Berita

Noh Omar tak perlu politikkan masalah bekalan air di Selangor

PETALING JAYA, 27 SEP: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar diminta agar tidak mempolitikkan masalah bekalan air di negeri itu dengan menuduh kononnya pentadbiran Pakatan Harapan tidak bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menanganinya.

Sedangkan, sejak kerajaan negeri mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga pada akhir tahun lalu pelbagai projek pembangunan infrastruktur bekalan air telah dirancang dan dilaksanakan.

Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Yeo Bee Yin, berbeza dengan syarikat swasta yang mengaut keuntungan semata-mata, kerajaan negeri sebaliknya telah memperuntukkan hampir RM1 bilion demi kesenangan rakyat dalam jangka masa panjang.

Ia termasuk, katanya, kos bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang; Projek Mitigasi 2 dan 3; dan kerja-kerja menganti 23 paip yang dijangka siap pada 2017 dan 2018 akan datang.

“Dengan projek-projek yang sedang dilaksanakan itu, Selangor akan menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah ia perlu dikawal selia dengan projek susulan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Adun Damansara Utama itu berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Noh Omar yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali ‘sibuk berpolitik hingga lupa masalah rakyat’.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut mendakwa kononnya kerajaan negeri tidak menjaga kebersihan sungai Semenyih yang menjadi antara sumber bekalan air di negeri itu sehingga berlakunya pencemaran.

Bee Yin bagaimanapun mengingatkan Noh Omar bahawa pemantauan kualiti sungai tidak terletak di bawah agensi kerajaan negeri sahaja, sebaliknya tanggungjawab yang sama turut dipikul agensi kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kedua-dua, sama ada kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mengambil tanggungjawab ini untuk bersama-sama dalam mengawal pencemaran sungai.

“Dalam mana-mana kes, tumpuan sekarang adalah untuk bekerja bersama-sama untuk secepatnya mengenal pasti punca pencemaran untuk memastikan masalah yang sama tidak timbul,” katanya.

Hasil kerjasama itu, katanya, akan membawa pelaku sebenar terhadap pencemaran sungai ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang berat atas kesalahan berkenaan. – Roketkini.com