Rencana

Merajut Persahabatan dengan Indonesia

Di Malaysia pada masa ini, ada tiga tokoh politik yang nama mereka boleh dibariskan setara: Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang. Di antara ketiga-tiganya, hanya Lim Kit Siang yang sepanjang kerjayanya (karirnya) sentiasa berada dalam barisan pembangkang, iaitu selama sekitar separuh abad sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hingga kini.

Sepanjang sepekan yang lalu, beliau memimpin satu delegasi anggota-anggota parlimen DAP dalam kunjungan ke Jakarta dan Jogjakarta. Tujuannya, untuk memahami lebih dekat situasi sosiopolitik di Indonesia, khususnya yang terkait dengan Islam. Sejak tahun lalu, delegasi parti itu telah juga melawat Jordan, Mesir, Tunisia dan Turki atas tujuan yang sama.

Sejak tahun 1960an, Lim Kit Siang antara tokoh utama Democratic Action Party (DAP) yang memimpin parti itu dari sebuah parti kecil sehingga menjadi parti kedua terbesar di parlimen Malaysia dan juga parti pembangkang terbesar di negara itu. Sejak berdirinya parti itu pada Oktober 1965, ia tampil sebagai parti politik berbilang ras dan agama. Maka, meski pun sejauh ini sebahagian besar anggota DAP adalah non-Muslim, bukan aneh jika ia cuba memahami lebih mendalam tentang Islam dan Muslim serta membentuk jaringan dengan pelbagai pihak di negara-negara majoriti Muslim.

Di Jakarta dan Jogja, Lim Kit Siang dan delegasi dipertemukan dengan tokoh-tokoh Indonesia, dari budayawan seperti Goenawan Mohamad, ahli filsafat dan pengamat sosiopolitik Franz Magnis Suseno sampai kepada pemimpin Nahdlatul Ulama KH Yahya Staquf dan tokoh Muhammadiyah Syafii Maarif. Delegasi juga telah melawat beberapa pesantren dan juga sekolah Islam modern.

Lawatan ke Jakarta dan Jogja itu menyingkap penemuan berharga, iaitu Islam di Indonesia yang memperhatikan budaya setempat dan baru-baru ini ditampilkan dalam jenama (merek) Islam Nusantara (NU) dan juga Islam Berkemajuan (Muhammadiyah) sebagai jawapan bagi kemelut ancaman fundamentalisme dan radikalisme agama hari ini, termasuk penularan aliran salafisme dan Wahhabisme.

Bukan satu kebetulan jika pihak yang ditemui delegasi DAP sebahagian besarnya bukan pemimpin parti politik. Walaupun mempunyai sisi politik, fundamentalisme dan radikalisme pada asasnya adalah fenomena sosiobudaya, dan ia harus ditanggapi sedemikian.

Bererti, dalam keadaan agama semakin dipolitikkan di Malaysia dan campurtangan birokrasi semakin meningkat, pengalaman beragama dari negara jiran menjadi amat berharga. Dalam hal ini, pengalaman Indonesia adalah permata berharga kerana Islamnya mempunyai akar budaya setempat yang kuat serta dihidupkan oleh lembaga-lembaga kemasyarakatan yang bebas dari cengkaman kuasa negara serta umumnya terhindar dari campurtangan birokrasi.
Sememangnya sejak dulu, di luar hubungan diplomatik antar-negara, telah ada usaha-usaha membentuk dan mengukuhkan jaringan kebudayaan. Sekurang-kurangnya sehingga tahun 70an misalnya, novel-novel Pramoedya Ananta Toer dibaca meluas di Malaysia.

Demikian juga sajak-sajak Chairil Anwar dan WS Rendra. Puisi, cerpen, dan esei penulis Indonesia pula tidak jarang boleh ditemui dalam majalah Dewan Sastera beberapa majalah lain di Malaysia. Bagi karya keislaman, Hamka sehingga kini masih terjual dan dibaca oleh warga Malaysia.

Hubungan kebudayaan itu bagaimana pun seperti kendur sekitar tahun 80-90an. Ia tampak mula dihidupkan kembali menerusi usaha beberapa kumpulan dan individu sejurus sejak Reformasi di Malaysia, misalnya menerusi langkah sekumpulan aktivis seni-budaya di Malaysia untuk berhubung dengan komunitas Taring Padi di Jogja; percubaan sekumpulan penulis dan aktivis kebebasan media untuk membentuk jaringan dengan Institut Studi Arus Informasi (ISAI) dan Radio 68H, atau Komunitas Utan Kayu umumnya, di Utan Kayu; dan pembentukan jaringan Southeast Asian Muslim for Freedom and Enlightenment (Seamus) yang melibatkan beberapa aktivis Muslim di Indonesia, termasuk aktivis dari Maarif Institute, Wahid Institute dan Jaringan Islam Liberal (JIL).

Dalam bidang pemikiran ekonomi-politik pula pernah ada kerjasama antara Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dari Kuala Lumpur dan Freedom Institute di Jakarta.

Sulit untuk memungkiri keperluan terhadap hubungan sosiobudaya yang lebih akrab antara dua negara Malaysia dan Indonesia, malah juga Singapura. Namun, sekurang-kurangnya dalam pengalaman saya sendiri, ada satu pertanyaan yang sukar dijawab, setidak-tidaknya pada masa kini: Apa manfaatnya buat Indonesia?

Menurut saya, dalam hal keagamaan, pemikiran, seni, dan sastera, Malaysia dan Singapura yang akan lebih banyak menyerap manfaat dari Indonesia. Sedang buat Indonesia sendiri, barangkali jawapan yang paling mudah ialah bahawa kestabilan dan perkembangan sosiobudaya serantau akan memanfaatkannya dalam jangkamasa lebih panjang.

Manfaat sedemikian tampak agak jauh dan barangkali kurang menggoda untuk saudara-saudara di Indonesia mengambil langkah segera. Namun, tangan tetap kami hulurkan, dan terimakasih kepada sebahagian warga Jakarta dan Jogja yang telah sudi menyambutnya. – Roketkini.com

*Rencana ini pertama kali terbit di laman Qureta http://www.qureta.com/post/merajut-persahabatan-dengan-indonesia