Rencana

Ke arah kerjaya, pendapatan dan kehidupan yang selayaknya untuk semua anak muda

Para pemimpin dunia yang berhaluan kiri, saya mempunyai satu misi sahaja untuk hari ini: untuk memberitahu kepada kalian tentang permasalahan yang dihadapi oleh belia, dan untuk menyakinkan kalian semua bahawa tindakan menyelesaikan permasalahan pengangguran dan ketidaksejajaran kerjaya dengan kelayakan wajib menjadi agenda utama kita sebagai ejen berhaluan kiri serta pemimpin-pemimpin dunia.

Jika kita benar mahu menyelesaikan kemelut ini, pertama sekali kita perlu memahami konteks apa yang paling kuat memberi ancaman. Angka-angka tidak akan sama sekali menipu; dalam konteks global, anak muda sahaja telah membentuk lebih satu pertiga daripada keseluruhan orang menganggur. Satu perempat daripada belia hanya mempunyai kerja sementara, dan satu pertiga pula hanya mempunyai kerja separuh masa.

Di dalam wilayah Asia Tenggara dan Pasifik, kadar pengangguran belia ialah lima kali lebih tinggi daripada tenaga kerja secara keseluruhannya. Kadar pengangguran belia ialah:

  1. a) 5 kali lebih tinggi daripada keseluruhan tenaga kerja di Asia Tenggara dan Pasifik (ILO, 2016)
  2. b) Lebih 2 orang daripada setiap 10 orang belia menganggur di Asia Tenggara  tidak  mempunyai  kerja  sekurang-kurangnya  selama setahun pada tahun 2015 (ILO, 2015)
  3. c) Sejumlah  14.4  juta  anak  muda  di  Asia  Tenggara  kini  sedang bekerja untuk pendapatan yang kecil sebanyak USD 3.10/sehari bersamaan dengan 9 juta lelaki dan 5.4 juta wanita
  4. d) 5.35%  daripada  belia  berumur  20-29  adalah  tidak  bekerja dan  tidak menuntut  di  sebarang  institusi  pengajian  dan  latihan.

Tambahan itu, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) telah melaporkan bahawa kadar pengangguran belia untuk Asia Tenggara dan Pasifik telah semakin meningkat daripada 12.4% pada 2015 kepada 13% pada 2016. Pada tahun 2017 nanti pula, corak ini dijangka meningkat kepada 13.6%. Hal yang demikian bermakna wilayah ini bakal mempunyai 600,000 anak muda yang menunggu untuk menganggur pada akhir tahun ini. 600,000! Bayangkan satu populasi seluas Switzerland, tidak bekerja.

Jadi, apa yang bakal berlaku apabila wujud ketandusan kerja? Sebenarnya, kita dapat melihat pelbagai korelasi berfakta dan statistikal di antara manifestasi sosial dan ekonomi yang negatif dengan pengangguran dan ketidaksejajaran kerjaya belia. Di sini saya nukilkan beberapa realiti yang mengejutkan. Peningkatan jumlah belia yang menganggur dan tidak mempunyai kerjaya yang sejajar akan menjurus kepada:

  • Peningkatan penggunaan wang awam melalui kebajikan, jika ada elaun penganggur
  • Kerugian kutipan cukai justeru dana awam, dan penurunan produktiviti hasil daripada pembaziran kapasiti

Mereka yang menganggur akan:

  • Menanggung impak pemencilan yang mendadak daripada pasaran buruh, kesan daripada kegagalan memperolehi dan mengasah kemahiran tertentu
  • Menanggung kehilangan  jati  diri dan keyakinan  diri ataupun cenderung untuk tertekan kesan daripada pengangguran dan ketidaksejajaran kerja, yang mungkin menjurus kepada masalah mental dan perlakuan anti-sosial
  • Lebih cenderung untuk melakukan jenayah, menjurus kepada pemenjaraan dan kematian

Impak pengangguran ke atas anak muda dan keluarga mereka adalah sungguh luas dan melampaui jangkaan, lebih membinasakan jika dibandingkan dengan kelompok umur yang di luar zon belia.

Tidak bekerja bermaksud tidak berpeluang untuk mendapat atau menambah kemahiran dan pengalaman. Kemahiran-kemahiran dan pengalaman yang tidak diperolehi sebagai seorang penganggur sudah semestinya menyebabkan mereka mendapat daya pencarian yang lebih rendah berbanding rakan sekerja dan ia mungkin boleh berlanjutan hingga ke 20 tahun lamanya. Hal yang demikian dijangka sebelum mengambil kira keadaan sekiranya; jika pengangguran belia menjadi semakin melampau, akan ada kemungkinan wujudnya satu lapis generasi yang terasing secara sosial berpunca daripada kemiskinan. Dalam erti kata yang lain, pengangguran ini boleh memandu ke arah satu “generasi yang hilang” (a Lost Generation) generasi yang tidak mampu bersaing, berkhidmat ataupun berfungsi dalam sesebuah masyarakat

Sukar untuk dinafikan bahawa kekurangan pemerkasaan belia (kesan daripada pengangguran dan ketidaksejajaran kerjaya) telah menyumbang kepada tindakan mencabul hak dan kebebasan anak muda. Di saat kita mengagumi keberanian anak muda membuka pintu demokrasi di Timur Tengah, protes dan rusuhan di Sepanyol, Perancis, dan United Kingdom di antara 2008 dan 2011 pula telah menjadi bukti bahawa pengangguran belia dengan sewenang-wenangnya berupaya memandu ke arah ketidaktenteraman politik dan awam. Hal tersebut bukannya teori semata-mata, tetapi suatu realiti yang benar-benar terjadi; realiti yang sudah lama tersulam jauh di dalam masyarakat kita.

Di Malaysia, isu ini sudah menjadi terlalu serius, sehinggakan ia sudah diterima sebagai suatu norma masyarakat. Ketidaksejajaran di antara apa kemahiran dan latihan kebanyakan anak-anak muda dengan pekerjaan dicarinya dan akhirnya kerjaya yang didapatinya, adalah sangat membingungkan. Kami mempunyai rakan-rakan yang bertungkus-lumus melangsaikan pinjaman pendidikan dengan menggunakan gaji yang sangat kecil daripada kerja yang jauh daripada kelayakannya, dan ia adalah senario yang biasa berlaku di kebanyakan negara. Ramai juga yang kita lihat terpaksa bekerja di sektor-sektor yang hanya sesuai untuk lelaki, hanya kerana mereka tidak berpeluang memiliki pendidikan tinggi.

Di Filipina, ahli profesional perubatan, pendidik, dan jurutera terpaksa bekerja sebagai ejen pusat perhubungan. Malah, di Indonesia pula, walaupun kita sedar akan penurunan yang menyakinkan di dalam pekerjaan tidak formal, keadaan ini masih lagi mewakili lebih kurang 60% daripada keseluruhan jenis kerja. Dan walaupun kadar pengangguran keseluruhan kini jatuh di bawah 6% sejak 2014, kadar pengangguran belia pula telah mencapai dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada kadar perkembangan ekonomi semasa.

Kini, persoalan yang seterusnya memaksa kita untuk mencerap krisis Zon Eropah yang memperlihat masyarakatnya yang berkemungkinan berhadapan dengan satu era yang tandus dengan pekerjaan.

Kita sedang berhadapan dengan satu generasi yang terasing secara sosial oleh kemiskinan. Saya harap untuk masa mendatang apabila kita sebagai sosialis dan pembuat dasar bertemu bahu dengan belia yang tidak bekerja ataupun tidak mempunyai kerja yang sejajar dengan kelayakannya, janganlah kita mengucapkan ayat-ayat seperti: ‘Jangan risau, kamu masih muda, kamu masih mempunyai banyak masa di dunia ini.’ Kita dan anak muda kedua-duanya, masyarakat global tidak sanggup untuk menanggung impak sosial dan ekonomi daripada kehilangan satu generasi belia yang hilang keceriaannya, hilang produktivitinya, hilang potensi kerjayanya, hilang maruahnya dan hilang peluang dan keupayaannya untuk menyumbang kepada negara dan dunia.

Pengangguran belia bukanlah isu remeh-temeh lanjutan daripada bingkai permasalahan sosial yang boleh kita tolak tepi; ia hakikatnya adalah isu UTAMA, dan TERPENTING dan ia perlu digegaskan ke tangga paling atas di dalam agenda reformasi kita. Ia tidak pernah lari daripada tanggungjawab kita sebagai sosialis, demokrat sosial dan golongan progresif. Inilah sebabnya mengapa ruang dan peluang pekerjaan yang terbaik untuk belia perlu diutamakan di dalam agenda kita sebagai pemimpin.

Saudara-saudari barisan kepemimpinan dunia,

Masyarakat sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih kerja. Realitinya ialah; kebanyakan anak muda tidak tahu, tidak berupaya dan gagal merancang misi pencarian kerja berpandukan apa yang mereka benar-benar mahu; tetapi sebaliknya bergantung kepada telunjuk pasaran kerjaya untuk menentukan hala tuju hidup mereka. Indoktrinasi neoliberal masyarakat dengan bangga dan sadisnya telah mengecam kerja-kerja teknikal dan vokasional. Majikan hanya menghargai pekerja-pekerja yang mempunyai ijazah akademik, dan mereka pantas sahaja mencebik kepada pekerja-pekerja yang memiliki kemahiran dan latihan teknik dan vokasional, ataupun kepada mereka yang mempunyai kemahiran hanya daripada pengalaman. Pemerintah-pemerintah pula, malangnya, tidak mahu mengutarakan mahupun menangani perkara seperti ini.

Ambil contoh Malaysia lagi; pemerintah telah mengalu-alukan berjuta-juta pekerja asing untuk melakukan kerja-kerja yang orang Malaysia sendiri (syarikat) enggan membayar kepada orang Malaysia yang lain (pekerja) dengan gaji yang wajar dan layak, di samping mempergunakan pekerja migran itu sendiri dengan mengeksploitasi kelopongan matawang! Semuanya dihalalkan atas nama ‘persaingan’! Hal yang demikian seolah-olah harga diri seorang insan perlu ditentukan dan dinilai semata-mata daripada kekuatan ataupun kelemahan nilai matawang tanah air mereka. Adakah ini keadilan?

Apabila pendidik-pendidik Filipina meninggalkan negara mereka untuk menjadi pembantu rumah walaupun ada permintaan untuk pendidik di sekolah-sekolah, tidakkah ini merupakan suatu petanda yang sesuatu perlu berubah?

Kita perlu ubah cara masyarakat melihat dunia pekerjaan. Kebenarannya, peluang  pekerjaan sentiasa berpusing-pusing mengelilingi corak pasaran semasa. Budaya kerjaya eksklusif ini pula dipasung oleh kelayakan akademik yang tertentu, menjurus kepada pembentukan jurang yang lebih luas di dalam pasaran buruh. Jurang ini sungguh sukar untuk dikambus tanpa mengorbankan pula posisi sedia ada mereka yang sudah bekerja. Jadinya, kita perlu melabur untuk rakyat, bakat mereka, dan kemahiran-kemahiran mereka.

Dengan ini, saudara dan saudari berhaluan kiri, apabila suatu hari nanti jika dan bila berdirinya kalian sebagai pemerintah, ingatlah setiap titipan saya di Bali ini: Menyelesaikan masalah pengangguran dan ketidaksejajaran kerjaya untuk anak muda wajiblah diutamakan dan disegerakan.

Ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan kita untuk menzahirkan, dan merealisasikan impian sebuah dunia yang mempunyai kerja yang layak, dengan upah yang layak, mendatangkan kehidupan yang layak, serta bermaruah dan berjati diri. Ia harus menjadi dasar perjuangan dan bebanan kita untuk bercita-cita dalam membalik-aruskan kitaran lumrah masyarakat yang penuh ketidakadilan ini kepada kitaran lumrah masyarakat, negara dan dunia yang lebih mapan.

*Ini adalah teks ucapan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa di Persidangan ‘Progressive Alliance’ di Denpasar, Bali, Indonesia.