Berita

SPR dinasihat usah jadi alat menangkan pemerintah zalim

IPOH, 27 SEP: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihat supaya tidak menjadi alat kepada pemerintah zalim dan digesa bertanggungjawab kepada sistem demokrasi berperlembagaan negara dengan tidak sewenang-wenang membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Ini kerana cadangan SPR menjalankan persempadanan semula baru-baru ini menyebabkan wujudnya pembahagian kawasan yang tidak seimbang sekaligus mendiskriminasi nilai setiap undi yang diberikan.

Gesaan ini dibuat Sosialis Muda DAP (DAPSY) Perak membantah tindakan SPR yang telah mengabaikan prinsip “1 Pengundi, 1 Undi, 1 Nilai” dan hanya akan menguntungkan parti pemerintah.

Bercakap kepada Roketkini, ketuanya Howard Lee berkata, persempadanan semula yang dilakukan SPR jelas merupakan strategi kotor untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang.

“Persempadanan semula di atas niat politik kotor yang telah berlaku di beberapa tempat di Negeri Perak merupakan suatu strategi yang telah biasa diamalkan oleh kerajaan BN untuk merampas kuasa tunggal Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujar ADUN Pasir Pinji itu.

Menurut Howard, selain SPR, para pengundi juga perlu memainkan peranan menyatakan bantahan dalam siasatan awam berkenaan proses persempadanan semula.

“Kita perlu menuntut supaya setiap undi yang diberikan punya nilai. Tapi malangnya, pengundi hanya diberi masa sebulan untuk bantah cadangan SPR ini,” katanya.

Justeru, beliau bersama rombongan DAPSY Perak telah berkunjung ke Pejabat SPR Perak semalam bagi menyerahkan memorandum menggesa agensi tersebut memikul tanggungjawab supaya kepercayaan dan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada SPR terpelihara.

Beliau menegaskan, kegagalan membantah cadangan SPR yang tidak wajar itu akan memberi kesan terhadap masa depan negara dan generasi akan datang. – Roketkini.com