimpin en-Nahda Tunisia. Sheikh Ghannouchi berkata begini kepada saya semasa perjumpaan kami di Tunisia:

“Jika kami memaksa masyarakat bergaduh [untuk menubuhkan negara Islam], lawan satu sama lain, maka kami akan terkeluar dari syariah. Kami melaksanakan Islam melalui ijtihad. Islam tidak boleh dilaksanakan dengan kaedah yang sama di semua tempat. Tunisia tidak sama dengan Malaysia, tidak sama dengan London. Islam perlu berdepan dengan realpolitik. Islam perlu berdepan dengan realiti, bukan imaginasi. Bukan masyarakat dan dunia yang dibayangkan tetapi dunia yang sebenar-benarnya.”

Pintu besar ijtihad tidak akan tertutup

Walaupun Muhammadiyah, satu lagi gerakan Islam yang besar di Indonesia yang kini berusia 104 tahun, sering dikatakan mempunyai pandangan yang berbeda dengan NU, namun dalam bab Islam dan politik, saya nampak prinsip yang hampir serupa.

Selepas Jakarta, kami ke Yogyakarta. Di situ, rombongan kami sempat untuk mengunjungi rumah Buya Dr. Ahmad Syafi’i Maarif, bekas Ketua Umum Muhammadiyah. Negarawan Indonesia ini menunjukkan keprihatinan terhadap perkembangan politik di Malaysia. Sebenarnya ramai yang bertanya kepada Lim Kit Siang khabar politik negara kita. Ada kalangan kyai-kyai dan tokoh komuniti Indonesia pula begitu girang berjumpa Lim Kit Siang. Rupa-rupanya, berita perjuangan DAP dan pemimpin kami juga kesampaian di Indonesia.gambar-2

Di rumah Buya Syafi’i Maarif, saya terharu melihat Buya memeluk erat Lim Kit Siang. Buya sudah berumur 81 tahun, Lim 76. Di tanah air, Lim Kit Siang dicemuh dan ditohmah sebagai anti-Islam dan kafir harbi. Di negeri orang, beliau mendapat penghormatan pemimpin-pemimpin besar gerakan Islam terkemuka. Hanya jauhari mengenal manikam.

Berbalik kepada Islam dan politik, tokoh Muhammadiyah itu mengupas perbedaan Islam di Indonesia dan di Malaysia. Beliau menegaskan kelapangan Islam di Indonesia. Lapang dari segi nilai Islam yang universal tetapi tetap murah hati untuk menerima kemajmukan budaya. Saya kagum; ini kelapangan yang begitu meluas. Buya Syafi’i Maarif juga berbicara tentang maqasid syariah, satu terma yang saya ketemu berulang-ulang kali dalam kembara kami ke dunia Islam. Buya berkata bahawa umat Islam setiap zaman berhak untuk mempersoal fiqh dan ijtihad klasik. Inilah yang menjadikan Islam di Indonesia unik, kerana komitmen para pemimpin Islam waima ulama Indonesia kepada pemikiran merdeka. “The gate of ijtihad never closes”, kata Buya Syafi’i Maarif yang berupa penerima Anugerah Ramon Magsaysay 2008 sebagai pengiktirafan sumbangan beliau ke arah keamanan dan persefahaman antarabangsa.

Kita tidak perlu cari di tempat lain

Dalam pada dunia semakin beralih dari wassatiyah tengah ke populisme kanan, Islam di Indonesia menawarkan satu pendekatan yang menarik dengan fokusnya kepada kontekstualisasi dan maqasid syariah. Walaupun politik identiti begitu pekat, namun ianya tidak bermakna agama dan budaya lain mestilah ditentang. Komitmen kepada demokrasi oleh Islam di Indonesia – yang jikalau disurih akan bertemu dengan konsep 14390676_10156264303531515_7568354147684896707_n-1musyawarah dalam Islam itu sendiri – menjadikan Indonesia terus kaya dengan kemajmukan budaya tanpa kompromi dengan nilai-nilai tersendiri pandangan dunia masing-masing. Penyelesaian kepada dunia yang semakin diracuni kebencian terhadap perbedaan dan seterusnya kekuatan Islam itu sendiri ialah pengiktirafan nilai-nilai kemanusiaan sejagat sebagai nilai-nilai Islami. Ini secara langsung menyatakan bahawa nilai-nilai Islami itu adalah fitrah and maka “intuitive” ataupun semulajadi kepada semua golongan manusia tanpa label agama sekalipun.

Negara jiran kita membuktikan bahawa kita sebenarnya tidak perlu formula baru. Indonesia ada Pancasila dan Undangan-Undangan Dasar 1945, Malaysia juga punya Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Semuanya boleh dicari dalam tradisi kita: Islam yang universal dan murah hati, dan demokrasi yang berlandas kemajmukan.

*Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam.